Sebagai contoh, tanpa pengesahan halal, Nestle SA dari Switzerland tidak mungkin muncul sebagai sebuah syarikat makanan utama di Malaysia dengan jualan tahun lepas bernilai RM2 bilion. Kelebihan itu juga diperagakan oleh syarikat dalam memasarkan produk mereka.
Biarpun, tanpa pengiktirafan itu, mana-mana syarikat makanan atau barangan pengguna masih boleh mengaut untung tetapi dengan langkah itu, keuntungan yang bakal diterima jauh lebih besar.
Malah, syarikat barangan pengguna Zaitun Industries telah berjaya menggugat kedudukan Colgate-Palmolive yang telah lama bertapak di negara ini hanya dengan menggunakan slogan berbau pengesahan halal seperti ‘Gunakan Tanpa Waswas’.
Namun begitu, di sebalik perkembangan ini, syarikat tempatan masih berada ‘di luar berada sedar’ sedangkan syarikat-syarikat asing yang mempunyai tapak operasi di negara ini, melihat pengesahan halal sebagai peluang berada di barisan hadapan.
Di dunia yang perniagaannya mulai melangkaui garisan sempadan kedaulatan, soal pengesahan halal adalah merupakan habuan yang bernilai AS$80 bilion (RM304 bilion) setahun melibatkan 1.5 bilion pengguna.
Seperti mana juga Nestle, untuk menyebut beberapa nama, Pillsbury, pengeluar makanan terkemuka di AS menggunakan pengiktirafan halal Malaysia untuk menguasai pasaran tempatan dan sasaran untuk memanjangkan langkahnya ke luar negara.
Perlumbaan itu tidak terhad kepada pengeluar makanan siap guna atau bertin tetapi juga makanan segera seperti restoran-restoran makanan segera asing seperti Shakey’s Restaurant, Kentucky Fried Chicken (KFC) dan juga A & W.
Tidak dinafikan apa yang berlaku memerlukan perhatian yang serius, syarikat tempatan akan ketinggalan atau ‘menggigit jari’ sekiranya terus gagal mengorak langkah ke arah mengeksploitasi kelebihan dalam usaha kerajaan menjadikan Malaysia sebuah pusat makanan halal dunia.
Mahukah dilihat sahaja, penguasaan orang lain di dalam pasaran sendiri. Seperti mana kata pepatah, ”lembu punya susu, sapi yang akhirnya mendapat nama”.
Cabaran itu bukan hanya untuk syarikat-syarikat bumiputera yang sememangnya mengetahui tahap pematuhan halal menguntungkan tetapi juga syarikat-syarikat milik bukan Islam.
Pergantungan semata-mata terhadap pengusaha bumiputera untuk menerajuinya tidak memungkinkan kerana pembabitan mereka dalam industri makanan masih kecil dan skop barangan masih terhad.
Pembabitan mereka masih lagi kepada pengeluaran ‘barangan dapur’ yang lebih tertumpu kepada pasaran tempatan dan bukannya antarabangsa. Ini sekali gus menidakkan peluang untuk bersaing pada skala pengeluaran yang besar.
Bersandarkan hakikat itu, kesedaran perlu ditingkat di kalangan para pengusaha bukan Islam kerana peluang yang ada di hadapan mereka berbentuk serampang dua mata.
Melalui kekuatan modal dan kepakaran, mereka itu bukan hanya mendapat faedah daripada pasaran tempatan tetapi juga pastinya pasaran luar negara termasuk sekitar rantau Asia Tenggara sendiri.
Malaysia sebenarnya tidak kekurangan dari segi keupayaan dalam memastikan kejayaan mereka kerana mempunyai pakar agama dan pakar teknologi yang kelebihan mereka selama ini dipergunakan oleh syarikat asing.
Untuk menggalakkan penyertaan syarikat atau pengusaha bukan Islam, minat dan kesedaran perlu ditarik , setakat ini kefahaman mereka masih statik sedangkan potensi yang terbentang adalah besar.
Pada masa yang sama, syarikat-syarikat asing yang beroperasi di negara ini mulai memastikan kilang-kilang di luar negara mempunyai tahap pematuhan halal tinggi untuk menguasai pasaran lebih besar.
Dalam merangsang minat untuk bersaing , kerajaan perlu memudahkan cara ke arah itu kerana selain kepentingan komersial, penyediaan makanan dan barangan yang tidak mempunyai unsur-unsur haram merupakan kritikal untuk masyarakat Islam itu sendiri.
Sejak sekian lama merdeka, polemik halal atau haram dalam makanan itu sendiri masih berlarutan tanpa penyelesaian dan diburukkan lagi dengan isu mendapatkan pengesahan halal.
Peranan yang dimainkan oleh pihak berkuasa yang terbabit perlu diselaraskan dan disatukan secara terancang kerana masih terdapat percanggahan bidang kuasa antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, kedua-dua tidak mempunyai bidang kuasa yang jelas.
Proses penswastaan pemberian pengiktirafan halal melalui Ilham Daya Sdn. Bhd. masih jauh daripada memuaskan dan sebaliknya membebankan termasuk dakwaan tidak mempunyai perkhidmatan yang mantap dan pengenaan kadar bayaran yang tinggi.
Entiti itu juga gagal berfungsi untuk meningkatkan kefahaman terhadap keperluan halal di kalangan pengusaha-pengusaha bukan Islam tempatan. Kedangkalan ilmu perlu dipertingkatkan segera kerana langkah yang tertangguh hanya akan membawa kepada kerugian.
Selain itu isu pengenaan kadar bayaran tinggi yang dikaji semula oleh Unit Perancangan Ekonomi (EPU) bagi mendapatkan logo pada pertengahan tahun lalu , yang masih belum selesai perlu juga dipercepatkan.
Pengenaan bayaran sebanyak RM1,800 untuk satu produk makanan yang sebesar tiga jari tangan berbanding RM440 sebelum penswastaan melangkaui logik minda, apatah lagi ia dikatakan tidak termasuk jumlah perbelanjaan yang ditanggung untuk membawa mereka yang terbabit dalam mengesahkan halalnya kilang di Malaysia ataupun di luar negara.
Keadaan ini menyebabkan timbul langkah syarikat tertentu seperti KFC membentuk sebuah badan panel syariah sendiri dengan pembentukan logo individu, secara tidak langsung biarpun dilihat baik tetapi ia mengagalkan harapan untuk menyaksikan keseragaman dalam penggunan logo halal di negara ini atau mungkin di pasaran antarabangsa.
Sehubungan itu, tanpa sikap proaktif pihak berkuasa, pastinya keseragaman dalam menampilkan Malaysia sebagai pusat makanan halal tidak kesampaian dan peluang itu direbut pihak lain.
Sebenarnya, pembukaan pasaran sejagat tidak menunggu para pengusaha tempatan. Kegagalan dalam merancang strategi yang teliti dan betul, ia bukan hanya menjejaskan golongan usahawan di negara ini tetapi juga umat Islam yang mengharapkan setiap makanan yang dimakan adalah halal.