10 Januari 2010

Beberapa Perkara Yang Harus Diperhatikan Ketika Mengerjakan Rukun dan Syarat Sembahyang (2).

Membaca Al-Fatihah:

Bila membaca (isti’azah’ ):

“Aku berlindung diri kepada Allah dari bencana syaitan yang terkutuk.”

Hendaklah anda ketahui bahawa musuhmu (syaitan) itu sentiasa memasang perangkap untuk memesongkan hati anda dari Allah azzawajalla, semata-mata kerana dengki dan hasad terhadap munajat yang anda lakukan terhadap Allah s.w.t. Kemudian anda bersujud pula kepada Allah, padahal kerana sebab sujudlah syaitan itu dihalau dari rahmat Allah dan menjadi terkutuk tersebab satu kali sujud saja yang ia enggan melakukannya.

Bila anda membaca isti’azah’ (A’uzubillahi minasy-syaitanir-rajiim) pula, janganlah hendaknya membaca sekadar menggerakkan lisan semata-mata, melainkan anda sekaligus meninggalkan segala kelakuan yang disukai oleh syaitan dan menggantikan tempatnya dengan kelakuan-kelakuan yang diredhai oleh Allah. Umpamanya samalah seperti seorang yang diserang oleh binatang buas ataupun musuh yang hendak membunuhnya, janganlah hendaknya ia hanya berkata: Aku berlindung daripadamu di dalam pendinding yang menahan dari segala mara bahaya, sedangkan ia berdiri tegak di tempatnya itu, tentulah itu tidak akan memberi apa-apa guna atau manfaat, kecuali ia mencari tempat yang boleh melindunginya dari binatang atau musuh itu.


Begitu pula hendaknya bagi orang yang sering menurutkan hawa nafsu dan kehendak-kehendak yang menjadi keinginan syaitan dan kebencian ar-rahman (Allah), tidaklah memadai dengan setakat berkata dengan lidah saja tanpa ada bukti. Barangsiapa yang mengambil hawa nafsunya menjadi Tuhan, niscaya dia berada dalam medan atau halaman syaitan, dan bukanlah dalam benteng Allah Ta’ala.

Ketahuilah di antara tipu daya tipu daya syaitan itu, dia akan memesongkan anda dalam sembahyang daripada mengingatkan tentang akhirat, atau menghalang anda untuk membuat kebajikan supaya dapat menahan anda dari memahami bacaan-bacaan yang di baca dalam sembahyang itu. Maka hendaklah anda faham bahawa segala yang menghalang dari memahami makna-makna bacaan itu adalah waswas. Sebab gerak-geri lisan itu bukanlah menjadi maksud yang utama, bahkan maksud yang utama ialah makna-makna bacaan itu.

Bila anda membaca (basmalah):

“Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha mengasihani.”

Hendaklah anda meniatkaan keberkatan kerana memulakan bacaan Kalamullah (Firman Allah). Ketahuilah bahawa maknanya, semua perkara-perkara itu akan berlaku dengan kuasa Allah Ta’ala, dan bila kita mengi’tikadkan bahawa semua perkara-perkara itu dalam kuasa Tuhan, tentulah tiada daya lagi bagi kita.

Bila membaca:

“Segala puji-pujian bagi Allah.”

Maknanya: Segala kesyukuran hendaklah ditujukan kepada Allah semata-mata, kerana dialah yang memberikan semua nikmat-nikmat itu. Barangsiapa yang menganggap ada lagi nikmat dari selain Allah Ta’ala, ataupun dia menunjukkan kesyukurannya kepada selain dari Allah, bukan kerana dia itu terpaksa, maka jadilah segala bacaan Bismillah dan Alhamdullilah yang disebutkannya itu tadi, tiada berguna, kerana tujuannya kepada selain dari Allah s.w.t.

Bila membaca:

“Yang Maha Pengasih lagi Penyayang.”

Di waktu itu hendaklah anda tinjau di dalam hati segala macam kelembutan Allah kepada sekalian makhlukNya, niscaya ternampaklah oleh anda rahmatNya sehingga timbul pula pengharapan kepadaNya. Sesudah itu hendaklah terpancar dari dalam hati anda perasaan membesarkan Allah dan takut kepadanNya, dengan membaca pula:

“Yang menjadi raja pada Hari Kiamat.”

Adapun kebesaran yang diucapkan terhadap Allah itu ialah, kerana tiada kerajaan kecuali bagi Allah yang Maha Kuasa. Manakala ketakutan pula ialah dikeranakan kehebatannya hari pembalasan dan hari perkiraan yang Allah s.w.t. akan menjadi Pengadilnya.

Sesudah itu perbaharukanlah keikhlasan anda terhadap Allah s.w.t. dengan membaca:

“Hanya kepadaMu saja kami menyembah.”

Menyertai bacaan itu, hendaklah anda mengingatkan kelemahan anda dan keperluan anda kepada Allah, Begitu pula mengingat bahawa diri anda itu tiada berdaya-upaya sama sekali dengan membaca pula.

“Dan hanya kepadaMu pula kami meminta pertolongan.”

Di waktu itu yakinlah anda, bahawa tiada daya-upaya untuk mentaati Allah kalau tidak dengan pertolongan Nya. Dan bahawasanya manusia itu terhutang budi kepada Allah disebabkan taufiqNya yang dilimpahkan ke atas manusia untuk membuat ketaatan kepadaNya.

Kemudian tetapkan pula permintaan anda dan jangan meminta melainkan perkara-perkara yang amat penting saja, dan bacalah:

“Tunjukilah kami jalan yang lurus (Shirathal-Mustaqiim).”

Iaitu jalan yang akan membimbing anda ke sisi Allah s.w.t. dan yang akan menyebabkan keredhaanNya kepada anda. Dalam pada itu, hendaklah anda tambah pula keterangan penjelasan dan pengukuhan atau penyaksian terhadap orang-orang yang yang telah menerima limpahan hidayat dariNya, iaitu dari golongan para Nabi, para Siddiqin, para Syuhada dan para Salihin, dan bukan pula orang-orang yang dimurkai oleh Allah dari golongan kafir, musyrik dan orang-orang yang sesat.

Sesudah menyebutkan semua itu, lalu anda pohonkan pengabulan Allah s.w.t dengan membaca:

“Kabulkanlah segala permohonan kami itu.”

Ketahuilah, andaikata anda tiada memperolehi sesuatu pun dari sembahyang anda itu selain dari Zikrullah, yakni hanya berzikir kepada Allah saja tentang kemaha-agunganNya dan kebesaranNya, itu pun sudah memadai. Apatah lagi dengan apa yang anda harap-harapkan dari balasan dari pahalaNya.

Seterusnya, hendaklah anda memahami segala bacaan yang anda baca itu dari surah-surah al-Quran. Janganlah sampai anda lalai atau cuai akan perintah dan laranganNya. Janji dan ancamanNya. Segala nasihat-nasihat dan berita-berita tentang para NabiNya, dan seterusnya mengingat segala nikmat dan kebaikanNya, kerana tiap-tiap satu dari semua ini ada haknya. Timbulnya harapan akibat dari adanya janji. Timbulnya ketakutan akibat dari adanya ancaman. Timbulnya keazaman akibat dari adanya suruhan dan larangan. Menurut arahan adalah akibat dari adanya nasihat dan peringatan. Mengucap kesyukuran adalah akibat dari adanya budi dan pemberian. Dan mengambil contoh-tauladan adalah akibat dari adanya cerita-cerita para Nabi. Semua pengertian-pengertian ini akan berkesan sekali dalam diri seseorang, sesuai dengan tingkatan fahamannya, dan ini tergantung pula kepada darjat ilmu pengetahuannya dan kebersihan hatinya. Manakala darjat seseorang dalam bidang ini tidak ada kadar atau batasannya yang tertentu. Jadi sembahyang itu adalah jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala. Di dalam sembahyanglah boleh tersingkap semua rahsia kalimat-kalimat akibat dari bacaan-bacaan yang kita bacakan Demikianlah pula dengan rahsia-rahsia zikir-zikir dan tasbih-tasbih.

Selanjutnya, mestilah ada rasa kehebatan dalam segala bacaan-bacaan itu, dan sebaik-baiknya dibacakan satu-persatu perlahan-lahan. Jangan sampai terlalu cepat atau tergopoh-gapah, kerana secara itu lebih mudah untuk difahamkan atau direnungkan pengertiannya.

Adapun kelangsungan berdiri itu adalah suatu peringatan terhadap turutnya hati sama-sama berdiri di hadapan Allah azzawajalla, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.:

“Sesungguhnya Allah Azzawajalla itu sentiasa menghadap kepada orang yang bersembahyang, selama ia tiada menolah-noleh.”

Sebagaimana wajib kita menjaga kepala dan mata supaya tidak menoleh-noleh ke arah selain dari kiblat, demikian pula wajib kita menjaga kebatinan kita; iaitu hati dan jiwa supaya tidak berpaling kepada selain dari Allah s.w.t. dalam sembahyang. Jika ia berpaling, maka hendaklah segera diperingatkannya bahawa Allah s.w.t. itu mengatahui segala gerak-geri kabatinan, dan mengingatkan sekali akan buruknya balasan dari Allah, akibat kelalaian hati orang yang bermunajat dalam sembahyangnya.

Kekalkanlah kekhusyu’kan di dalam hati, dan tandanya ada kekhusyu’kan itu, ialah bila anggota lahir dan anggota batin tiada menoleh ke mana-mana, dan apakala anggota batin menjadi khusyu’, niscaya anggota lahir akan menurutnya. Pernah Rasulullah s.a.w. bersabda ketika melihat seorang yang sedang bersembahyang, pada hal tangannya bermain-main dengan janggutnya, katanya

“Adapun orang ini, jika hatinya khusyu’, tentulah segala anggota badannya akan turut khusyu’, sama, sebab rakyat selalunya patuh kepada pemerintahannya.”

Sebab itulah ada tersebut di dalam doa yang warid:

“Ya Allah, ya Tuhanku! Perbaikilah pemelihara (pemerintah) dan pemeliharaannya (rakyat).”

Maksudnya: Hati dan segala anggotanya.

bersambung … Insha Allah

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons