20 Januari 2010

Adakah Anda Seorang Mujtahid?

الحمد لله وكفى وسلام على عباده الذين اصطفى، أما بعد:

Alhamdulillah Allah s.w.t memberi taufiq kepada kita pada menulis risalah ini, semuga kita sama-sama dapat mengambil menfaat dengannya.

Pada masa kini umat Islam sering diganggu oleh pemikiran-pemikiran yang meragu-ragukan amalan-amalan harian kita. Ada pihak yang sanggup meracuni fikiran umat Islam sehingga mereka berani menentang pendapat-pendapat ulama mu’tabar masa silam. Mereka mengemukakan beraneka dalil sehiggakan umat Islam tidak dapat memahami dan melemahkan kekuatan beramal.

Dengan adanya sikap mengkritik hukum-hukum khilaf di antara ulama, umat Islam tidak akan memperolehi pendirian tetap secara sederhana dan menyukarkan umat Islam mengelak dari fitnah, yang merunsingkan bagi pihak kami ialah, takut-takut mereka pandai-pandai menambah dan mengurangkan amalan-amalan Islam serta mengelirukan umat Islam dan mengeluarkan kata-kata yang bercanggah dengan kehendak Allah dan Rasulullah yang sebenar.

Rasulullah s.a.w bersabda: ( ما ضل قوم بعد هدى، كانوا عليه الا اوتو الجدل ) riwayat ibnu majah. Maksudnya, mana-mana golongan yang tidak disesatkan setelah diberi petunjuk melainkan mereka diberi peluang untuk bertengkar.


Sebenarnya masalah khilafiah dipertikai oleh imam-imam terhadap sesuatu amalan berdasarkan cara yang manakah patut diutamakan. Itu bukannya bercanggah pendapat mengenai sah atau tidak sah sesuatu amalan itu. Contohnya seorang imam berpendapat bahawa (رفع يدين) mengangkat kedua tangan semasa hendak ruku’ adalah lebih afdhal daripada tidak angkat tangan, sementara imam yang lain mengatakan bahawa tidak angkat tangan itu lebih baik daripada angkat tangan. Begitulah seterusnya:

1) Membaca Amin kuat atau perlahan

2) Membaca Bismillah dengan suara nyaring sebelum Fatihah atau membaca dalam hati

3) Sujud sahwi dilaksanakan sebelum memberi salam atau selepas memberi salam sebelah kanan.

Jikalau anda mengerti bahawa membaca fatihah adalah wajib berdasarkan hadith:

( لا صلاة الا بفاتجة الكتاب ) bermaksud “tiadalah sembahyang melainkan dengan membaca fatihah” (tidak sah sembahyang tanpa membaca fatihah). Maka hendaklah anda beramal sesuai dengan hadith itu. Akan tetapi ijtihad (petikan atau fahaman daripada Al-Quran atau Al-Hadis) anda tidak boleh menjadi hujjah ke atas orang lain dan anda tidak boleh menyalahkan ijtihad orang lain kerana mereka juga mengambil dalil dengan hadith:

( من صلى خلف الامام فقراءة الامام له قراءة ) maksudnya “barangsiapa sembahyang di belakang imam maka bacaan oleh imam itu dianggap bacaannya juga”. Maksudnya ma’mum tidak perlu baca apa-apa di belakang imam.

Jikalau anda menganggap ( menyuarakan ) di sini bahawa hadith yang menggalakkan membaca fatihah di belakang imam itu kukuh dan hadith yang mengharuskan tidak membaca fatihah itu lemah atau hadith yang direka dan seterusnya anda memberi fatwa mengenai batalnya sembahyang mereka yang tidak membaca fatihah di belakang imam, maka seolah-olah anda memberi gambaran mengenai tidak sahnya sembahyang sahabat, tabe’in dan imam-imam mujtahid yang beramal dengan hadis yang mengharuskan tidak membaca fatihah itu. Padahal tidak ada seorangpun berkata demikian itu pada abad pertama hijriah, sedangkan isu perselisihan pendapat mengenai membaca fatihah atau tidak di belakang imam itu telah wujud di kalangan mereka pada abad pertama lagi.

Mungkin di sini anda sekalian akan menghadapi satu kemusykilan iaitu apabila mengkaji Al-Quran dan Al-Hadith, didapati perselisihan di antara:

1) ayat sama ayat

2) ayat dan hadith

3) satu hadith sama hadith yang lain,

maka bagaimanakah cara yang tepat untuk beramal dengan Quran dan Sunnah. Saya ingin beritahu dua perkara sebagai asas jawapan itu, iaitu pertama mengenai tugas muhaddith dan kedua mengenai tugas mujtahid.

Tugas muhaddith ialah semata-mata meriwayatkan sabdaan Rasulullah s.a.w, perbuatan Rasulullah s.a.w dan pengiktirafan Rasulullah tanpa mengemukakan:

1) Yang mana nasikh(hukum yang tetap), yang mana mansukh(hukum yang dah dibatalkan).

2) Yang mana hadith merupakan dasar utama, yang mana merupakan hadith pengecualian.

3) Suruhan yang manakah disambut atau disokong beramal oleh sekumpulan besar sahabat dan tabi’in.

Maksudnya, perkara-perkara tersebut itu tidak diambil endah oleh muhaddith dan yang mengambil kira terhadap perkara-perkara itu adalah imam-imam mujtahid. Itulah tugas bagi seorang mujtahid. Oleh kerana itu pentashihan hadis yang dibuat oleh fuqaha’ ( iaitu imam-imam mujtahid ) lebih tinggi kedudukannya daripada pentashihan yang dibuat oleh ulama’ muhaddithin. Imam Al-A’amasy berkata: ( حديث يتداوله الفقهاء خير من حديث يتداوله الشيوخ ) maksudnya, hadith yang diterima pakai oleh fuqaha’ mujtahidin itu lebih baik daripada yang diterima pakai oleh ulama’ muhaddithin. Imam Tirmizi menukilkan dalam Kitab Hadith Tirmizi pada bab mandi mayat: “وكذلك قال الفقهاء وهم اعلم بمعاني الحديث”

(ترمذي باب غسل الميت: 1، ص 118)

Dan demikian itulah berkata ahli-ahli feqah, pada hal mereka (فقهاء) itulah yang lebih memahami dengan makna maksud hadith. Ini memberi gambaran kepada kita bahawa mujtahid lebih mengerti isi kandungan hadis daripada muhaddith. Sebagai menyokong pendapat Imam Tirmizi hendak diberitahu satu kisah yang berlaku di antara Imam A’amasy seorang muhaddis ( pakar riwayat hadis ) dan Imam Abu Hanifah seorang mujtahid ( pakar mengkaji Al-Quran dan Al-Hadith secara halus dan mendalam ).

Pada suatu ketika Imam A’amasy ( muhaddith ) disoal mengenai beberapa hukum sedang Imam Abu Hanifah ( mujtahid ) ada di samping Imam A’amasy. Imam A;amasy meminta Imam Abu Hanifah menjawab, maka Imam Abu Hanifah pun terus menjawab soalan-soalan yang diaju itu. Sebaik saja selesai menjawab Imam A’amasy bertanya kepada Imam Abu Hanifah “dari sumber manakah engkau mengeluarkan hukum-hukum itu”. Imam Abu Hanifah berkata “daripada hadith-hadith yang saya terima riwayat daripada tuan”. Kemudian Imam Abu Hanifah pun mula membaca hadith-hadith yang ia menerima daripada Imam A’amasy. Imam A’amasy berkata: “hadith-hadith yang aku mengajar engkau dalam masa seratus hari itu engkau pula sekaligus mahu baca habis dalam satu majlis. Aku tidak tahu pun engkau akan mengeluarkan hukum daripada hadith-hadith itu”.

Begitu juga ada seorang Imam bernama Humaidi yang menjadi guru kepada Imam Bukhari dan yang mengambil (menerima) terlalu banyak riwayat hadith daripada Sufyan bin U’yainah (murid Imam Abu Hanifah). Oleh kerana Imam Humaidi terlalu alim dalam bidang hadith, Imam Syafie sendiri amat menghormatinya dan menerima juga riwayat hadith daripadanya. Walaupun demikian, Imam Humaidi terpaksa menerima ijtihad Imam Syafie kerana ia tidak mampu mengeluarkan hukum daripada hadith-hadith yang ia mengetahui itu.

Peristiwa tersebut menggambarkan kepada kita bahawa:

(1) Imam A’amasy hanya seorang muhaddith dan Imam Abu Hanifah adalah mujtahid yang menguasai bidang hadith.

(2) Imam Humaidi hanya seorang muhaddith dan Imam Syafie adalah mujtahid yang menguasai bidang hadith.

Kita perlu tahu bahawa imam-imam empat mazhab adalah imam-imam berkaliber, pandai lagi bijak yang menguasai (mempunyai) dua bidang ilmu serentak. Maksudnya mereka mampu menonjol diri sebagai muhaddith dan mujtahid.

Apabila seorang mujtahid memikirkan tentang sesuatu hukum berdasarkan Quran, Sunnah, fatwa-fatwa sahabah dan Tabi’in termasuk amalan-amalan berterusan oleh umat Islam. Maka ia (mujtahid) berusaha bersungguh-sungguh untuk:

1) Mencantum dan mengumpul di antara nas ( ayat atau hadith ) yang bercanggah.

2) Mengutamakan salah satu di antara dua nas yang berlainan.

Dalam usaha sedemikian itu jikalau seseorang mujtahid meninggalkan (tidak beramal) mana-mana hadith, itu menunjukkan mujtahid mempunyai dalil (hadis) yang lebih kuat dari hadis itu. Oleh kerana itu:

1) Kita tidak boleh membuat tuduhan melulu bahawa mujtahid itu membiarkan hadith begitu sahaja. Imam-imam mujtahid yang diterima dan disambut baik di kalangan umat Islam itu tidak bersikap menyalahi sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w dengan sengaja, kerana mereka lebih mengerti bahawa mengikuti Quran dan Sunnah adalah wajib. Kalau begitu jika pendapat imam bercanggah dengan hadith sahih, mestilah ada sebab-sebab tertentu mengenai percanggahan itu.

2) Kita tidak boleh mencela mana-mana mujtahid apabila berlaku perselisihan di kalangan mereka itu pada menghukum sahih atau dhaif hadith. Mengambil dalil dengan sesuatu hadith itu layak menjadi dalil di sisinya. Oleh kerana itu mengemukakan qaul mujtahid yang lain dengan tujuan menonjolkan bahawa hadis itu tidak layak menjadi dalil, ini dikira tidak adil kerana qaul seorang mujtahid tidak menjadi hujah dalam bentuk menyalahkan mujtahid lain.

3) Seorang mujtahid tidak boleh dituduh meniggalkan hadith sahih dengan semata-mata mengambil dalil daripada hadith dhaif kerana ia mempunyai hujah yang kuat untuk memilih hadith dhaif. Dalam kitab jami’ Tirmizi terdapat dua buah hadith yang layak menjadi dalil dari segi mengambil kira sanadnya. Tetapi kedua-dua hadith itu tidak diamalkan oleh fuqaha’.

Hadithnya adalah:

” رواية عن ابن عباس قال: جمع رسول الله صلى الله عليه وسلم بين الظهر والعصر وبين المغرب والعشاء بالمدينة من غير خوف ولا مطر “

” رواية معاوية قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم من شرب الخمر فاجلدوه فان عاد في الرابعة فاقتلوه “

Ertinya:

1) “Riwayat Ibnu Abbas yang berkata: Rasulullah s.a.w telah jamak solat zohor dengan solat asar dan solat maghrib dengan solat isyak di Madinah tanpa sebab ketakutan dan hujan”.

2) “Riwayat Mua’wiyah, berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: sesiapa meminum arak maka kamu sebatlah dia! Jika dia mengulangi lagi kali ke-empat maka bunuhlah dia!”

Ijma’ Umat telah pun meninggalkan beramal dengan zahir hadith ini, kerana mereka mempunyai dalil yang lebih kuat daripadanya walaupun begitu mereka tidak digelar sebagai orang yang meninggalkan Sunnah (تارك السنه).

Imam Ibnu Taimiyah menukil dalam kitabnya ‘رفع الملام’ bahawa apabila anda menemui keadaan-keadaan seperti tersebut di atas, fahamilah imam itu mesti mempunyai tiga keuzuran (sebab-sebab) tersendiri mengenai meniggalkan (tidak beramal) hadith walaupun hadith itu hadith sahih.

Pertama: imam kurang yakin bahawa nabi tidak bersabda akan hadith itu. (Mungkin nabi tidak bersabda begitu).

Kedua: imam tidak menganggap bahawa sabdaan demikian itu menghendaki akan hukum itu. (Sabdaan Rasulullah s.a.w tidak mendorong kearah mengeluarkan hukum itu).

Ketiga: imam menganggap bahawa hukum yang dikeluarkan daripada hadith itu sudah dibatalkan (mansukh).

Imam Ibnu Taimiyah membahagikan lagi sepuluh sebab berdasarkan tiga keuzuran tersebut tadi. Saya ingin kemukakan empat sebab yang mudah difahami bagi anda semua.

SEBAB PERTAMA: hadith tidak sampai di sisi imam, oleh kerana itu ia tidak ditaklifkan (dibebankan) untuk menjadi alim bagi hukum itu. Apabila imam menentukan hukum mengenai suatu kejadian berdasarkan zahir ayat atau sesuai dengan hadis yang lain atau menurut qias, maka keputusan hukum yamg ditetapkan oleh imam itu kadang-kadang menepati dengan hadith itu (iaitu hadith yang tidak sampai di sisinya) dan adakalanya bercanggah.

SEBAB KEDUA: kebanyakan hadith yang diterima pakai di sisi (محدثين متقدمين) tidak dapat diambil kira di sisi ((محدثين متأخرين kerana terdapat dalam sanad yang riwayat tidak dikenali atau kurang ingatan atau yang dituduh berbohong.

SEBAB KETIGA: seorang mujtahid menganggap dhaif terhadap suatu sanad hadith menurut ijihadnya tanpa memgambil kira sanad yang lain, sementara mujtahid yang lain pula menganggap sanad hadith itu sahih walaupun kajian mereka yang menganggap dhaif itu betul.

SEBAB KEEMPAT: mujtahid terlupa dengan hadith yang ia pernah terima dan sampai di sisinya. Pernah Saidina Umar terlupa hadith mengenai tayammum bagi orang junub, maka Ammar bin Yasir mengingatkannya.

Segolongan masyarakat di zaman kita hari ini tersalah faham terhadap hadith. Mereka menyangka setiap hadith sahih dan hasan itu wajib diamalkan walaupun tidak dipegangi oleh para mujtahid. Perkara ini sebenarnya bukanlah seperti yang disangkakan. Sesungguhnya Imam Mujtahid mempunyai kaedah tersendiri menangani masalah ini lebih-lebih lagi apabila terdapat hadith-hadith yang berlawanan.

As-Syeikh Muhaddis Hindi Syah Abdul Aziz bin Syah Waliyullah Al-Dahlawi di dalam kitabnya العجالة النافعة ) ( mengulas dengan katanya: “sesungguhnya Imam mujtahid yang meneliti dalil-dalil bagi hukum-hukum syariat tatkala mereka melihat hadith-hadith Rasulullah s.a.w dan athar ( perkataan atau perbuatan ) sahabat dan tabe’in itu bersalah-salahan di antara satu sama lain, sedangkan ianya dasar atau sumber bagi segala hukum. Mereka berbeza pendapat dalam menangani percanggahan tersebut.

1) Imam Malik

Beliau memilih berpegang kepada amalan penduduk Madinah kerana Madinah adalah tempat tinggal Rasulullah s.a.w, khalifah-khalifahnya, anak-anak para sahabat, ahli keluarga Rasulullah s.a.w dan merupakan tempat penurunan wahyu. Maka penduduknya lebih mengetahui tentang pengertian wahyu. Oleh itu setiap hadith atau athar yang berlawanan dengan amalan mereka, maka pasti ianya dimansukhkan (dibatalkan hukum beramal) atau ditakwil atau ditakhsis (dikhususkan dengan sesuatu yang lain) atau tidak disebutkan cerita sebenar hadith atau athar tersebut. Justeru itu tidak boleh diambil kira dengannya.



قال ابن القيم: “من أصول مالك اتباع عمل اهل المدينة وإن خالف الحديث (بدائع الفوائد: ج 4، ص 23)

Ibnu Al-Qayyim (murid Ibnu Taimiyyah) berkata: di antara dasar-dasar Imam Malik ialah menuruti amalan penduduk Madinah walaupun amalan (mereka) itu bersalah-salahan akan hadith.

2) Imam Syafi’e

Beliau berpegang kepada amalan penduduk Hijaz serta menggunakan penyelidikan terhadapnya. Beliau meletakkan sesetengah riwayat-riwayat yang berlawanan itu pada satu keaadaan dan sesetengah pula pada suasana yang lain dengan cara menyatukan riwayat-riwayat tersebut selama mana yang mampu. Kemudian beliau mengembara ke Mesir dan Iraq. Di sana beliau mendengar banyak riwayat-riwayat daripada orang-orang yang dipercayai (thiqah) di negeri-negeri itu. Lalu nyatalah di sisi beliau sesetengah riwayat terlebih kuat berbanding dengan amalan penduduk Hijaz. Lalu terbit di dalam mazhabnya dua Qaul (pendapat) iaitu Qaul Qadim (pendapat yang lama) dan Qaul Jadid (pendapat yang baru).

3) Imam Ahmad bin Hambal

Beliau pula meletakkan setiap hadith mengikut zahirnya tetapi dengan cara mengkhususkan mengikut punca-punca datangnya hadith-hadith tersebut dengan cara menyatukan sebab hukum itu. Oleh yang demikian itu mazhabnya menyalahi qias dan berlawanan hukum dengan keadaan tiada yang membezakannya, itulah yang disandarkan mazhabnya kepada golongan zahiriah (puak yang berpegang kepada zahir nas-nas syarak).

4) Imam Abu Hanifah (Nukman Bin Thabit)

Adapun pendapat Imam Abu Hanifah dan para pengikutnya adalah jelas iaitu apabila kita meneliti nescaya kita mendapati di dalam syariat ada dua bahagian hukum. Pertama: merupakan kaedah yang umum yang menjadi dasar bagi hukum-hukum seperti;

(1)kesalahan seseorang tidak ditanggung oleh orang lain.

(2)kemerdekaan tidak menerima fasakh.

(3) kesempurnaan jualan melalui ijab dan qabul.

Kedua: kejadian-kejadian yang merupakan juzuk (cabangan) dan sebab-sebab tertentu seolah-olahnya menepati pengecualian terhadap kaedah-kaedah yang umum. Maka kewajipan seseorang mujtahid itu hendaklah ia memelihara kaedah yang umum dan meninggalkan selainnya kerana syariat itu pada hakikatnya merupakan kaedah-kaedah umum tersebut. Adapun hukum hakam yang bercanggah dengannya yang mana sebab-sebabnya dan ketentuanya tidak kita ketahui dengan yakin maka tidak boleh di ambil kira. Contohnya sesuatu jualan akan batal dengan adanya syarat-syarat yang fasid (rosak) adalah suatu kaedah umum. Adapun apa yang berlaku didalam kisah jabir di mana beliau mensyaratkan di dalam penjualan unta di bawah kegunaannya sampai ke Madinah adalah suatu kisah yang tersendiri yang merupakan juzuk(cabangan) yang mana tidak boleh menyanggahi kaedah kaedah umum tersebut.

HURAIAN TENTANG PERKATAAN IMAM SYAFIE

اذا صح الحديث فهو مذهبي ertinya: Apabila sahih sesuatu hadith maka ianya mazhabku.

1) Segelintir masyarakat tersalah faham terhadap perkataan imam-imam mujtahidin yang berbunyi: “Apabila sahih sesuatu hadith maka ianya mazhabku” dengan menganggap bahawa apabila menemui sesebuah hadith sahih yang bercanggah dengan pendapat imam, maka ditinggalkan pendapat imam tersebut, lantas beramal dengan hadith tersebut. Maksud sebenar yang dinukilkan dalam kitab syarah Ukud Rasmul Mufti bahawa sekiranya menemui hadith sahih mengenai mana-mana hukum yang tidak diputus oleh imam, maka hadith itu akan dibilang sebagai mazhab imam dan hukum itu terus ditambah dalam feqah imam tersebut. Ini kerana, jika imam itu masih hidup dan menemui hadith sahih sedemikian, tentulah ia akan mengambilnya untuk dijadikan sebagai dalil bagi pendapatnya serta mamasukkan dalam feqahnya.

2) Di dalam kitab Al-majmuk ada menerangkan pengertian sebenar perkataan Imam Syafie r.m.h:

i- Tiadalah bermaksud bahawa seseorang yang melihat hadith sahih lantas ia berkata ini adalah mazhab Syafie dan beramal dengan zahir hadis.

ii- Tidak juga perkataan ini ditujukan kepada mereka ( mujtahid ) yang tidak sampai kepada darjat ijtihad yang mana apabila menemui hadith sahih terus beramal dengannya.

iii- Bahkan makna perkataan ini ditujukan kepada mereka yang sampai darjat ijtihad tetapi hendak beramal dengan hadith sahih yang ditemui ada beberapa syarat:

a) Setelah ia (mujtahid) meneliti sekalian kitab Imam Syafie dan sekalian kitab ulama’ mazhab Syafie.

b) Kuat pada sangkaannya bahawa Imam Syafie tidak menemui hadith sahih itu.

3) Banyak hadith sahih yang telah sampai kepada Imam Syafie atau yang ia mengetahui tetapi ia tidak beramal dengan zahir hadith itu kerana Imam Syafie mengeluarkan hukum daripada hadis yang terlebih rajih daripadanya. Terkadang hadith itu mansukh (hadis yang dibatalkan hukum) atau ada hadith yang lain yang mentakhsiskan atau Imam Syafie telah menta’wil (mengambil makna yang lain selain daripada makna yang sebenar) hadith itu atau lainnya.

Ada setengah orang menyebut bahawa perkataan ini ditujukan kepada Ashab (anak murid) Imam Syafie iaitu Imam Muzani dan Imam Buwaiti ketika mereka mengemukakan pertanyaan “yang mana satu hendak dipegang antara dua perkataan Imam Syafie iaitu Qaul Qadim (pendapat Imam Syafie semasa di Baghdad) atau Qaul Jadid (pendapat imam Syafie semasa di Mesir). Maka Imam Syafie memberi jawapan dengan berkata اذا صح الحديث فهو مذهبي (maksudnya: pendapat yang manakah menepati dengan hadith sahih, itulah mazhabku). Oleh kerana itu perkataan Imam Syafie tersebut dibahaskan di dalam Muqaddimah Majmuk Imam Nawawi sebelum beliau masuk kepada tajuk فصل كل مسئلة فيها قولان للشافعي رحمه الله قديم وجديد (ertinya: fasal bagi setiap masalah feqah ada padanya dua pendapat di sisi Imam Syafie r.h.m iaitu qaul qadim dan qaul jadid(.

Peringatan:

Mazhab Syafie mempunyai ulama-ulama mujtahid tersendiri yang telah menjaga mazhab ini dengan berpandukan kaedah-kaedah Imam Syafie. Jika diandaikan bahawa Imam Syafie tidak menemui sesebuah hadith yang sahih untuk menerangkan sesuatu hukum, maka merekalah yang terlebih mampu dalam penyelidikannya tersebut.

Di sini anda semua perlu tahu lagi satu perkara iaitu fuqaha’ mujtahid mempunyai beberapa peringkat atau lapisan.

Peringkat pertama: mujtahid mutlaq

Peranan mereka ialah ijtihad (mengeluarkan hukum) dalam syariah. Seperti imam-imam empat mazhab dan (mujtahidin) yang mengemukakan cara yang sama dengan imam-imam yang empat itu seperti imam Safuan Sauri, Imam Auza’i dan sebagainya. Mereka (mujtahid mutlaq) menyediakan kaedah-kaedah yang merupakan dasar-dasar bagi ilmu feqah, kemudian berdasarkan kaedah-kaedah itu tanpa taqlid (menuruti pandangan orang lain kerana tidak ada kebolehan ijtihad) kepada sesiapa, mereka berijtihad melalui (adillah arba’ah) Quran, Hadith, Ijmak dan Qias pada hukum-hukum furuk.

Peringkat kedua: mujtahid fil mazhab

Mereka mempunyai kekuatan ijtihad di bawah suluhan dasar-dasar feqah yang ditetapkan oleh imam yang empat seperti:

1) Imam Buwaiti dan Imam Muzani dalam mazhab syafie

2) Imam Abu Yusof dan Imam Mohammad dalam mazhab hanafi.

Peringkat ketiga: mujtahid fil masa’il (mujtahid fatwa)

Mereka mampu mengeluarkan hukum melalui ijtihad sendiri pada hukum-hukum cabang di mana imam (mujtahid mutlaq) dan muridnya (mujtahid fil mazhab) masih belum mengeluarkan hukum mengenai sesuatu amalan itu seperti.

1) Imam Nawawi dan Imam Rafe’i dalam mazhab Syafi’e

2) Imam Tahawi dan Imam Sarkhasi dalam mazhab Hanafi.

Peringkat ke-empat: ashabul takhrij

Mereka tidak dianugerahkan dengan kebolehan ijtihad tetapi mereka mampu menentukan satu kemungkinan di antara dua kemungkinan bagi qaul (pendapat) imam atau muridnya memandangkan (bersandar) dasar feqah imam.

1) Imam Ramli dan Imam Ibnu Hajar Haitami dalam mazhab Syafi’e

2) Imam Karkhi dan Jassas Razi dalam mazhab Hanafi.

Peringkat kelima: ashabul tarjih

Tugas mereka adalah mengutamakan satu riwayat atau satu pendapat di antara riwayat-riwayat atau pendapat-pendapat yang berlainan oleh imam-imam dalam mazhab. Mereka juga tidak mempunyai kebolehan ijtihad.

Peringkat ke-enam: ashabul tamyiz

Mereka mampu membeza-bezakan antara pendapat imam-imam. Pendapat yang mana kuat, lemah atau lebih kuat dan sebagainya. Mereka juga bertaqlid pendapat imam.

Dengan meneliti perkara-perkara tersebut dapat difahami bahawa betapa rumitnya ijtihad dari Al-Quran dan Al-Hadith, bukan senang dan mudah nak jadi mujtahid. Sesetengah mereka yang kurang waras, yang dapat menghafal beberapa buah hadith dan sempat belajar dua-tiga buah kitab hadith dan menganggap bahawa itu sahajalah hadith yang diterima daripada Rasulullah s.a.w dan terus menafikan atau menolak pandangan-pandangan ulama’ yang berdasarkan hadith-hadith yang lebih banyak daripada mereka itu. Yang mereka tidak tahu itu mereka menganggap langsung tidak wujud. Mereka umpama seekor ulat yang menyusup hidup di celah belahan sebutir batu. Batu itulah langit dan bumi bagi ulat itu. Begitulah dengan keadaan mujtahid moden pada masa kini.

Saya merasa hairan juga dengan pengikut-pengikut mereka kerana mereka juga turut menolak dan mencaci imam-imam mu’tabar lagi bertaqwa hidup pada zaman hampir dengan zaman Rasulullah s.a.w dan sahabatnya. Sebaliknya mereka menyokong pula dengan mujtahid moden tidak bertaqwa hidup pada zaman hampir dengan zaman dajjal. Ulama’ cendikiawan dan mujtahid yang wujud pada zaman khairul kurun disingkir, dianggap lekeh, tidak berguna manakala mujtahid moden yang wujud pada zaman syarrul kurun pula disambut meriah dan dihormati.

Daripada semua perkara yang sudah saya bentang itu saya tidak bermaksud bahawa pada masa kini tidak dibenarkan berijtihad dan wajib bertaqlid. Pintu ijtihad masih terbuka lagi. Kalaulah anda mempunyai kebolehan ijtihad silakan anda masuk gelanggang berijtihad, kerana (هم رجال ونحن رجال) mereka (mujtahidin) lelaki dan kami juga lelaki. Apa salah kami juga berijtihad seperti mereka. Tetapi yang menjadi lucunya ialah orang yang tahu memberi ubat panadol kepada orang demam berlagak menjadi doktor pakar. Ada juga sesetengah pihak bergaya bahawa seandainya ائمة اربعة hidup masa kini, ائمة اربعة juga wajib ikut pandangan mereka.

Akhirnya saya mahu menasihati kepada anda semua:

1) Jangan menghabiskan sia-sia usia kamu yang begitu berharga itu dalam kancah perselisihan dan pertengkaran yang tidak dapat mengaut keuntungan duniawi dan juga ukhrawi.

2) Daripada anda menuruti jalan perselisihan dan perpecahan baik anda menuruti jalan persefahaman dan bersatu-padu supaya dapat keredhaan Allah dan Rasul-Nya. Ingat! Perpecahan itu merupakan batu penghalang bagi membawa rahmat Allah.

3) Anda perlu memahami diri bahawa dimanakah kedudukan anda sebenar? Sebagai mujtahidkah muhaddith ataupun sebagai mujtahid mutlaq atau mujtahid fil mazhab.

4) Jangan terlalu menonjolkan diri sebagai mujtahid jika tidak sampai kepada darjat ijtihad dan hanya mempunyai ilmu yang sedikit.

5) Perlulah anda semua mempelajari sikap menghormati pandangan orang lain dan janganlah berseronok mengkritik terhadap pandangan ulama’ mujtahidin dan muhaddithin yang mempunyai ilmu, amal, taqwa dan sikap amanah dengan ilmu yang dianugerah Allah s.w.t.

6) Jangan pula terpengaruh dengan mereka yang berpura-pura membawa aliran mengikuti Al-Quran dan Al-Sunnah sedangkan mereka berpegang dengan aqidah tajsim dan tasybih yang menyalahi dengan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan jumhur muslimin.

Mudah-mudahan Allah s.w.t memberi taufiq kepada kita agar dapat mengikuti jalan yang benar lagi lurus dan menjauhi kita daripada menuruti jalan yang sesat lagi menyesatkan.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons