PADA perhimpunan ilmiah tokoh agama dan cendekiawan semua agama di Mesir dilontarkan satu isu siapakah antara penganut agama samawi (Yahudi, Kristian dan Islam) layak masuk syurga. Pertanyaan ini ditanya kepada tokoh agama Yahudi, Kristian dan Islam yang berada di atas pentas.
Tokoh agama Yahudi dan Kristian tidak berani menjawab dan menyerahkan jawapannya kepada ulama Islam yang menjawab dengan mudah bahawa yang layak masuk syurga daripada semua penganut agama ialah Muslim. Kemudian beliau menjelaskan bagi orang Yahudi yang layak masuk syurga ialah siapa saja yang beriman kepada Nabi Musa AS dan bagi orang Kristian yang layak masuk syurga ialah sesiapa saja yang beriman kepada Nabi Isa AS. Tetapi bagi umat Islam yang layak masuk syurga ialah yang beriman kepada Nabi Muhammad SAW dan semua nabi, termasuk Nabi Musa dan Nabi Isa. Firman Allah yang bermaksud: “Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain daripada Rasul-Rasul-Nya.” (Surah al-Baqarah: 285)
Ahad minggu lalu, tentera rejim Israel menceroboh Masjid al-Aqsa dan mencemari kesuciannya. Perkara ini bukan pertama kali dilakukan pengganas itu dan bukan juga yang terakhir kerana selagi ada Israel di sana, selama itu pula Masjid al-Aqsa berada dalam bahaya.
Kejadian pertama yang menimpa Masjid al-Aqsa dalam sejarah moden ialah pada 21 Ogos 1969. Pada hari itu, seorang lelaki berbangsa Australia, Dennis Michael Rohan membakar Masjid al-Aqsa. Api menyala besar dan membakar tembok serta mimbar besarnya yang dibina sejak zaman Nuruddin al-Zinki dan pernah digunakan oleh Salahuddin al-Ayyubi pada zaman pemerintahannya.
Api berkobar dengan dahsyat seolah-olah seluruh Masjid al-Aqsa akan musnah ketika itu. Sehinggakan bomba juga tidak menghulur bantuan. Tetapi Allah SWT menyelamatkan Masjid al-Aqsa dan melindunginya. Akhirnya api dapat dipadamkan.
Selepas itu orang Yahudi membuat pengadilan pura-pura terhadap Rohan yang mendakwa dia diutuskan oleh Allah untuk melakukan pembakaran itu, bersesuaian dengan berita daripada Kitab Zakaria. Kemudian Rohan dibebaskan Yahudi dengan alasan gila. Sejak itu, 21 Ogos diangkat sebagai Hari al-Quds sedunia.
Seorang paderi di Baitulmaqdis, Atallah Hanna yang juga tokoh Kristian Ortodoks Greek, Selasa lalu mendesak semua gereja di dunia membantu membela Masjid al-Aqsa daripada serangan Israel. Paderi itu menyeru seluruh umat Islam dan Kristian bersatu dalam mencegah serangan dan pencemaran terhadap Masjid al-Aqsa.
Seruan ini datang selepas pasukan khas Israel menyerang Masjid al-Aqsa di wilayah pendudukan Baitulmaqdis Timur dengan menembak peluru dan gas pemedih mata. Zionis juga melarang penduduk Palestin masuk ke kompleks Masjid al-Aqsa untuk melaksanakan ibadat. Masjid al-Aqsa ialah kiblat umat Islam yang pertama dan juga tempat berlaku peristiwa Israk Mikraj.
Masjid ini mempunyai pertalian sejarah dengan semua agama sejak zaman Nabi Allah Sulaiman. Malangnya. ia silih berganti dijajah oleh bangsa Yahudi, Rom dan Parsi hingga pada zaman Umar abad ke-7, ia dibebaskan daripada belenggu penjajahan.
Pada awal abad ke-12 Masihi, Masjid al-Aqsa kembali dijajah tentera salib, namun akhirnya dibebaskan oleh Salahudin Al-Ayyubi. Kini sejak 1948, Masjid al-Aqsa sekali lagi dijajah tentera Zionis. Ia masjid ketiga paling suci. Melalui dalil hadis yang sahih, diriwayatkan oleh al-Tabrani menyatakan sesiapa yang bersolat di masjid ini mendapat 500 kali ganda pahala.
Pada akhir zaman nanti, akan berdirinya ibu negara umat Islam di bumi ini dan kemajuannya akan membawa kepada tanda akhir zaman. Ini berdasarkan hadis Rasulullah diriwayatkan Nu’aim Hammad dalam kitabnya al-Fitan.
Al-Quds ialah nama lain bagi Baitulmaqdis iaitu kota lama terletak di Palestin dan wilayah Syam. Ia dinamakan al-Quds selepas penaklukan kembali umat Islam terhadap bumi Palestin. Di sebelah timur kota ini terletak Masjid al-Aqsa, manakala di baratnya terletak gereja Nativity di kawasan Khan al-Zeit.
Kota ini dianggap sebagai kota suci bagi Islam, Kristian dan Yahudi kerana ketiga-tiga agama ini mempunyai nilai kudus pada kota berkenaan. Bagi penganut Kristian, berdasarkan akidah mereka di sanalah tempat kelahiran Jesus dan di situ juga juga Jesus disalib dan akan dibangkitkan menjelang kiamat kelak. Yahudi pula mendakwa kota ini adalah janji tuhan Yahweh dan muncul Messiah yang dinantikan.
Tamat peperangan 1967 yang menyaksikan kemenangan rejim Israel dengan bantuan Amerika Syarikat, tentera Zionis memasuki Masjid al Aqsa dan menawannya. Kejayaan mereka dianggap sebagai mukjizat yang berupa petanda berakhirnya agama Islam. Mereka menyambutnya dengan menari sambil menyanyikan lagu: “Letakkan aprikot ke atas epal, agama Muhammad sudah hancur dan musnah. Muhammad sudah mati, yang tinggal hanya anak perempuan yang lemah.”
Ketika itu juga Zionis mengisytiharkan tembok sebelah barat Masjid al-Aqsa (Tembok Buraq) sebagai milik mereka. Perlu diingat, penawanan Tembok Buraq bukan bererti penamat dan tindakan terakhir dalam perjuangan mereka menakluki al-Quds tetapi ia permulaan bagi mereka untuk merobohkan Masjid al-Aqsa dan membina semula The Mount Temple atau Haykal Sulayman.
Isu penaklukan Palestin dan kemusnahan Masjid Al Aqsa semakin parah apabila Eropah dilanda kebangkitan golongan Kristian Protestan yang melakukan penyemakan semula kitab suci mereka. Antara akidah yang disemak semula ialah perihal kedatangan Jesus di Baitulmaqdis menjelang alaf kedua tahun Kristian.
Melalui penyemakan semula kitab suci itu, mereka mendakwa Jesus hanya muncul dalam suasana seperti ia muncul buat kali pertama di Baitulmaqdis. Beliau tidak akan muncul selepas tegaknya Haykal yang disebut dalam Old Testment.
Oleh itu, untuk menyambut kemunculan semula kelahiran Jesus, Haykal perlu dibina dan orang Yahudi perlu dikumpulkan semula di Baitulmaqdis untuk disembelih oleh Jesus kerana golongan Yahudi membunuh Jesus.