04 November 2009

Kewajipan ibadah haji

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIIM

Haji ialah salah satu daripada rukun Islam yang wajib ditunaikan oleh setiap orang Islam. Dalam urutan rukun Islam ianya adalah yang kelima iaitu yang terakhir. Ianya diperintahkan Allah didalam surah al-Baqarah ayat 196. Firman Allah :

وَأَتِمُّواْ ٱلۡحَجَّ وَٱلۡعُمۡرَةَ لِلَّهِ‌ۚ

Dan sempurnakanlah ibadah haji dan `umrah karena Allah.

Ianya bermula dizaman Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ketika baginda berdua tinggal di Mekah. Allah telah memerintahkan baginda berdua supaya membina Kaabah sebagai tempat beribadat. Maka dengan kepayahan dan kesabaran mereka menurut perintah Allah itu. Kemudian dengan perintah Allah juga Nabi Ibrahim menyeru manusia untuk datang beribadat di Kaabah. Firman Allah di dalam surah al-Hajj ayat 27-29 :

وَأَذِّن فِى ٱلنَّاسِ بِٱلۡحَجِّ يَأۡتُوكَ رِجَالاً۬ وَعَلَىٰ ڪُلِّ ضَامِرٍ۬ يَأۡتِينَ

مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ۬ (٢٧) لِّيَشۡهَدُواْ مَنَـٰفِعَ لَهُمۡ وَيَذۡڪُرُواْ ٱسۡمَ

ٱللَّهِ فِىٓ أَيَّامٍ۬ مَّعۡلُومَـٰتٍ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّنۢ بَهِيمَةِ ٱلۡأَنۡعَـٰمِ‌ۖ فَكُلُواْ

مِنۡہَا وَأَطۡعِمُواْ ٱلۡبَآٮِٕسَ ٱلۡفَقِيرَ (٢٨) ثُمَّ لۡيَقۡضُواْ تَفَثَهُمۡ وَلۡيُوفُواْ

نُذُورَهُمۡ وَلۡيَطَّوَّفُواْ بِٱلۡبَيۡتِ ٱلۡعَتِيقِ (٢٩)

Dan serulah kepada manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhanmu) dengan berjalan kaki, dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (ceruk rantau) yang jauh : 27

Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan berbagai faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan qurban) dengan demikian makanlah kamu (daging) binatang-binatang qurban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin : 28

Kemudian hendaklah mereka membersihkan diri mereka, dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka, dan hendaklah mereka tawaf akan baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu. : 29

Oleh kerana seruan itu yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s maka setiap orang yang dalam perjalanan ke Mekah selepas berniat di miqat samada untuk menunaikan umrah atau haji maka sangat-sangat dianjurkan agar menyebut “Labaikallahummalabaik, Labaikala syarikalakalabik” dengan maksud “HambaMu datang menyahut panggilanMu, Ya hambaMu datang menyahut panggilanMu”.

Ini ialah sebagai simbolik kita menyahut kembali kepada seruan Nabi Allah Ibrahim yang menyeru manusia agar datang ke Baitullah apabila baginda diperintahkan oleh Allah melakukan seruan itu setelah baginda selesai membina Kaabah dahulu.

Ibadah haji ialah ibadat yang sangat mencabar fizikal dan mental manusia. Bermula dari saat kita ingin mencari wang sebagai bekalan dan tambang hinggalah kepada hari berlepas yang disulami dengan pelbagai karenah. Itu belum dikira hari-hari kita berada di Mekah beserta jutaan ummat Islam yang lain yang datang dari pelbagai pelusuk dunia untuk bersama-sama dengan kita untuk menunaikan haji.

Dahulu cabarannya lain. Sekarang cabarannya lain. Dahulu tidaklah seramai sekarang orang yang mengerjakan haji mengerjakan haji.Tetapi kepayahan untuk datang dapat dilihat dengan kesusahan mereka menempuh badai gelora lautan bagi yang menggunakan kapal laut. Berbulan-bulan mereka meninggalkan keluarga dan tanah air semata-mata kerana memenuhi tuntutan Allah. Ada juga yang menaiki unta untuk datang.

Bakal haji sekarang ini walaupun mempunyai kenderaan yang bagus, selesa dan pantas, tetapi mereka pula menghadapi cabaran dengan jumlah kehadiran manusia yang begitu ramai sehingga lebih tiga juta orang jemaah pada satu-satu masa. Bukan perkara yang mudah untuk melakukan haji dalam keadaan yang berasak-asak begitu.

Bayangkan kita didalam ihram, diharamkan bagi kita dari melakukan 13 perkara yang biasa kita lakukan dalam kehidupan seharian kita, tiba-tiba disuruh kita agar menjauhinya. Ditambah pula dengan karenah orang-orang disekeliling kita yang mempunyai pelbagai watak dan perangai. Maka oleh kerana perjalanan ibadat ini sangat mencabar, maka ianya perlukan kesabaran yang tinggi dan akhlak yang mulia bagi kita menyelesaikannya dengan baik dan mendapat haji yang mabrur.

Dengan keadaan yang kelihatan tidak terurus, rambut yang tidak disikat kerana dibimbangi rambut gugur kerana kita dilarang mencabut bulu dari badan kita dengan sengaja, dengan tidak memakai pakaian berjahit yang sempurna hanya dua helai kain ihram yang disunatkan berwarna putih, tiada kasut yang cantik, tiada bau-bauan yang diletakkan atas tubuh kita maka ianya menjadikan kita sebagai sebenar-benar hamba Allah yang tidak punyai apa.

Apabila wuquf di Padang Arafah, walaupun kamu raja yang memerintah, ataupun seorang rakyat yang diperintah, samada kamu berketurunan mulia atau seorang yang tidak tahu asal-usul keturunannya maka disini, kamu adalah sama. Tiada beza disisi Allah. Menginsafkan kita bahawa tiada apa yang hebat hidup di dunia ini melainkan apabila kita menjadi orang yang bertaqwa kepada Allah.

Ramai orang pergi menunaikan haji tapi amat sedikit daripada mereka yang mendapat haji mabrur kerana ianya berkait rapat dengan niat yang ikhlas, hati yang suci, syarat-syarat yang cukup rukun-rukun yang ditetapkan dan ahklak yang mulia. Ada yang datang dengan tujuan yang menyimpang seperti mahu digelar “haji”, mahu kelihatan warak, malu pada teman-teman yang sudah menunaikan haji. Terpaksa mengikut keluarga dan berbagi-bagai lagi niat yang dipasang yang bukan kerana Allah.

Rasulullah diriwayatkan ketika mahu memulakan ibadat haji, baginda berdoa kepada Allah supaya janganlah kiranya haji yang baginda ingin lakukan itu kerana sum’ah dan riya’. Ini menunjukkan kepada kita bahawa bukan senang untuk melakukan haji yang ikhlas kerana Allah sehinggakan baginda yang maksum itu juga berdoa agar terlindung dari perkara-perkara mazmumah itu.

Ibadat ini juga dilakukan secara berjemaah menyebabkan kita bertemu dengan ramai ummat Islam dari berbagai bangsa maka disitu kita hendaklah memupuk persaudaraan Islam. Tanpa mengira warna kulit, negara mana, mahupun bahasa apa yang kita gunakan kita bersatu dibawah nama Islam dan bersaudara juga dibawah panji Islam. Perkumpulan ini membuktikan penyatuan ummat Islam sejagat begitu utuh. Tidak terdapat didalam mana-mana agama penyatuan seperti ini.

Dalam kesempatan ini suka untuk ana memberikan sedikit nasihat kepada mereka yang bakal menunaikan haji supaya mengikhlaskan hati dan jiwa kepada Allah. Bukan kita hanya perlu membawa pakaian dan bekalan lahiriah sahaja tetapi membawa bersama-sama taqwa yang tinggi, akhlak yang mulia dan sikap bertoleransi sebagai bekalan batiniah.

Janganlah kita hanya berakhlak mulia ketika di Tanah Haram sahaja akan tetapi bawalah pulang kembali bersama akhlak-akhlak terpuji ini agar dapat ia diterapkan dalam kehidupan bermasyarakat kita. Semoga masyarakat kita menjadi masyarakat madani dengan terbentuknya akhlak-akhlak terpuji ini.

Janganlah kita berbalah masam muka tapi banyakkan sabar, ibadah, doa-doa dan rebutlah peluang dengan sebaik-baiknya dibumi yang berkat pada hari-hari yang dimuliakan agar kita menjadi orang yang bertaqwa disisi Allah.Firman Allah:

ٱلۡحَجُّ أَشۡهُرٌ۬ مَّعۡلُومَـٰتٌ۬‌ۚ فَمَن فَرَضَ فِيهِنَّ ٱلۡحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا

فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِى ٱلۡحَجِّ‌ۗ وَمَا تَفۡعَلُواْ مِنۡ خَيۡرٍ۬ يَعۡلَمۡهُ ٱللَّهُ

‌ۗ وَتَزَوَّدُواْ فَإِنَّ خَيۡرَ ٱلزَّادِ ٱلتَّقۡوَىٰ‌ۚ وَٱتَّقُونِ يَـٰٓأُوْلِى ٱلۡأَلۡبَـٰبِ

(Musim) haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi, barang siapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka tidak boleh rafats, berbuat fasik dan berbantah-bantahan di dalam masa mengerjakan haji. Dan apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, niscaya Allah mengetahuinya. Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku hai orang-orang yang berakal. (al-Baqarah :197 )

Kesimpulan kepada ibadat haji ini ialah ianya akan membantu kita membentuk peribadi yang mulia setelah kita belajar dari pengalaman yang berharga di bumi Mekah. Kita belajar sabar dengan karenah manusia yang berbagai fe’el. Membantu kita menjadi zuhud apabila kita melihat tubuh kita yang hanya disaluti dua helai kain ihram. Tiada apa yang diperlukan dari harta dunia ini. Kita merasa rendah diri dan tidak punya apa apabila memikirkan bahawa manusia ini semua sama sahaja disisi Allah kecuali mereka yang bertaqwa. Semoga antum semua mendapat haji yang mabrur. Doa ana untuk semua Amiin.

Wallahua’lam

Dikirim dalam Tazkirah | Leave a Comment »

Ibadah Qurban (Adhiyyah)
November 20, 2008 oleh zuliadin

Ibadah Qurban (Adhiyyah)

Bismillahirrahmanirrahiim

Adhiyyah bererti sembelihan binatang seperti unta, lembu, kambing, dan biri-biri. Adapun tujuan sembelihan ini adalah untuk taqarruban iaitulah mendekatkan diri kepada Allah. Ianya ialah ibadah taabudi yang dilakukan pada hari-hari raya adha dan tasyrik. Dalil ibadah qurban ini ialah Allah berfirman dalam surah al-kautsar ayat 2:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنۡحَرۡ (٢)

Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur)

Hukum kepada ibadah ini ialah sunat muakadah iaitu satu sunnah yang sangat-sangat dituntut untuk kita melakukannya. Nabi s.a.w tidak pernah meninggalkan ibadah ini. Walaupun hanya sunat, tetapi ianya boleh menjadi wajib kalau sekiranya seseorang itu bernazar untuk melakukannya.

Ibadah ini juga afdhal untuk kita melakukannya mengikut turutan iaitu turutannya ialah unta jika kita mampu.Sekiranya tiada kemampuan maka carilah lembu dan sekiranya masih tidak mampu juga maka sembelihlah kambing atau sebahagian daripada daripada tujuh bahagian unta atau lembu. Rasulullah diriwayatkan pernah menyembelih seekor unta untuk isteri-isteri baginda.

Ibadah taabudi ialah ibadah yang dilakukan secara taabud iaitu perkara yang tidak boleh ditukar. Apabila dinamakan ibadah taabud maka dalam apa bentuk sekalipun ia menuntut kepada ketaatan walaupun dalam sesuatu ibadah taabudi itu tiada hikmat yang dapat kita lihat secara jelas.

Pada hukumnya daging qurban ini tidak diberikan kepada orang bukan Islam. Berlainan dengan aqiqah yang lebih cenderung kepada kesyukuran kerana mendapat anak. Akan tetapi hukum daging qurban itu boleh berubah sekiranya pada satu-satu ketika daging itu menjadi terlalu banyak dan boleh mengakibatkan pembaziran maka ada ulamak yang mengharuskan pemberian daging itu kepada orang bukan Islam atas dasar mengelakkan pembaziran daripada berlaku.

Dalam hal pembahagian juga, disunatkan daging-daging qurban ini diagihkan secara mentah kepada penerima berbanding dengan aqiqah yang disunatkan kita memasaknya dengan dilebihkan sedikit rasa manis dalam masakan itu.

Hikmah yang ada pada ibadah ini juga, adalah untuk mengingatkan kita kepada kesabaran, kesanggupan menerima perintah Allah secara mutlak yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim sekeluarga. Tiada merasa susah dengan perintah Allah. Bayangkanlah ketika mula mendapat anak setelah sekian lama menunggu, baginda diperintah Allah agar meletakkan anak isterinya di suatu lembah yang gersang. Apabila anak itu meningkat remaja, diperintahkan pula supaya menyembelih anak kesayangan baginda itu.

Tiadalah kesanggupan melakukan kerja yang dianggap amat perit itu melainkan keatas orang-orang yang benar-benar bertaqwa dan juga bertawakkal kepada Allah sahaja. Hanya insane yang terpilih sahaja yang benar-benar menyanggupinya. Semoga dengan ibadah qurban ini maka akan lahirlah keinsafan dalam diri kita untuk turut berkorban dijalan Allah.

Selain daripada kita merenung peristiwa ketaatan nabi Allah Ibrahim sekeluarga ibadah ini juga sebenarnya untuk menginsafi dan menghidupkan rasa kasih sayang tolong menolong kepada orang miskin, keluarga jiran dan masyarakat. Rasa kekitaan akan wujud hasil daripada perasaan cakna kita dengan orang disekeliling kita. Dengan bersedekah, memberi hadiah, ianya akan menambahkan lagi ikatan persaudaraan yang telah sedia ada.

Suka ana disini mengambil kesempatan untuk menasihati saudara-saudari sekelian agar berusaha supaya menghidupkan ibadah ini dengan penuh keikhlasan. Firman Allah:

لَن يَنَالَ ٱللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَآؤُهَا وَلَـٰكِن يَنَالُهُ ٱلتَّقۡوَىٰ مِنكُمۡ‌ۚ كَذَٲلِكَ
سَخَّرَهَا لَكُمۡ لِتُكَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَٮٰكُمۡ‌ۗ وَبَشِّرِ ٱلۡمُحۡسِنِينَ (٣٧)

Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.(Surah al-Hajj ayat 37)

Beberapa perkara juga patut kita perhatikan dalam kita menjalani ibadah ini iaitu adalah haram mengambil daging qurban dan dijadikan sebagai upah kepada tukang sembelih atau orang yang melapah daging. Boleh kita ambil duit lain sebagai upah. Walaupun begitu adalah lebih afdhal jika kita niat untuk menolong sahaja.

Sunat diambil sedikit daripada bahagian hati untuk dimakan oleh tuan empunya daging qurban. Keseluruhan daging itu boleh di bahgi tiga bahagian iaitu satu bahagian untuk empunya, satu bahagian untuk orang miskin dan satu bahagian untuk orang kaya.

Akhirnya sebagai penutup bicara, ana mengajak saudar-saudari sekelian agar mengambil iktibar dengan bersungguh-sungguh tentang kepayahan dan kesulitan yang dialami oleh para nabi kita dalam mengorbankan segala kesenangan dunia dalam perjalanan mereka untuk menegakkan agama Allah. Oleh itu carilah kesanggupan kita untuk turut berkorban di jalan Allah kerana para nabi, anbiya, solehin dan orang-orang yang telah mengikut jalan pengorbanan ini telahpun berbahagia dialam roh disisi Allah.

Wallahua’lam


 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons