www.darulbayan.com
Email : mohd naim mohd zain
Alam persekitaran atau dalam istilah Arabnya bi'ah ialah segala sesuatu yang berada di sekelilingnya dan mengesani kehidupan seseorang, sama ada secara langsung atau tidak, dari dalam kandungan ibu hinggalah ke akhir hayat.
Dari pengertian ini, alam sekitar merangkumi kedudukan geografi atau tempat didudukinya, rumah tangga yang terdiri daripada ibu dan bapa serta anggota keluarga lain yang dinaungi, teman yang digauli serta masyarakat yang dianggotainya.
Semua unsur alam persekitaran ini mempunyai pengaruh terhadap pembentukan diri seorang insan, terutama dalam pembentukan sahsiah diri. Cuma bezanya kecil atau besar pengaruh terbabit.
Mengenai unsur tempat, Ibnu Khaldun mengemukakan pendapatnya, yang tempat tinggal mempunyai kesan dan pengaruh kepada sifat sesuatu bangsa, walaupun kesan dari faktor ini amat kecil.
Secara umum ada sunnah yang mengakui kesan dari faktor ini, seperti hadis yang bermaksud: "Hati-hati yang kasar dari sebelah timur dan amanah bagi ahli Hijaz."
Faktor ibu, ada kajian baru yang mengakui kesan dari keadaan jiwa ibu yang mengandung ke atas anak kandungannya.
Dalam kajian itu selalunya disebut mengenai pengakuan seorang ahli fikir barat Tomes Hobbs. Sifat yang berduka itu ada kaitannya dengan keadaan jiwa ibunya yang ketakutan ketika kapal tentera Sepanyol, Armada menuju ke pantai.
Kes seperti ini berlaku di kalangan masyarakat umum.
Di antara yang disebut ialah 'kenan'. Dari petunjuk sunnah, Islam mengakui kesan dari faktor kandungan ibu.
Rasulullah mengajar umatnya supaya memulakan dengan doa ketika berhubung mesra bersama isteri, memohon tidak bercampur dengan syaitan, yang dinaskan al-Quran, sentiasa mencampuri urusan umat.
Jika ditakdirkan mendapat keturunan, Rasulullah menjamin si anak terselamat dari penguasaan syaitan.
Doa Rasulullah kepada anak Abdullah bin Abu Talhah yang masih di dalam kandungan ibunya. Doa dari Rasulullah adalah keberkatan kepada si anak dan memberikan ketenangan hati kepada kedua-dua ibu bapanya.
Demikianlah kita mendoakan anak sejak masih di dalam kandungan atau meminta dari orang yang soleh supaya mendoakannya.
Faktor keluarga. Selepas kelahiran bayi, keluarga yang terdiri daripada ibu bapa dan yang lain adalah faktor lebih penting daripada yang disebutkan.
Kajian psikologi kanak-kanak memperlihatkan betapa besarnya kesan keluarga. Sifat suka meniru pada kanak-kanak adalah jalan awal yang terpenting dalam proses pembelajaran pada peringkat kanak-kanak.
Jika jalan ini dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh keluarga dalam mendidik dan membentuk akhlak kanak-kanak, sudah pasti akan memberikan hasil yang amat berkesan, malah pembentukan pada peringkat ini akan terukir pada jiwa yang kesannya akan dirasai ketika dewasa kelak.
Dari keluarga, kanak-kanak akan mempelajari hubungan masyarakat paling awal, seperti menghormati dan mematuhi kepada yang lebih tua, menyayangi lebih kecil, menghargai pendapat orang lain dan membantu yang lemah.
Bermula dari keluarga juga kanak-kanak mempelajari adat resam yang baik dan asas agamanya, bahkan mempelajari perkara yang betul lagi bermanfaat dan meninggalkan yang salah.
Ini sekali gus menjelaskan ibu bapa sangat rapat dengan anak dan pengaruhnya sudah tentu sangat besar ke atas pembentukan jiwa dan akhlak anak terbabit. Sehubungan ini Imam al-Ghazali ada berkata:
"Kanak-kanak adalah amanah Allah kepada kedua-dua ibu bapa. Hatinya yang masih bersih adalah mutiara yang berharga, yang sedia menerima untuk dibentuk dan digilap."
Hadis Rasulullah bermaksud: "Setiap anak itu dilahirkan atas fitrah, maka kedua-dua ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi..."