Oleh NOOR QALBI ZAKARIA
ALLAH s.w.t. berfirman maksudnya, “Apa pun musibah yang menimpa (manusia) tidak lain melainkan dengan izin Allah, dan sesiapa yang beriman kepada Allah, maka Allah akan membimbing hati orang berkenaan.” (at-Taghabun: 11)
Bagaimanapun, sepanjang mendepani kehidupan yang bersimpang siur antara kesenangan dan kesulitan, kita kadang-kadang lupa mengenai hakikat keizinan Allah s.w.t. dalam apa juga yang melanda.
Memang Allah tidak memfitrahkan kepada umat manusia satu kehidupan yang begitu mudah. Dia menetapkan kesusahan dan kesenangan sebagai satu pakej berkembar.
Tidak manusia, hatta Rasul dan wali-wali, diberikan hak istimewa untuk memilih hanya elemen kesenangan. Jika tidak, masakan Rasul dan wali-wali-Nya ikut bergelumang dengan pahit getir kehidupan.
Ada sebab musababnya mengapa Allah s.w.t. menetapkan sedemikian.
Hanya mereka yang benar-benar memahami dan berbaik sangka terhadap Allah s.w.t. mampu menerima setiap ketentuan ke atas diri dengan penuh redha. Malah wali Allah, atas dasar redha inilah, sering menemui kegembiraan di dalam setiap musibah yang menimpa mereka.
Rabiatul Adawiyah misalnya, iaitu seorang yang dikatakan mencapai taraf wali Allah, ketika ditanya mengenai maksud `redha’ menjelaskan bahawa seseorang itu dikatakan benar-benar mencapai taraf redha apabila darjah kegembiraannya ketika ditimpa musibah sama dengan darjah kegembiraannya ketika mendapat kesenangan.
Di dalam al-Quran, berkali-kali Allah menyebut mengenai ujian terhadap umat manusia. Firman-Nya yang lain bermaksud, “Setiap diri akan berasa kematian dan kami ujikan sekalian kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai satu percubaan dan kepada Kamilah kamu sekalian akan kembali,” (Al-Anbiya’: 35)
Nabi Muhammad s.a.w. juga mentarbiyahkan umatnya dengan memberi kefahaman serta kesedaran bahawa apa juga musibah yang menimpa adalah daripada Allah s.w.t. Semua itu tidak berlaku dengan sia-sia. Ada ganjaran bagi mereka yang sabar dan redha.
Sabda baginda bermaksud, “Setiap orang Islam yang ditimpa bencana sama ada terkena duri atau lebih berat daripada itu, ia adalah semata-mata ujian, kerananya Allah s.w.t. akan menghapuskan perbuatan kejahatannya dan menggugurkan dosa-dosanya sebagaimana pokok kayu menggugurkan daunnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Malah menurut baginda, ujian Allah s.w.t. tidak terbatas kepada musibah atau kesusahan semata-mata. Bebanan ujian Allah s.w.t. menerusi nikmat kesenangan, kekayaan dan pangkat kebesaran terhadap seseorang, dalam banyak kes dan keadaan, ternyata jauh lebih `berat dan membebankan’ berbanding ujian dalam bentuk kesusahan atau kesakitan.
Sabdanya bermaksud, “Sesungguhnya bagi setiap umat itu mempunyai ujian dan ujian bagi umatku adalah harta kekayaan.” (Riwayat at-Tirmizi)
Kefahaman sejati mengenai hakikat ujian yang disemai Rasulullah s.a.w. inilah menjelmakan keredhaan tulen di kalangan peribadi Muslim. Ia juga menjadi sumber kekuatan umat pada zaman kegemilangan Islam ketika era Rasulullah s.a.w. dan selepasnya sehingga mereka bukan sahaja lahir sebagai da`i (pendakwah) menyebarluaskan syariat Allah di serata pelosok maya, malah muncul sebagai ilmuan, pedagang, pentadbir dan negarawan.
Dengan memahami hakikat keizinan Allah s.w.t. dalam setiap kejadian dan redha terhadap semua ketentuan tanpa bertawakal membuta tuli, mereka memacu kehidupan sebagai umat gemilang dan kekal istiqomah pada perjuangan.
Sebagai pejuang menegakkan dan mempertahankan setiap inci bumi Islam atau menyebarkan ajaran tauhid, mereka tidak gentar dek kemilaunya mata pedang atau tajamnya busur panah musuh.
Sebagai pedagang, mereka tidak gentar dek tingginya gelombang atau ganasnya ribut padang pasir. Mereka yakin, tidak ada yang lebih hebat dan Maha Perkasa berbanding Allah s.w.t.
Di tangan-Nyalah segala ketentuan. Dialah yang mencorakkan qada dan qadar. Mereka akur bahawa semua kesusahan dan kesenangan adalah ujian Allah s.w.t. Dan setiap ujian itu mempunyai kaitan langsung dengan darjah keimanan.
Malah di dalam al-Quran sendiri, apabila Allah s.w.t. menyebut mengenai ujian, Dia banyak mengaitkannya dengan keimanan. Perhatikan firman-Nya yang bermaksud, “Dialah Tuhan yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu, apakah kamu yang lebih baik amal perbuatannya, dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun” (Al-Mulk: 2)
Malah di dalam ayat lain, Allah s.w.t. seolah-olah menempelak manusia dengan firman-Nya bermaksud, “Alif Lam Mim. Apakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata `kami beriman’ sedangkan mereka belum diuji dengan sesuatu percubaan dan demi sesungguhnya kami telah menguji orang terdahulu daripada mereka, maka dengan ujian yang demikian nyatalah apa yang diketahui oleh Allah mengenai orang yang beriman dan nyata pula apa yang diketahui mengenai orang yang berdusta”. (Al-Ankabut: 1-3)
Ayat ini memahamkan kita bahawa keimanan tidak cukup sekadar ungkapan lisan atau diwar-warkan begitu sahaja. Ujian yang ditimpakan oleh Allah s.w.t. adalah garis penentu keutuhan keimanan seseorang hamba-Nya. Sekadar ucapan di bibir tanpa kemampuan meloloskan diri terhadap apa juga ujian, bagi Allah s.w.t., mereka adalah `orang yang berdusta’.
Sebenarnya, ujian dalam sesetengah keadaan, terutama dalam bentuk kesenangan dan kemewahan, banyak menumpaskan manusia. Peribadi yang suatu ketika beriman, mungkin sahaja menjadi kufur akibat tidak tahan dek asakan keseronokan dan keasyikan palsu.
Bagaimanapun, mereka yang telah benar-benar menemui intisari agamanya akan tegap teguh mempertahankan keimanan walau sehebat mana ujian mendatang, sama ada dalam bentuk kesusahan atau kesenangan.
Inilah yang difirmankan oleh Allah s.w.t. bermaksud, “Orang beriman dan tidak mencampuri imannya dengan kejahatan, mereka itulah yang akan mendapat keamanan dan mereka itulah orang yang terpimpin.” (al-An`am: 78-82)
Untuk itu, demi kelangsungan hidup atas jalan lurus sepanjang masa dan dalam apa juga keadaan, memahami hakikat ujian susah serta senang sebagai satu pakej berkembar kehidupan, mampu menjadikan diri kita sebagai peribadi yang diterima Allah s.w.t.