04 November 2009

Kepimpinan Dalam Islam

Menjadi kepimpinan merupakan suatu tanggungjawab yang besar.Jawatan yang dipegang pastinya akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah Taala kelak. Oleh itu ia memerlukan keikhlasan dan kejujuran yang tinggi bagi mendepani suasana semasa pentadbiran. Ramai orang berkata hanya kepimpinan yang boleh membuat perubahan. Aku Ahli tidak mampu berbuat apa-apa ketetapan. Jika diteliti nampak ada benarnya. Akan tetapi, bagi mereka yang benar-benar ikhlas bekerja, jawatan bukanlah halangan untuk mereka berkhidmat dan bekerja untuk perjuangan Islam. Tambahan pula, siapalah kepimpinan jika tanpa ahli yang mendokongnya.

Jawatan bukan sesuatu yang boleh dipinta-pinta. Maksud sebuah hadis Nabi SAW :

Daripada Abu Musa r.a. katanya: Aku dan dua orang lelaki dari kaumku telah masuk kepada Nabi s.a.w.. Salah seorang daripada dua lelaki berkenaan berkata: Lantiklah kami menjadi ketua wahai Rasulullah!. Yang seorang lagi juga berkata demikian. Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya kami tidak melantik dalam urusan ini sesiapa yang memintanya atau bercita-cita untuk mendapatkannya” (Riwayat Bukhari Muslim)

Begitu juga nasihat Rasulullah SAW kepada Abu Dzar yang meminta Rasulullah SAW melantiknya memegang jawatan dengan sabdaNya :

“Wahai Abu Zar, sesungguhnya engkau lemah (tidak mampu), dan sesungguhnya jawatan ini satu amanah, nanti di hari akhirat engkau akan akan berdukacita dan menyesal, melainkan engkau ambil dengan selayaknya dan engkau menunaikan pula amanahnya”.

Jawatan boleh dipinta dengan beberapa sebab. Antaranya jika kita tidak memintanya, orang yang bukan ahlinya akan mengambil dan menyalahgunakan kedudukannya. Dalam masa yang sama tiada orang lain yang lebih layak dan orang yang layak hanya mendiamkan diri sahaja, seperti kisah Nabi Yusuf A.S yang meminta jawatan menteri kewangan dari raja Mesir seperti yang dirakam di dalam Al-Quran :

Maksudnya: Yusuf berkata: “Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya.Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; ia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan. (Surah Yusuf: 55-56)

Imam al-Qurtubi mengatakan: “Sesungguhnya Yusuf a.s. hanya meminta kuasa setelah dia mengetahui bahawa tiada sesiapa yang setanding dengannya, yang dapat melaksanakan keadilan, islah dan menyampaikan hak-hak fakir miskin. Dia melihat yang demikian itu adalah fardu `ain bagi dirinya, kerana tiada siapa lagi selain dia

Berbeza pula jika kita telah dipilih dan dicadangkan oleh syura (sistem permesyuaratan umat Islam). Ia pula satu kepercayaan dan tanggungjawab untuk kita menerimanya sambil mengharapkan bantuan dan pertolongan dari Allah Taala. Nabi SAW menyebut di dalam sebuah hadis :

Maksudnya : Barangsiapa yang menuntut jawatan dan meminta pertolongan untuk mendapatkan jawatan itu, Allah Taala akan menyerahkan tanggungjawab itu kepadanya (dibiarkan). Barang siapa yang tidak meminta jawatan dan tidak pula meminta tolong agar diberikan jawatan (akan tetapi diberikan tanggungjawab, lalu menerimanya), Allah Taala mengutuskan malaikat untuk memenuhi keperluannya(membantunya). (Sunan Abi Daud no. 3578)

Di dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda kepada Abdurrahman Bin Auf:

Maksudnya : Wahai `Abdurrahman! Jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya dengan pemintaan maka engkau ditinggalkan (tidak ditolong). Sekiranya engkau diberikannya tanpa pemintaan maka engkau dibantu. (Sohih Bukhari Dan Muslim)

Menjadi pemimpin pula bukan bermaksud kita akan beraksi sendirian. Menjadi pemimpin bukan hanya kita bekerja dan berfikir secara individu. Individualistik hanya akan menghancurkan kesatuan dan persatuan. Kita ada jawatankuasa yang bersama-sama bekerja. Kita ada ahli yang pelbagai ragam yang perlu diperhalusi dan ditangani dengan penuh cermat dan saksama. Jadi pimpinan bukan sekadar ingin membawa gagasan berkepentingan sebahagian pihak dan puak semata-mata. Menjadi pemimpin ibarat duduk di atas sebuah bukit. Melihat dari atas apa yang ada di setiap penjuru bukit. Melakukan pembaikan untuk semua penduduk yang ada di sekitar bukit. Bukan untuk sebahagian kaum sahaja dari kaum-kaum yang duduk di bawah bukit. Tindakan perlulah bijak meraikan semua kaum dan puak tanpa menjejaskan kesatuan dan kebajikan ahli keseluruhannya. Kerana majoriti ahli dan penduduk hanya melihat kaum yang bersamanya, tidak menyelami kaum yang tinggal di sebalik bukit. Fikirkanlah!!!

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons