Dalam kitab Fiqh Manhaji, Sumpah (arab : Aiman) bermaksud, ”menyebut salah satu nama-Nama Allah, ataupun salah satu dari sifat-sifat Allah dengan tujuan untuk mengukuhkan sesuatu kata-kata yang dianggap tidak kukuh”.
Sumpah yang diambil kira adalah sumpah yang tidak mengandungi maksud lagha, seperti kebiasaan sumpah yang digunakan dalam percakapan. Dalam kebiasaan bangsa arab, apabila mereka bercakap, kalimah ‘Wallahi’ menjadi kebiasaan. Ekoran itu, Allah SWT menurunkan firman-Nya;
لَا يُؤَاخِذُكُمُ اللَّهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَكِنْ يُؤَاخِذُكُمْ بِمَا عَقَّدْتُمُ الْأَيْمَانَ
Maksudnya;
“Allah tidak akan mengambil kira terhadap kamu terhadap lagha pada sumpah-sumpah kamu. Tetapi, yang Allah ambil kira terhadap kamu akan apa yang kamu ikatkan dengan sumpah”
(Surah al-Maidah : 89)
Maksud dengan “lagha dalam sumpah” yang merujuk kepada ayat ini adalah, sepertimana yang diriwayatkan daripada Aisyah bahawa, ayat ini diturunkan mengenai percakapan kebiasaan seperti menyebut kalimah “tidak, demi Allah”, “Ya, Demi Allah” (al-Bukhari : 6286)
Dalam hadis yang lain pula, dinyatakan bahawa Rasulullah SAW menafsirkan ayat ini dengan sabda Nabi SAW, “Sumpah yang dimaksudkan itu adalah kata-kata seseorang lelaki di rumahnya; Tidak, demi Allah, dan Ya, demi Allah” (Abu Daud : 3254)
Begitujuga, maksud ayat ini dirujuk kepada perkataan yang tidak sabit kebenarannya, seperti seseorang berkata, “demi Allah, saya pasti tidak akan mati”, ataupun perkataan yang tidak perlu disumpah pun, sememangnya berlaku, seperti seseorang itu berkata, “demi Allah, matahari pasti akan timbul”.
LARANGAN BERSUMPAH
Disamping sumpah digunakan untuk menguatkan perkataan, ada beberapa keadaan sumpah dilarang sama sekali. Antaranya adalah, sumpah dengan tujuan untuk membenarkan sesuatu yang sememangnya salah. Seperti, seseorang pencuri mahu menafikan tindakannya yang mencuri, lalu untuk dipercayakan kepada orang, menyebabkan dia bersumpah.
Begitujuga, terlarang daripada menggunakan nama Allah dalam bersumpah untuk melariskan jualan dan perniagaan dengan wujudnya unsure penipuan. Tindakan sebegini adalah haram, kerana tindakan sumpah tersebut mengandungi maksud mempermain-mainkan nama Allah SWT.
Sabda Nabi SAW, “Sumpah itu menghapuskan nilaian barang dan melenyapkan keberkatan” (Al-Bukhari : 1981)
Begitujuga, dilarang bersumpah dengan tujuan tidak mahu melakukan amalan-amalan yang baik, seperti seseorang itu bersumpah untuk tidak mahu bercakap dengan ibunya, bersumpah untuk tidak mahu menunaikan solat dan sebagainya. larangan itu merujuk kepada firman Allah SWT;
وَلَا تَجْعَلُوا اللَّهَ عُرْضَةً لِأَيْمَانِكُمْ أَنْ تَبَرُّوا وَتَتَّقُوا وَتُصْلِحُوا بَيْنَ النَّاسِ
Maksudnya;
“jangan kamu jadikan sumpah kamu sebagai penghalang daripada kamu melakukan kebaikan, ketaqwaan dan melakukan islah diantara manusia”
(Surah Al-Baqarah : 224)
Adapun jika seseorang itu dituduh dengan sesuatu tuduhan yang tersasar dari hakikat sebenar, lalu mahu mempertahankan diri, ketika itu, bersumpah adalah dituntut. Hal ini, bersandarkan kepada kaedah yang menyebut;
البينة علي المدعى و اليمين على من انكر
Maksudnya;
“keterangan / bukti terhadap tuduhan, dan sumpah atas mereka yang mengingkari (terhadap tuduhan)”
Justeru, perlu difahami dengan ilmu islam yang benar – tidak tersasar disebabkan sentiment dan kebodohan, dengan mendakwa bahawa semua sumpah itu adalah dilarang, dengan mendakwa ia adalah amalan orang munafiq. Bahkan, apa yang diketahui, dalam beberapa keadaan, sumpah adalah perkara yang dituntut, terutama dalam menerangkan sesuatu kebenaran.
Apa yang hendak dinyatakan, sumpah juga merupakan salah satu perkara yang pernah dilakukan oleh Nabi SAW, seperti satu hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari, bahawa Nabi SAW bersabda;
فَوَاللَّهِ لَا يَمَلُّ اللَّهُ حَتَّى تَمَلُّوا
Maksudnya;
“Demi Allah, Allah tidak akan jemu hingga kamu sendiri merasa jemu” (Al-Bukhari : 43)
Sekian
Wallahu ‘Alam
Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com
- Sri Indah (B), Sg Buloh
5 november 2009 * 7:38 malam