07 November 2009

Rogol anak, nikah emak. Perangai Syaitan Laknatullah.

Oleh Mohamed Farid Noh
mfarid@bharian.com.my

Juruteknik disabit 2 tuduhan; Dipenjara 10 tahun, 6 sebatan

PETALING JAYA: Seorang juruteknik dihukum penjara 10 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen semalam, atas dua tuduhan merogol remaja berusia 15 tahun, 10 hari sebelum bernikah dengan ibu remaja berkenaan, lima tahun lalu.

Hakim Rozina Ayob menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan enam sebatan bagi tuduhan pertama manakala tuduhan kedua pula enam tahun ke atas Hamdan Ahadluddin, 49.

Bagaimanapun hukuman itu berjalan serentak dari tarikh tangkap 7 Februari 2005, iaitu 10 tahun saja.

Dalam keputusannya, mahkamah mendapati Hamdan yang membela diri sendiri gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes berkenaan.

"Tertuduh menafikan berada di tempat kejadian dengan mengatakan dirinya berada di tempat kerja, tetapi melalui keterangan saksi utama iaitu mangsa dan ibunya, mahkamah mendapati bukti berkenaan sebagai hanya penafiannya semata-mata.

"Pengecaman yang dilakukan oleh mangsa serta keterangannya mengenai kesan koyak pada selaput daranya adalah konsisten dan disahkan pakar perubatan," katanya.

Hamdan dituduh cuba merogol mangsa ketika itu berusia 15 tahun di sebuah rumah di Lembah Subang, kira-kira jam 2 petang, pada November 2004 manakala tuduhan kedua, dia merogol mangsa di lokasi sama seminggu sebelum Aidiladha, jam 2 petang 21 Januari 2005.

Hamdan didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan, yang boleh membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Shah Rizal Abdul Manan memohon mahkamah memberi hukuman berat terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepada masyarakat.

"Tertuduh sebagai bakal bapa tiri kepada mangsa dan akan berkahwin dengan ibu mangsa 10 hari sebelum kejadian terbabit seharusnya tidak mengambil kesempatan dengan memusnahkan hidup remaja berkenaan," katanya.

Tertuduh yang juga duda tiga anak dalam rayuannya pula memberitahu mahkamah bahawa dia sudah insaf dan memohon mahkamah memberikannya peluang untuk membina keluarga serta menjadi warga negara yang berjasa kepada agama, bangsa dan masyarakat.

Rozina selepas membacakan keputusannya turut menasihatkan tertuduh supaya mengotakan janjinya kepada mahkamah untuk menjadi manusia berguna selepas menjalani hukuman nanti.

"Saya melihat kelakuan kamu sepanjang prosiding dalam mahkamah sebagai profesional ketika membela diri sendiri dan berpotensi menjadi seorang peguam," katanya.


 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons