01 Disember 2009

Bila ALlah Menarik Nikmat Ilham.

Ada masa-masanya juga bila fikiran tidak dapat memberikan buah pendapat. Ketika itu akal terasa kosong dan tidak mampu untuk berfikir dengan baik.

Lalu timbullah perkataan 'buntu' dan tiada idea. Duduklah berjam-jam menunggu datangnya ilham agar dapat menulis, membuat keputusan. Syaitan pula mungkin datang berbondong-bondong membawa hasutan yang negatif agar jiwa pula turut merasa kelelahan.

Tahulah, bahawa yang Empunya milik kepada idea mengambil nikmatnya. Mungkin juga untuk sementara dan mungkin juga untuk selama-lamanya. Mungkin juga ia sebagai medan ujian, apakah yang perlu dibuat dalam situasi sedemikian ?. Adakah untuk bersungut? Adakah membiarkan masa dan keadaan terus berlalu dan akhirnya timbul perkataan 'Bosan' dan 'putus asa'?


Bila tiba waktu begitu, ambillah masa untuk beristirehat. Biarlah akal beriadah seketika dari bekerja untuk berfikir sahaja. Lihat alam ALlah seluas-luasnya, carilah tempat yang tidak menimbulkan tekanan. Mungkin di kala ini mendengar alunan zikruLlah, alunan nasyid menjadi penawar jiwa yang sedang sunyi sebentar.

Ambillah buku-buku yang dapat mengubat jiwa, kata-kata yang dapat memberikan motivasi dan nasihat. Mungkin hilangnya ilham disebabkan oleh maksiat yang dilakukan ? Mungkin juga kerana fikiran terlalu sesak memikir masalah dunia. Cubalah belajar mendekati para alim ulama dan dapatkan nasihat yang berhikmah daripada mereka. Bukankah selama ini kita jarang benar mendekati mereka ? Mungkin akal dan hati yang sedang lesu akan mendapat kekuatan baharu, dan menghidupkan kembali cahaya dalam diri..

Syukurlah wahai diri, dalam keadaan sempit Dia masih memberi peluang untuk berfikir dengan waras. Ada manusia yang Allah uji, dia merungut dan kecewa. Ada manusia yang Allah beri mehnah kepadanya lalu ia semakin lari dariNya..

Wahai diri, teruskan menyampaikan perkara kebaikan apabila ada ilham yang menjengah dalam minda. Gunalah dengan sebaik-baiknya agar ia tidak menjadi saksi pula atas kejahatan yang engkau lakukan di hadapan ALlah kelak.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons