Khutbah ini telah disampaikan di Masjid Al-Huda, Seksyen 19, Shah Alam pada 30 Oktober 2009.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Islam didatangkan kepada manusia sebagai Rahmat dari Allah Az-Za wa Jalla. Ianya datang untuk meletakkan manusia di kedudukan yang sesuai dengan sebab manusia dijadikan. Islam datang untuk memartabatkan manusia dan menjelaskan hakikat diri manusia itu sendiri dan seterusnya menegakkan sistem hidup yang melayani manusia dengan cara yang bersesuaian dengan kedudukan dan martabat tersebut.
Hakikat dan martabat manusia serta tujuan manusia dijadikan tidak dapat diketahui melainkan diberitahu oleh Pencipta manusia sendiri. Ianya tidak dapat dikesani walaupun di makmal CSI yang tercanggih sekalipun. Ianya tidak juga dapat dinyatakan secara pasti mana-mana ahli falsafah. Ianya hanya dapat diketahui secara pasti sekiranya diberitahu oleh Pencipta manusia sendiri dan inilah apa yang dilakukan Allah dengan mewahyukan Al-Quran.
Allah berfirman bahawa Al-Quran adalah “Hudal-lin-Nas” atau petunjuk bagi manusia supaya manusia tahu akan martabatnya dan peranan serta tujuan hidupnya di bumi ini. Berdasarkan petunjuk ini sahaja akan martabat dan tujuan hidup sebenar dapat dihayati.
Berhubung persoalan kejadian manusia, Allah menjelaskan di dalam Al-Quran, Surah At-Tin ayat 5 :-
“Sesungguhnya telah Kami jadikan manusia dalam sebaik-baik ciptaan”.
Begitu juga ciptaan Nabi Adam (A.S.) disebut oleh Allah di dalam Surah Al Baqarah ayat 30:-
“Ingatlah apabila Tuhan kamu berkata kepada para Malaikat, “Aku akan meletakkan di atas bumi seorang Khalifah”
Ciptaan Nabi Adam (AS), dan dengan itu, ummat manusia, adalah sebagai Khalifah di atas muka bumi. Istilah Khalifah bererti ‘duta’ atau ‘wakil’. Ini bermakna manusia dikehendaki melaksanakan dan mendzahirkan pemerintahan Allah di muka bumi ini. Telah dijelaskan oleh para ulama' bahawa peranan Khalifah adalah “Iqamatud-Deen wa siyaasatud-Dunnia bihi” atau menegakkan Deen (Islam) dan mentadbir dunia dengan Islam. Ini merupakan satu jawatan yang begitu mulia sehingga para Malaikat diperintah oleh Allah untuk bersujud kepada Nabi Adam (A.S.) seperti firmanNya di dalam Surah Al-Baqarah ayat 34 :-
“Dan ingat ketika Kami memerintah para malaikat sujud kepada Adam dan mereka semua sujud melainkan Iblis…”
Sidang Jumaat yang diRahmati Allah,
Wawasan kedudukan manusia sebagai makhluk ciptaan Allah yang begitu mulia semestinya didatangkan bersama tuntutan supaya setiap individu manusia dilayani dengan cara yang terhormat dan mulia. Manusia bukan batu atau kayu yang boleh diperlakukan sesuka hati. Untuk ditebang dan dibakar atau diletupkan tanpa kasihan balas. Manusia bukan juga binatang ataupun makhluk yang tidak berakal dan tidak berkehormatan-diri sehingga boleh ditangkap dan dikandang sesuka hati. Dilarang berkumpul atau bersuara dan dikawal setiap gerak gerinya; bagaikan kambing yang dipantau dan diawasi setiap gerak gerinya oleh seorang pengembala yang mahir. Manusia, mengikut Al-Quran adalah makhluk yang mulia dan mesti dilayani dengan penuh kehormatan sesuai dengan martabat dan matlamat ciptaannya.
Berdasarkan wawasan sebegini, maka sistem hidup Islam dibina. Sistem hidup ini bertujuan untuk menjamin kedudukan manusia sebagai ‘khalifah Allah’ di atas muka bumi akan sentiasa disedari, diiktiraf dan dihayati. Supaya kedudukan manusia sebagai ‘sebaik-baik ciptaan’ akan tertegak dan terlaksana. Oleh itu, melalui wawasan manusia yang sebegini, Islam merupakan di antara sistem hidup yang terawal yang mengiktiraf wujudnya konsep hak asasi manusia. Mengikut Islam, hak asasi ini mesti dihormati oleh semua, termasuk mana2 kerajaan yang ingin mematuhi perintah Allah dalam corak pemerintahannya.
Sidang Jumaat yang dikasihi,
Konsep hak asasi manusia pada dasarnya bertujuan menentukan manusia sebagai makhluk yang 'bermartabat' akan dilayani dengan adil, sewajar dengan martabatnya sebagai manusia. Dalam soal martabat manusia, tiada yang menetapkan martabat yang lebih tinggi selain dari yang telah ditetapkan oleh Islam. Oleh itu negara-negara ummat Islam sepatutnya mempunyai rekod hak asasi manusia yang paling cemerlang tetapi malangnya sebaliknya. Dubia Barat yang melihat manusia sebagai haiwan ekonomi dan kejadiannya manusia sebagai suatu kebetulan, tanpa adanya Pencipta yang Maha Agung, melayani rakyat mereka dengan lebih baik dan lebih terhormat. Ini semestinya disebabkan ummat Islam mengambil konsep-konsep asas kehidupan dari sumber yang selain dari Al-Quran.
Sidang Jumaat yang di hormati sekalian,
Di antara proklamasi hak asasi manusia yang berlaku pada zaman Rasulullah (SAW) adalah semasa Khutbahtul Wida’ atau khutbah mengucap selamat tinggal yang disampaikan oleh Rasulullah (SAW). Baginda bersabda pada ketika itu ;
“Wahai kaum Muslimin, ingatlah bahawasanya darah dan harta benda kalian adalah terjamin dan dilindungi (iaitu tidak boleh dicerobohi atau dirampas begitu sahaja tanpa alasan dan sebab) sehingga kamu bertemu dengan Allah..”
Perkara yang sama diulangi dalam Hadis riwayat Muslim di mana Rasulullah bersabda,
“Darah, harta dan kehormatan setiap Muslim adalah haram (ia itu untuk dicerobohi atau dirampas) ke atas Muslim yang lain.”
Begitu juga, Baginda (SAW), memesan kepada para sahabat Baginda berhubung dengan layanan terhadap orang Dhimmi di mana harta, nyawa dan kehormatan mereka hendaklah dilindungi oleh kerajaan Islam.
Dalam soal layanan terhadap orang bukan Islam, Baginda begitu mengambil berat persoalan ini sehingga bersabda ;
“Sesiapa yang mendzalimi ahli Dhimmi dia mendzalimi ku”.
Termasuk mendzalimi atau menyalahi orang Dhimmi adalah menghina mereka atau memperkecilkan tuhan-tuhan sembahan mereka. Ini ditegaskan oleh Allah di dalam Al-Quran, ayat 108, Surah Al-Anfal,
“Jangan kamu mencaci atau mencerca Tuhan yang mereka sembah selain dari Allah kerana sekiranya kamu lakukan itu, mereka akan mencaci Allah dan memusuhi (Islam) tanpa ilmu..”
Di antara hak asasi yang dijamin oleh Allah az-Za wa Jalla adalah hak keselamatan kehidupan di mana seseorang itu, samada Islam atau tidak Islam, tidak boleh dibunuh tanpa sebab dan alasan yang syarii. Allah berfirman di dalam Al-Quran surah Al-An’am ayat 151,
“Dan jangan kamu membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah (untuk membunuhnya) kecuali apabila berhak (membunuhnya)..”
Istilah ‘nafs’ atau ‘jiwa’ yang digunakan merangkumi yang Muslim dan juga yang bukan Muslim dan syarat yang diletakkan, ia itu, ‘kecuali apabila berhak’ bererti hanya apabila jiwa berkenaan, melalui proses perbicaraan yang telus dan adil, telah terbukti melakukan sesuatu kesalahan yang menyebabkan dia berhak dibunuh.
Keadilan adalah juga hak yang diiktiraf dan dijamin oleh Islam di mana setiap manusia, samada Muslim atau sebaliknya berhak mendapat keadilan. Ini jelas dari ayat Al-Quran surah Nisaa’ ayat 58 yang berbunyi,
“Dan apabila kamu menghukum di antara manusia, hendaklah kamu menghukum dengan adil…”
Sekali lagi Allah menggunakan kalimat 'bainan-Nas' atau di antara manusia di mana tidak dibezakan manusia Muslim atau bukan Muslim.
Ummat Islam juga diajar menghormati hak asasi manusia yang membenarkan rakyat menegur pemimpin dan pemerintah serta menghormati dan membenarkan usaha menegakkan makruf, mencegah mungkar sehingga sejarah Islam begitu kaya dengan insiden-insiden di mana pemimpin ummat Islam ditegur dan diberikan peringatan, wal hal ada sehingga dicerca, tetapi golongan yang menegur tidak di apa-apakan. Kisah yang paling menarik dalam soal ini, mengikut bacaan khatib adalah kisah Saidina Ali (KW) yang dicaci dan dicerca secara terbuka oleh golongan Khawarij. Pegawai2 Saidina Ali ingin memberkas mereka tetapi Saidina Ali menyebut bahawa mereka tidak boleh ditahan hanya kerana mereka mencaci beliau. Sebaliknya sekiranya mereka ingin mereka boleh mencaci dan mencerca puak Khawarij sepertimana mereka mencaci beliau.
Begitu juga, Saidina Ali berpesan kepada golongan Khawarij bahawa mereka boleh hidup di bawah pemerintahannya dengan aman tanpa diganggu gugat, walaupun sentiasa mengkritik beliau dan terus berkata “selagi kamu tidak mengangkat senjata menetang ku, Amirul Mukminin tidak akan mengangkat senjata menentang kamu”.
Hasil ajaran Islam berhubung martabat manusia yang begitu mulia maka Islam terbukti mampu memimpin dan memerintah Negara yang terdiri dari berbilang kaum dan berbilang ugama. Inilah apa yang telah berlaku sejak zaman Rasulullah (SAW) sendiri. Malangnya ummat Islam sendiri tidak memahami khazanah yang ada pada diri mereka sendiri dan oleh itu mencari-cari di semua tempat selain dari Al-Quran dan Sunnah Rasulullah (SAW). Marilah kita kembali menceduk dari khazanah Islam itu sendiri dengan sejarahnya yang begitu gemilang dan dengan itu mencorak kehidupan kita berdasarkan wawasan Ilahi.
“Itulah ayat-ayat keterangan Allah, Kami bacakannya kepadamu (Wahai Muhammad) dengan benar. Ingatlah Allah tidak berkehendak melakukan kezaliman kepada sekalian makhlukNya.”
(Al-Imran 108)
**********************
WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD
04 November 2009
Khutbah YB Khalid Samad (Parlimen Shah Alam) Berkhutbah di Masjid Al-Huda Seksyen 19 Shah Alam.
Rabu, November 04, 2009
MASJID PUTRA PERDANA