07 November 2009

Perbanyak zikir elak budaya suka mengumpat.

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

MENGUMPAT bermaksud bercerita serta menyatakan keburukan atau kekurangan individu kepada orang lain, sama ada dengan nama pelakunya atau individu terbabit memang dikenali orang yang mendengarnya. Mengumpat sememangnya boleh berlaku sama ada ia disedari orang yang melakukannya atau sebaliknya.

Rasulullah menjelaskan mengumpat ini dalam sabda baginda yang bermaksud, "Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya" (Hadis Riwayat Muslim).

Memandangkan buruk dan hinanya sikap mengumpat ini, ia disamakan seperti memakan bangkai saudara seagama sendiri bagi seseorang yang melakukannya. Manusia waras tidak akan sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri. Disebabkan mengumpat terlalu lazim berlaku dalam kehidupan seharian.

Hakikat inilah yang perlu direnungkan kita semua. Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain selalunya akan mendedahkan keaiban diri seseorang individu. Perlu diingat seseorang yang membuka keaiban rakan atau seseorang lain akan didedahkan segala keaiban mereka pula di hari akhirat kelak.

Sabda Rasulullah: "Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum Muslim, dan janganlah kamu mengintip keaiban mereka. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaiban, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri" (Hadis riwayat Abu Daud).

Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada hari akhirat. Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala.

Sabda Rasulullah bermaksud: "Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering". Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi.

Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya di dunia. Maka, dia berkata kepada Allah "Wahai Tuhanku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya" . Maka Allah menjawab: "Semua kebaikan itu (pahala) datangnya dari orang melakukan umpatan kepada engkau tanpa engkau ketahui".

Jika pahala orang mengumpat tidak ada lagi diberikan kepada orang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang yang mengumpat adalah golongan manusia muflis di akhirat nanti.

Memandangkan buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha mengelakkan diri daripada melakukannya. Oleh itu, perbanyak zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat. Islam menganjurkan beberapa kaedah untuk menghindarkan diri kita daripada terjerumus ke dalam budaya hidup suka mengumpat ini. Antaranya ialah:

Jika kita mengingati bahawa apabila kita mengumpat, kita akan diumpat balik, sudah tentu kita tidak akan mengumpat. Elakkan berbuat jahat kepada orang yang tidak berbuat jahat kepada kita.

Manusia perlu memenuhi keperluan intelek seperti mencari ilmu, berfikir, memerhati, menanggapi dan membuat spekulasi. Maka, orang yang melakukan sebaliknya bererti tidak memenuhi keperluan intelek. Tidakkah bererti apabila kita mengumpat bermakna jiwa kita jahat? Luar nampak cantik, tetapi di dalam sudah busuk dan berulat.

Ingat dosa. Larangan Islam terhadap perbuatan mengumpat sudah cukup untuk memotivasikan diri setiap individu. Tidak ada manusia normal sanggup memakan bangkai seseorang.

Imam al-Ghazali ada menyatakan enam perkara mendorong seseorang itu mengumpat:

Ingin memuaskan hati disebabkan kemarahan yang memuncak hingga sanggup mendedahkan keaiban dan kesalahan orang lain. Jika kemarahan tidak dapat dikawal, ia boleh menimbulkan hasad dan dendam;

Suka mendengar dan mengikuti perbualan orang yang menyerang peribadi dan kehormatan seseorang;

Mahu bersaing dan menonjolkan diri dengan menganggap orang lain bodoh dan rendah;

Disebabkan dengki, dia iri hati dengan orang lain yang lebih beruntung dan berjaya, seperti dinaikkan gaji dan pangkat;

Bergurau dan suka berlawak untuk mencela dan mengatakan kelemahan dan kecacatan hingga mengaibkan orang lain; dan

Sikap suka mengejek dan mencela disebabkan rasa bongkak dan sombong kerana memandang rendah orang lain.

Sehubungan itu, Imam al-Ghazali menyarankan lima perkara untuk menghentikan sikap suka mengumpat, antaranya iaitu, harus sedar dan insaf mengumpat dan memburuk-burukkan orang lain itu berdosa besar; insaf dan membetulkan kesalahan sendiri daripada menyalahkan orang; hendaklah berasa malu apabila memperli kecacatan orang lain. Ini kerana mencela kecacatan fizikal seolah-olah mencerca Tuhan yang menciptakan.

Perlu diingatkan ada beberapa kelakuan yang tidak dikatakan sebagai umpatan bahkan menjadi harus seperti seorang isteri yang mengadu kepada hakim untuk mendapatkan keadilan.

Maka isteri sudah tentu perlu menyatakan keburukan si suami untuk dipertimbangkan oleh hakim. Begitu juga dengan umpatan yang dilakukan seseorang terhadap individu yang zalim. Kisah hidup masyarakat dipaparkan melalui TV, filem dan cerpen dan novel juga bukanlah bersifat umpatan kerana ia terlalu umum demi membentuk naratif sebuah cerita dan kisah hidup sebagai teladan khalayak umum.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons