25 Januari 2010

Faktor Kejatuhan Negara -Siri 1.

Siri Pertama

MUKADIMAH

Proses berlakunya kemusnahan, kehancuran dan keruntuhan negara memang diperakui oleh Al-Quran sendiri melalui beberapa ayat yang tersebut di dalamnya seperti ayat 117 surah Hud yang bermaksud : Dan Tuhanmu tidak sekali-kali hendak membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya selagi mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri.

Firman Allah dalam ayat 59 surah Al-Qosas yang bermaksud : Dan Tidaklah menjadi kebiasaan Tuhanmu membinasakan mana-mana negeri sebelum Dia mengutus ke ibu negeri itu seorang rasul yang akan membacakan kepada penduduknya ayat-ayat keterangan Kami dan tidaklah menjadi kebiasaan Kami membinasakan mana-mana negeri melainkan setelah penduduknya berlaku zalim.

Ia berlaku disebabkan beberapa faktor utama seperti berlakunya kezaliman, penindasan dan kehilangan akhlak di kalangan pemerintah serta kesatuan yang baik antara komuniti masyarakat ke arah mengislahkan kerosakan serta kerja menegakkan makruf dan mencegah kemungkaran yang berlaku.


Para sejarawan terutama Ibnu Khaldun di dalam mukadimah kitabnya Al-Ibar atau Al-Mukadimah telah mengemukakan teori sejarahnya dalam menentukan faktor yang menjadi penyebab kepada kehancuran dan keruntuhan sesebuah pemerintahan melalui penganalisaannya yang begitu baik. Ia wajar dijadikan panduan dan rujukan kepada generasi kini dalam melihat senario yang berlaku pada pemerintahan yang sedang berjalan pada hari ini. Ia juga mesti menjadi bahan penting kepada mereka yang terlibat secara langsung dengan pentadbiran dalam menjadikannya sebagai kayu pengukur kepada tindakan mereka untuk memastikan mereka dapat menghindari perkara tersebut demi mengelakkan atau melambatkan kejatuhan sesebuah pemerintahan.

TEORI SEJARAH IBNU KHALDUN

Ibnu Khaldun dalam teori falsafah sejarahnya telah melihat kepada beberapa keadaan sebagai penyebab kepada berlakunya kemajuan dan keruntuhan sesuatu kerajaan, antaranya :

1. Kepimpinan politik dan tamadun yang dipegang oleh sesuatu bangsa bergerak daripada kemunduran kepada kemajuan dan kemudiaannya menuju kepada keruntuhan seperti berlaku kepada usia manusia bermula dari kanak-kanak, muda, tua dan seterusnya akan mengalami kematian.

2. Keruntuhan satu kepimpinan politik dan tamadun akan diganti dengan kepimpinan dalam proses perubahan kepada kesempurnaan sebelum mengalami ketuaan dan keruntuhannya.

3. Faktor kepada kebangkitan sesuatu kepimpinan politik dan tamadun pada Ibnu Khaldun berasas metod dialiktika kepada 2 faktor utama iaitu Assobiyah dan aktiviti mega berunsur mewah .

4. Proses keruntuhan sesuatu kuasa politik dan tamadun sebagai sesuatu yang pasti berlaku dan dialami oleh semua kuasa mengikut pandangan Ibnu Khaldun.

5. Proses pertukaran kepimpinan politik dan tamadun terikat kepada perubahan dari positif kepada negatif kepada sesuatu bangsa yang ada ketika sedang mengalami perubahan dari negatif kepada positif kepada kumpulan yang lain.

———————————

BIBLIOGRAFI
1. Abdul Rahman bin Muhammad bin Khaldun, Mukadimah Ibnu Khaldun, semakan Dr Ali Abdul Wahid Wafi, Dar Al-Nahdah, cetakan ketiga
2. Ibnu Khaldun, Mukadimah, Terjemahan DBP, DBP, cetakan Kedua 1995
3. Dr Hassan Ibrahim Hassan, Sejarah Islam, Terjemahan Ismail bin Mohd Hassan, Penerbitan YIT, cetaka kedua 1993
4. Dr Ahmad Zaki Ibrahim, Kertas Kerja : Ibnu Khaldun Sebagai Pelopor Falsafah Sejarah dan Asas Falsafah Sejarahnya, APIUM
5. Dr Ahmad Zaki Ibrahim, Kertas Kerja : Pemikiran Politik Ibnu Khaldun: Suatu Tinjauan, APIUM
6. Dr Ahmad Zaki Ibrahim, Kertas Kerja : Kerajaan Othmaniah 1300-1923M,

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons