26 Disember 2009

Bersolat pupuk disiplin.

Bersama Mohd Zawawi Yusoh

JAMINAN Allah s.w.t di dalam ayat surah al-Mukminun yang bermaksud: “Pasti berjaya orang-orang yang khusyuk dalam solatnya.”

Nabi Muhammad s.a.w serta sahabat berjaya mengubah lembah hina di Makkah kepada kawasan paling popular daripada sifat jahiliyah hasil daripada roh solat.

Perkataan kejayaan di dalam al-Quran ada tiga. Pertama an-Nasru, iaitu kejayaan di dalam peperangan. Kedua al-Fauz (kemenangan) yang membawa nikmat syurga. Ketiga al-Falah bermakna berjaya di dunia dan akhirat.


Umat Islam diseru sebanyak 15 kali sehari semalam; 10 kali dalam azan dan lima kali dalam iqamah. Itulah suara motivasi yang berkumandang saban waktu sehari semalam.

Kita acap kali bersolat tetapi tetap malas. Kita bersembahyang tetapi masih ponteng kerja, curi tulang, bergaduh dan mengumpat seolah-olah ia tidak dapat ‘dipisahkan’.

Sebenarnya apa sudah jadi dengan solat kita? Kenapa kita masih tidak berjaya? Hadis Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud; Sembahyanglah kamu sebagaimana kamu lihat aku sembahyang.

Sifat solat nabi antara lainnya adalah di awal waktu. Adakah kita menjaga waktu solat? Kata orang ‘time is money’ tetapi yang paling penting sebenarnya bukan saja duit tetapi ‘time is live’.

Bagaimana kita mengisi waktu? Membuang masa bererti kita membunuh keseluruhan kehidupan. Remaja suka melepak, kemudian ada yang dapat peluang belajar tetapi mensia-siakannya.

Belajar di Barat memang tidak salah tetapi sebelum belajar sudah menjadi orang Barat. Dengan baju seluar koyak rabak malah yang kita bimbang iman dan daya juang pun turut koyak sekali.

Siapa yang tidak tahu perkataan janji atau jam Melayu. Asal lewat kita sudah tahu apa yang ramai dikatakan; “Ala biasalah janji Melayu… Jika macam ini bagaimana hendak menjadi insan cemerlang. Nampak gayanya kita hanya jaga masa pada bulan puasa. Itu pun waktu Maghrib kerana tidak sabar hendak berbuka.

Antara sifat solat Nabi Muhammad s.a.w adalah khusyuk. Khusyuk bermakna memberikan fokus sepenuhnya kepada pekerjaan yang dilakukan. Hal ini berkaitan dengan penumpuan tinggi apabila melakukan sesuatu, dan bukannya dibuat sambil lewa.

Kita banyak melakukan kerja tidak betul. Kerja yang betul pula dibuat dengan tidak betul. Apabila tidak dibuat dengan sepenuh perhatian, kerja yang betul menjadi tidak betul.

Manakala jika buat kerja yang tidak betul pun jadi betul. Sesuatu perkara hanya akan berhasil dan terlaksana jika kita memberi penumpuan sepenuhnya terhadapnya. Cuba kita lihat kanta, kalau dipancar ke atas kertas, cahaya matahari boleh menembusi lalu membakarnya.

Ulama dulu sangat fokus dalam pekerjaan yang mereka sehingga lahirlah pakar perubatan seperti Ibnu Sina, pakar astronomi seperti al-Khawarizmi dan ramai lagi cendikiawan yang bekerja dengan betul.

Solat berjemaah juga adalah salah satu sifat solat Nabi Muhammad s.a.w. Maknanya jika hendak cemerlang, kita kena melakukan solat secara berjemaah.

Jangan cemburu dengan kejayaan orang lain. Jika ada sebuah kedai nasi lemak berjaya, jangan cemburu serta dengki. Malah, akibat cemburu yang tahap ‘parah’ mereka sanggup menghantar toyol, ceplos, jenglot atau bomoh Siam.

Solat berjemaah akan memupuk jalinan kerjasama antara kita. Kekuatan itu jelas kerana apabila bersembahyang, kita berdiri bersebelahan jemaah lain yang mana bahu akan bertemu dengan jemaah di kanan dan kiri.

Selepas selesai solat berjemaah, jangan bercakaran sesama sendiri. Perkara terbaik adalah dengan menyokong serta mendoakan kejayaan mereka supaya terus berjaya.

Terbukti orang yang bersolat pasti akan berjaya. Ini kerana ketika bersolat kita berasa diri kita sentiasa diperhatikan serta diawasi. Kita tidak pernah melakukan solat empat rakaat kemudian dipotong menjadi dua walaupun kita bersolat berseorangan di dalam gelap.

Masalahnya, apabila berada di luar solat kita lupa kepada tuntutan di dalam amalan solat. Contohnya di luar solat kita menjual dan menaikkan harga barang sewenang-wenangnya. Yang rosak dicampur dengan yang baru malah makanan yang sudah basi juga kita sanggup menjual.

Solat melatih kita membuat kerja ibarat dipantau audit dalaman dan luaran. Teguran mengajar kita supaya jangan mengulangi kesalahan lampau. Jiwa orang cemerlang bukannya tidak membuat kesilapan tetapi orang cemerlang tidak akan mengulangi kesilapan sama.

Dikirim dalam Amalan Pilihan | 1 Komen »

Orang beriman muliakan tetamu
DIkirim oleh epondok di Disember 19, 2009

Oleh Mohd Shahrizal Nasir

SETIAP individu pasti pernah didatangi tetamu. Tetamu yang datang berkunjung ke rumah pastinya dengan hajat dan keperluan tertentu. Islam amat menitikberatkan hubungan antara sesama manusia.

Justeru, sejak daripada awal Islam menggariskan adab bagi memuliakan tetamu ke rumah

Tetamu yang datang adalah amanah Allah yang harus ditunaikan haknya. Tuan rumah bertanggungjawab ke atas tetamu selama berada di rumahnya serta wajib menafkahkan sebahagian rezekinya buat tetamu itu.

Dengan menghormati tetamu dan menyempurnakan haknya, ia menjadikan seseorang Muslim itu memiliki iman yang sempurna apatah lagi tetamu itu saudara seagama.

Namun, tetamu bukan Islam turut mendapat layanan yang sama daripada tuan rumah beragama Islam.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud; “Tidak sempurna iman seseorang itu, sehingga dia mengasihi saudaranya, sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.” (Hadis riwayat Muslim).

Menghormati dan memuliakan tetamu adalah sunnah rasul dan nabi. Malah, Nabi Ibrahim a.s adalah antara rasul yang amat memuliakan tetamunya. Baginda menerima tetamu dengan hati terbuka dan melayani mereka dengan baik.

Allah s.w.t merakamkan perihal Nabi Ibrahim a.s ini menerusi firman-Nya bermaksud: “Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Ibrahim yang dimuliakan? Tatkala mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: “Salam sejahtera kepadamu!”, Ibrahim menjawab: “Salam sejahtera kepada kamu!” (sambil berkata dalam hati): Mereka ini orang yang tidak dikenali. Kemudian ia masuk mendapatkan ahli rumahnya dan dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkan kepada mereka sambil berkata: “Silakanlah makan.” (Surah adz-Dzaariyaat, ayat 24-27).

Hakikatnya, amalan menghormati tetamu bukan saja menunjukkan ciri-ciri perilaku terpuji, malah berkait rapat dengan tahap keimanan seseorang Muslim.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Barang siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menghormati tetamunya. Barang siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia menyambung silaturahim.” (Hadis riwayat Bukhari).

Di antara adab memuliakan tetamu dianjurkan Islam ialah:

- Menyambut tetamu dengan perasaan gembira dan wajah yang manis

- Saling bertanya khabar berita serta bertukar-tukar cerita yang baik.

- Sedaya-upaya menyembunyikan sebarang masalah keluarga agar tidak diketahui tetamu.

- Menyajikan hidangan makanan kepada tetamu.

- Menyediakan tempat tidur yang baik serta kemudahan yang diperlukan jika mereka bermalam di rumah.

- Sediakan mengikut tahap kemampuan tuan rumah.

- Tidak terlalu berkira, tak pula terlalu berlebihan dan bukan dengan niat untuk bermegah-megah dengan rezeki serta kemewahan yang ada.

Allah s.w.t berfirman di dalam al-Quran bermaksud: “Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.” (Surah al-Furqaan, ayat 67).

Rasulullah s.a.w bersabda: “Bertamu (menziarah) itu tiga hari dan selebihnya siang mahupun malam. Tidak halal bagi seorang Muslim menetap di rumah saudaranya sehingga saudaranya itu berdosa kerananya. Sahabat bertanya: Bagaimana caranya dia berdosa? Jawab Baginda: Orang itu menetap di rumah saudaranya, padahal saudaranya itu tidak mempunyai apa-apa lagi yang akan dihidangkan (diberikan) kepada tetamunya itu.” (Hadis riwayat Bukhari).

Keadaan ini adalah bagi mengelak perasaan terbeban tuan rumah. Amalan yang pada awalnya dikira sebagai amalan yang mulia, tetapi jika ia berlarutan sehingga menyusahkan tuan rumah, ia dikhuatiri akan menimbulkan suasana tidak selesa malah boleh menimbulkan perbalahan dan persengketaan pada kemudian hari.

Dalam konteks yang lebih besar lagi, rakyat sebuah negara yang diiktiraf sebagai antara negara Islam contoh, seharusnya kita rakyat Malaysia sentiasa mempamerkan akhlak dan budaya yang terpuji kepada khalayak yang berkunjung ke negara ini.

Tanpa mengira agama dan budaya, mereka seharusnya diberi bantuan sewajarnya sepanjang di negara ini. Sifat ringan mulut memberi bantuan apabila diajukan soalan oleh tetamu negara dan disertakan dengan senyuman adalah antara cara bagi menunjukkan tatasusila dan budaya rakyat Malaysia.

Sesungguhnya tetamu mengundang rahmat daripada Allah s.w.t ,menghilangkan dosa penghuni rumah dan menjanjikan pahala sedekah buat tuan rumah yang berusaha sebaik mungkin memuliakan tetamu menurut tuntutan Islam.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons