Soalan
Ustaz, di ketika ini agak heboh perbincangan berkenaan boleh atau tidak orang bukan Islam masuk masjid dan meberi ucapan. Saya ingin bertanya kepada ustaz tentang hal ini, adakah perbincangan ulama di dalam hal ini atau memang tidak dibenarkan? Setahu saya, mazhab Syafie membenarkan jadi adakah pandangan yang melarang ini adalah pandangan pengikut Wahabi?.
Jawapan
Saya yakin, isu ini timbul akibat dari berita seperti ini.
Sebelum menjawab persoalan yang diutarakan oleh saudara penyoal, saya ingin terlebih dahulu menjelaskan, paling kurang terdapat tiga isu yang diperbincangkan oleh ulama Islam di dalam hal ini.
Pertama : Bukan Islam memasuki Masjidil Haram.
Kedua : Sebab mengapa bukan Islam dilarang memasuki masjidil haram.
Ketiga: Bukan Islam memasuki masjid selain masjidil Haram
Saya akan cuba meringkaskan jawapan bagi ketiga-tiga persoalan sekaligus secara padat dan mampu difahami, InshaAllah.
Asas rujukan hukum bagi persoalan ini diambil dari dua ayat berikut :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلاَ يَقْرَبُواْ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَـذَا
Ertinya : Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu kotor, maka janganlah mereka mendekati Masjidil haram sesudah tahun ini.. (At-Taubat : 28)
Satu lagi adalah :-
أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَقْرَبُواْ الصَّلاَةَ وَأَنتُمْ سُكَارَى حَتَّىَ تَعْلَمُواْ مَا تَقُولُونَ وَلاَ جُنُبًا إِلاَّ عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىَ تَغْتَسِلُواْ
Ertinya : "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu salat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan, (jangan pula hampiri mesjid) sedang kamu dalam keadaan junub, terkecuali sekedar berlalu saja." ( 4:43 )
MASUK MASJIDIL HARAM
Majoriti ulama melarang bukan Islam memasuki masjidil haram atas larangan yang terdapat di dalam ayat diatas. Namun Imam Abu Hanifah dan Ahmad mempunyai sedikit perincian dalam hal tersebut.
Berdasarkan dua ayat ini, majoriti ulama dari kalangan mazhab maliki dan Syafie melarang bukan Islam memasuki Masjidil Haram, namun demikian dibenarkan bagi ahli Kitab (Kristian dan Yahudi) untuk memasukinya dengan syarat-syarat tertentu.
Imam Abu Hanifah pula menyatakan non-muslim dibenarkan untuk memasuki masjidil haram sekadar lalu, namun tidak dibenarkan untuknya duduk dan menetap di sana (sebagaimana sebahagian umat Islam); ini kerana beliau berpandangan, ‘kotor' yang disebut di dalam ayat itu hanyalah membawa maksud kekotoran syirik yang melibatkan hati bukannya kekotoran fizikal. Lebih dari itu, Ibn Hajar menyatakan mazhab Hanafi membenarkan bukan Islam memasuki masjid tanpa syarat.
Imam Ahmad Hanbal pula menyatakan bukan Islam hanya dibenarkan untuk memasuki masjidil haram dan lainnya setelah mendapat kebenaran dari umat Islam atas tujuan-tujuan yang munasabah seperti pembinaan dan maintainance. Beliau mengambil dalil iaitu penduduk Taif dibenarkan oleh nabi s.a.w untuk menetap dan tinggal di masjid sebelum mereka memeluk Islam.
Rasulullah juga diriwayatkan menerima tetamu Kristian dari Najran di dalam masjid Madinah, malah ketika itu mereka juga diizinkan oleh Nabi s.a.w untuk menunaikan sembahyang mereka di dalam masjid, nabi menyebut kepada sahabat
"Biarkan mereka (untuk melunaskan sembahyang mereka)"
Selain itu, Imam Al-Bukhari juga ada membawakan sebuah hadis yang menyebut bagaimana seorang bukan Islam bernama Thamamah ibn Athal, diikat oleh Rasulullah di dalam masjid (ditanglkap atas kesalahan tertentu),
بعث رسول اللَّهِ خَيْلًا قِبَلَ نَجْدٍ فَجَاءَتْ بِرَجُلٍ من بَنِي حَنِيفَةَ يُقَالُ له ثُمَامَةُ بن أُثَالٍ فَرَبَطُوهُ بِسَارِيَةٍ من سَوَارِي الْمَسْجِدِ
Ertinya : Rasulullah s.a.w menghantar seorang berkuda di arah Najd, maka terlihat seorang lelaki dari Bani Hanfiah ( sedang mengintip) yang bernama Thumamah Bin Uthal, lalu diikatnya di satu tiang dari tiang-tiang masjid ( Riwayat Al-Bukhari & Muslim )
Selepas tiga hari, akhirnya setelah dia melihat bagaimana umat islam beribadah dan keramahan umat Islam kepadanya yang sentiasa bertanya keadaannya, dia akhirnya memeluk Islam kerana tertawan melihat keindahan kehidupan dan ibadah umat Islam.[1]
HUKUM MASUK MASJID SELAIN MASJIDIL HARAM
Imam Ibn Hajar Al-‘Asqolani ketika menghuraikan isu ini mengatakan mazhab Maliki tetap MELARANG bukan Islam memasuki masjid manakala Mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi membenarkan bukan Islam untuk memasuki masjid-masjid lain dengan syarat-syarat tertentu. Beliau juga menegaskan kebenaran ini cukup kuat dari dalil tawanan perang bernama Thumamah tersebut.
Imam Nawawi menghuraikan :
وفي هذا جواز ربط الأسير وحبسه وجواز إدخال المسجد الكافر ومذهب الشافعي جوازه بإذن مسلم سواء كان الكافر كتابيا أو غيره وقال عمر بن عبد العزيز وقتادة ومالك لا يجوز
Ertinya : Melihat kepada hadis ini, harus hukumnya mengikat tawanan dan menahannya serta harus juga seorang yang bukan Islam untuk memasuki masjid. Mazhab Syafie : menyatakan keharusannya dengan syarat terdapat keizinan dari umat Islam sama ada kafir itu dari kalangan ahli Kitab atau selainnya. Namun Khalifah Umar bin Abd Aziz, Qatadah dan Imam Malik tidak mengharuskannya. (Syarah Sohih Muslim, 12/87)
Selain yang diatas, anak murid Imam Syafie yang utama iaitu Al-Muzani juga berbeza ijtihad dengan gurunya, beliau menyatakan TIDAK HARUS bukan Islam memasuki masjid apatah lagi menetap di dalamnya, kerana jika mereka dibenarkan, sudah tentu orang yang berjunub juga akan dibenarkan. Sedangkan ayat di atas menyebut larangan bagi mereka yang berjunub memasuki masjid kecuali lalu sahaja.
Al-Mawardi memetik kata Al-Muzani iaitu :-
لأنه لو جاز ذلك له لكان الجنب المسلم أولى به لموضع حرمته وتشريفه فلما لم يجز للمسلم المبيت فيه كان المشرك أولى
Ertinya : Sekiranya harus (bagi bukan Islam masuk masjid), sudah tentu muslim yang berjunub lebih utama untuk dibenarkan disebabkan kehormatannya dan kemuliaannya, maka di ketika TIDAK HARUS bagi seorang Muslim menetap di dalamnya, maka tentulah bukan Islam lebih lagi dilarang (kerana mereka dikira sentiasa berjunub) ( Al-Hawi Al-Kabir, 2/268)
Imam Al-Mawardi As-Syafie membawakan pula teks kata-kata Imam Syafie dalam hal ini iaitu :-
ولا بأس أن يبيت المشرك في كل مسجد إلا المسجد الحرام
Ertinya : Tiada masalah untuk seorang bukan Islam menetap di setiap masjid kecuali masjidil Haram. ( Al-Hawi Al-Kabir, 2/268)
KESIMPULANNYA
Majoriti ulama bersepakat bukan Islam TIDAK BOLEH MEMASUKI masjidil haram, namun dengan agak ketara mereka berbeza ijtihad dalam menentukan hukum bagi masjid-masjid yang lain.
Namun demikian, majoriti ulama silam dan kontemporari dilihat mengharuskan bagi masjid-masjid biasa dengan syarat-syarat tertentu seperti :-
1) Mestilah dengan izin umat Islam atau badan berkuasa Islam bagi masjid berkenaan.
2) Mestilah mempunyai sebab yang munasabah untuk memasukinya sama ada untuk mendengar penerangan berkenaan Islam, mendaftar sesuatu, bertanya, melihat dan mempelajari cara ibadah umat Islam dan yang seumpamanya.
3) Mereka mestilah menghormati seluruh keadaan dan alatan masjid, tidak membuat kebisingan dan memakai pakaian yang sesuai seperti menutup aurat bagi wanitanya yang izin memasuki masjid.
Berkenaan sama ada larangan memasuki masjid adalah pandangan wahabi atau tidak. Ia tidak berkaitan dengan wahabi, sememangnya terdapat sebahagian ulama yang melarang, namun mereka yang disebut di atas semuanya berada di zaman sebelum lahirnya Syeikh Muhammad Ibn Abd Wahab. Justeru, tiada sebarang kaitan dengannya.
Namun demikian, jika apa sahaja yang berbeza dengan mazhab Syafie itu dilabel sebagai Wahabi oleh orang Malaysia, maka mereka yang melarang mungkin boleh digelar Wahabi. Wallahu'alam.
Cuma sedariah tindakan label melabel ini adalah bukanlah satu tindakan yang tepat malah tidak boleh sama sekali disebabkan satu isu dua pandangannya, habis digeneralisasikan seseorang itu sebagai Wahabi dan semua ciri-ciri yang direka. Bersikap wajar dan adillah.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
8 Nov 2009
09 November 2009
Bukan Islam Memasuki Masjid. Penjelasan Oleh Ust Zaharuddin Abd Rahman.
Isnin, November 09, 2009
MASJID PUTRA PERDANA