28 Disember 2009

Apa salahnya berdoa senja hujung tahun?

Oleh Subky Latif

Sejak mazhab Syafie tiba ke Malaysia sebelum kedatangan penjajah Portugis pengikutnya beramal, berdoa setiap senja hujung tahun hijrah, mohon bertaubat dan diampun segala dosa sebelumnya atau sepanjang tahun yang lalu.

Selepas saja selesai solat Maghrib yang pertama di awal tahun baru hijrah itu mereka berdoa pula mohon keampunan dan sejahtera kehidupan tahun baru itu.

Berdoa itu memang disuruh tetapi para serjana Islam mutaakhir ini menyebut tiada nas dari Al-Quran dan Sunnah menetapkan doa hujung tahun itu dibuat senja menjelang berakhirnya tahun itu.


Berdoa itu dibenarkan tetapi tidak semesti senja, bila-bila masa saja pada hari terakhir boleh berdoa baik pagi mahu pun petang.

Pandangan baru itu tidak melarang berdoa sebelum masuk Maghrib hari terakhir tetapi jangan ditetap itu saja masanya.

Kalau ia ditetap, ditakuti jadi lain pula hukumnya. Elok doa itu ibadat, takut tidak jadi ibadat lagi. Malah boleh berdosa pula.

Tetapi berdoa senja itu menjadi amalan orang mazhab Syafie di Nusantara. Siapa yang memulakannya? Dan ia tidak ditakwil pula oleh alim ulama sejak sebelum kedatangan Peringgi lagi.

Tentunya ia tidak dicetus oleh orang jahil termasuk pujangga dan para filosof. Tentunya ia disarankan oleh ulama dan sepakat pula ulama hingga ke awal tahun 1900 tidak mentakwil. Sepakat mereka dari semasa ke semasa berdoa sebelum masuk Maghrib.

Adakah mereka tidak tahu tiada nas yang menetapkan begitu? Takkanlah tertutup terus fikiran mereka hingga tiada yang terfikir tiada nas yang menentukan begitu tetapi mereka terus beramal begitu.

Sekarang ia ditakwil. Tetapi tidakkah terfikir para sarjana sekarang untuk menyelidik bagaimana adanya dan mulanya kesepakatan pengikut mazhab Syafie Nusantara beramal begitu?

Kebanyakan ulama besar silam dari Nusantara datang dari dua wilayah iaitu Pattani dan Negeri Banjar. Masyhur hingga ke Mekah sejak dulu lagi. Antara mereka Mekah itu seperti rumah kedua. Bagitu berinteraksi mereka dengan sekalian ulama yang datang bernaung di Mekah.

Hingga sumber hukum bagi ulama Tanah Melayu terletak atas empat asas iaitu Al-Quran, Al-Sunnah, ijmak ulama dan qias.

Tidak bolehkah kita bersangka baik terhadap ulama tua dulu bahawa mereka juga sedar akan tiadanya nas al-Quran dan Sunnah mengenainya? Tetapi tidakkah mereka sudah ijmak tentang doa hujung tahun itu dan masa terbaiknya ialah senja menjelang waktu tertutupnya tahun baru itu?

Bila tiada yang takwil, tidakkah ia tetap dengan kehendak ijmak ulama? Dan apakah sepanjang lima kurun Islam berada di Nusantara, ulamanya tidak mampu berijtihad dan berfatwa? Adakah agaknya ulama silam itu tidak teliti dan tidak berpegang kepada ilmu seperti yang dikehendaki oleh Islam?

Tidak mungkinkah mereka mendirikan pondok-pondok di seluruh alam Melayu termasuk Di Filipina ssebelum kedatangan Sepanyol empat ratus tahun dulu berqias bahawa waktu terbaik berdoa di hujung tahun itu ialah sejurus sebelum tenggelamnya matahari hari terakhir itu?

Kalau sehari suntuk berpuasa itu sejak terbit fajar hingga terbenam matahari. Tidak sempurna puasa juka berbuka sesaat matahari terbenam. Sehingga masuk matahari barulah dikira sehari puasa.

Maka menabahkah diqiaskan genap setahun itu bermula dari masuk Maghrib pertama tahun itu hinggalah masuk Maghrib terakhir di hujung tahun.

Soal bila waktu yang terabik doa itu makbul di hari terakhir itu tidak timbul. Pagikah? Tengash harikah? Atau senjakah?

Yang pentingnya berdoa.

Kita boleh berdoa pagi. Tetapi boleh diqiaskan tahun itu belum penuh dan ada beberapa jam lagi sebelum berakhir. Begitu juga tengah hari, ada enam jam lagi atau waktu Asar ada dua atau tidak jam lagi.

Waktu beberapa jam itu berkemungkin ada lagi tambahan dosa. Satu atau dua jam pun dosa juga. Dan apabila doa itu dibuat pada minit-minit terakhir, maka genap setahun kita bersyukur atas segala nikmat yang diberi, kita bersyukur hingga ke saat yang terakhir dan kita mohon taubat dan minta ampun segala dosa hingga ke minit yang terakhir.

Bukanlah kita tidak berdoa langsung minta keampunan di sebelah pagi dan tengah hari. Kita berdoa juga, tetapi sampai habis tahun kita berdoa juga.

Walaupun apabila masuk saja tahun baru kita mohon taufik, hidayat, syufaat, keampunan dan kesejahteraan untuk sepanjang tahun, tetapi tidaklah memadai dengan sekali berdoa di awal tahun itu kita tidak berdoa lagi. Hingga ke hujung tahun kita tidak puas-puas mahu berdoa lagi.

Bukan Allah tidak faham kita sudah berdoa sebaik saja masuk tahun baru, tetapi Allah suka berdoa lagi dan lagi sehingga habis tahun dan disambung semula di tahun yang akan datang.

Mungkin kita tidak tahu sejarah dan latar belakang doa itu digalakkan pada waktu senja, kerana tidak terjumpa nas tentang ia misti dibuat waktu itu, maka takut berlaku kegelinciran.

Untuk bersangka baik kepada sekalian ulama lama, tentu adalah sandaran dan pegangan mereka menggalakkan berdoa lewat. Sekalipun tidak diketahaui sandaran mereka dari nas yang nyata, tetapi yang jelas mereka sepakat atau ijmak. Majoriti diyakini jujur dengan ilmu dan disiplin ilmunya, mereka juga tentulah teliti dan juga takut kepada Allah dan dosa.

Oleh kerana kerja-kerja mereka tidak sepenuh dicatitkan, tiada rekod bagi dijadikan saksi, tidak seteliti perawi hadis merakamkan hadis, maka buktikan seperti rekod tentang hadis sahih.

Perlu diingat, tetang tiada nas mengenainya adalah ingatan yang baik supaya kita tidak berkata ia dari al-Quran dan Nabi SAW, tetapi supaya terhindar dari memfitnah para ulama, kita boleh beranggapan ada gias dan ijmaknya.

Tidak kita terfikir ada penyelidikan mengenainya?

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons