31 Julai 2010

Jadikan Ramadan ini yang terbaik - Ustaz A Ghani Shamsudin


Ustaz A Ghani Shamsudin

SOALAN: Saya seorang Muslim yang sudah lama meninggalkan ajaran Islam secara serius, sama ada dalam bentuk kepercayaan, pegangan, dan dalam amal ibadat. Tetapi dalam kesempatan berkunjung ke surau berdekatan rumah untuk bersolat Tarawih pada tahun ini dan mendengar siri tazkirah, mula melahirkan bibit-bibit kesedaran untuk menjadi hamba Allah yang mempraktikkan Islam.

Dalam salah satu siri tazkirah, ada disebut bahawa Sayidina Umar bin al-Khattab pun sebelum memeluk Islam, merupakan seorang yang ada cita-cita untuk membunuh Nabi Muhammad s.a.w. Bukan setakat itu, malah dia juga terbabit dalam menanam anak perempuannya pada zaman jahiliah, meminum arak, berfoya-foya, tetapi akhirnya selepas memeluk Islam jadi baik.


Persoalannya, bolehkah saya boleh menjadi seperti beliau (Umar), sedangkan saya dilahirkan sebagai seorang Islam berbeza dengan beliau yang tidak Islam.�Saya ingin sangat nasihat atau kaunseling ustaz, bagaimana saya boleh menjadi seorang Muslim yang baik pada Ramadan kali ini. - Abdul Muhaimin Ismail, Kg Chalok Barat, Setiu, Terengganu

JAWAPAN: Kesempatan hidup selama 60 atau 70 tahun di dunia ini perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Tuhan serta agama yang benar dan betul perlu dicari agar nasib kita nanti di akhirat lebih baik dan beruntung. Orang yang malang ialah mereka yang gagal mencari tuhan dan jalan yang benar untuk hidup di dunia ini lalu dia dibakar api neraka di akhirat kelak.

Jadi apabila saudara telah menemui agama dan tuhan yang sebenar saudara perlu istiqamah melaksanakan segala suruhan dan menghindari segala bentuk larangan-Nya. Jika tidak anda sama sahaja dengan manusia yang meraba-raba mencari tuhan dan jalan kehidupan yang diredainya.

Kehidupan dan sejarah yang dilalui oleh para leluhur seperti Sayidina Umar itu adalah suratan takdir bagi beliau. Beliau hidup dalam zaman kegelapan jahiliah yang sangat pekat. Namun Allah telah mengangkat mertabat beliau menjadi sahabat Rasul yang kedudukannya bagaikan bintang di langit. Jihad dan kesungguhan serta sumbangan jasa bakti beliau ketika itu tidak boleh disamakan dengan kaadaan sekarang. Saudara hidup dalam zaman Islam sudah berkembang lama; walaupun sudah banyak yang ditinggalkan ajarannya.

Apa yang penting ialah kita menunaikan ajaran Islam sepertimana yang diajar oleh Rasul dan sahabat-sahabat baginda. Dalam bulan Ramadhan ini kita disuruh menunaikan puasa pada waktu siangnya; kerana Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Siapa yang berpuasa Ramadan dengan sukarela kerana dorongan keimanan semata-mata maka dosa-dosanya diampunkan."

Dalam sebuah hadis baginda menegaskan: "Dosa-dosa kecil seseorang berkaitan keluarga, harta dan jiran tetangganya dilupuskan oleh ibadat solat, puasa dan sedekah."

Puasa juga menurut baginda ibarat benteng atau tembok yang sangat kukuh menghindarkan kita daripada api neraka.

Dalam hadis lain pula baginda mengatakan: "Puasa dan amalan membaca al-Quran akan membantu seseorang itu pada hari kiamat kelak."

Abdullah bin Amru meriwayatkan daripada Rasulullah bahawa baginda bersabda: �Puasa dan amalan membaca al-Quran akan membantu seseorang itu pada hari kiamat kelak. (Ketika itu) puasa akan berkata: "Hai Tuhan aku telah menghalangnya daripada menjamah makanan dan melempiaskan nafsu syahwatnya oleh itu ampunkanlah dosanya kerana itu. Quran pula akan berkata: Hai Tuhan aku telah menyebabkan dia kurang tidur pada waktu malam oleh itu maafkanlah kesalahannya kerana itu. Baginda berkata (akhirnya) dia diberi pelepasan." (Hadis riwayat Ahmad

Pada bulan Ramadhan anda boleh memulakan taubat nasuha kepada Allah untuk meninggalkan segala perangai buruk seperti degil untuk tunduk kepada arahan dan tegahan agama, enggan melaksanakan kewajipan syara', suka melewatkan solat dan sebagainya.

Inilah bulan yang paling baik untuk anda memulakan corak hidup baru yang penuh keimanan, syukur, taat, inabah dan khusyuk dalam mengerjakan solat dan ibadah.

Inilah masa untuk berhijrah daripada pegangan dan ajaran yang salah dari sudut pemikiran dan budaya kepada kehidupan Islam yang sejati dan hakiki. Inilah saat yang paling sesuai kita berhijrah kepada landasan perjuangan politik Islam dan meninggalkan landasan politik berasaskan kaum atau tanah. Apabila nawaitu dan akidah kita benar maka solat dan puasa serta sedekah akan diterima Allah insya-Allah.Jika tidak segala amal ibadat menjadi sia-sia.

Dalam bulan yang mulia ini kita boleh membanyakkan sebutan zikir dan doa kepada Allah. Rasulullah menegaskan: Tiga orang yang doa mereka tidak akan dihampakan oleh Allah - orang yang berpuasa hinggalah dia berbuka, penguasa atau pemerintah yang adil dan doa orang teraniaya.(Hadis riwayat Termizi)

Pada bulan mulia ini juga pahala amal soleh akan digandakan oleh Allah. Sebab itu banyakkan bersedekah; menyumbang bakti dan budi. Nabi adalah seorang yang pemurah, apabila tiba Ramadan baginda adalah orang yang paling banyak memberi dan bersedekah.

Kepanasan matahari dan suasana yang terik di samping perut yang lapar membentuk seseorang agar tabah dan sabar berhadapan dengan rintangan.; inilah antara hikmat disyariatkan puasa. Ibadah ini mahu mencanai sifat tabah dan semangat yang kental serta azam yang kukuh untuk menjayakan cita-cita murni. Kesabaran ini menyebabkan dia tidak membalas cercaan orang dengan cercaan yang serupa; sebaliknya dengan jiwa besar dia mengatakan kepada mereka: "saya sedang berpuasa."

Sifat ini akan membawa kepada suasana damai dan tenteram dalam masyarakat.

Anda tidak perlu memikirkan diri anda boleh melampaui martabat Sayidina Umar justeru martabat Umar martabat yang sukar untuk ditandingi oleh orang seperti kita. Namun saudara boleh bercita-cita untuk menjadi insan terbaik dengan meluruskan niat, membersihkan hati dan meningkatkan kualiti dan jati diri sehingga mencapai darjat kemanusiaan yang mulia dan luhur.

Saudara boleh menyegerakan taubat kepada Allah beristighfar dan menyesali dosa-dosa yang lalu dan berazam untuk menghindarinya dan memulihkan kesan-kesan buruk terhadap dosa yang sudah berlaku.

Saudara boleh menyegerakan solat pada waktunya, solat berjemaah dengan berusaha mendapatkan takbir yang pertama bersama imam, menunaikan sunat rawatib dan amal soleh yang lain.

Banyakkan solat dan qiamullaili dengan berbagai jenis solat sunat yang lain, membaca qunut dan doa pada waktu sahur.

Saudara juga boleh membiasakan diri dengan tilawah al Quran. Jadikan tilawah sebagai adat dan amalan lazim harian anda. Indahkan al-Quran dengan suara bacaan anda yang merdu, khusyuk dan sayu.

Sambungkan silaturrahim, ziarahi kerabat dan saudara mara, maafkan kesalahan orang lain, jalin hubungan mesra dengan jiran tetangga dan orang kampung tempat tinggal anda. Banyakkan amalan bersedekah dan menderma.

Tunaikan zakat harta, keluarkan nafkah untuk anak isteri dan kerabat handai. Bantu golongan miskin dan orang yang tidak berdaya dan golongan tetindas di Mindanao, Pattani, Palestin, Afghanistan, Iraq, Darfur dan lain-lain.

Bersihkan jiwa dan hati daripada melihat orang lain; lebih-lebih lagi beranggapan para leluhur seperti Umar lebih jelek kedudukannya daripada kita. Sebaliknya kita harus meletakkan penghormatan yang sangat tinggi kepada para sahabat Rasulullah s.a.w. yang disebut oleh oleh baginda sebagai bintang-bintang di langit.

Siapa sahaja daripada kalangan para sahabat yang kita contohi pasti kita akan mendapat petunjuk. Muliakan kedudukan mereka. Dalam masa yang sama cubalah hidup mencontohi mereka.

Dalam pada itu jika anda mempunyai rezeki yang cukup untuk menunaikan umrah dalam bulan Ramadan maka bulatkan tekad dan niat untuk menunaikannya dalam bulan puasa ini.

Rasulullah s.a.w. bersabda: "Penunaian umrah dalam bulan Ramadan menyamai ibadah haji (pahalanya) atau seolah-olah menunaikan haji bersama-samaku." ( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Selanjutnya anda manfaatkanlah bulan Ramadan untuk meningkat usaha jihad menegak dan menobatkan ajaran Islam; sama ada dengan lisan, tulisan, harta mahu pun nyawa. Bulan Ramadan ini bulan menjana perubahan merobohkan kebatilan dan kekufuran dan menegakkan keadilan dan cita-cita Islam. Inilah bulan kemenangan untuk umat Islam insya-Allah.

Demikianlah beberapa pesanan ringkas saya untuk saudara laksanakan; semoga saudara mendapat tempat dan martabat yang tinggi di sisi Allah Azza Wa Jalla. Wallah a'lam. _

Tafsir Surah al-Maidah ayat 73: Dosa syirik tidak diampun


Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Firman Allah yang bermaksud, �Nabi Isa a.s. berkata, �Wahai Bani Israil, sembahlah kamu akan Allah, Tuhan-ku dan tuhan kamu. Sesungguhnya sesiapa yang menyengutukan Allah dengan sesuatu yang lain maka Allah haramkan ke atasnya syurga dan tempat menetapnya di dalam neraka dan tiadalah bagi orang-orang yang zalim itu penolong�.� (Surah al-Maidah: 72)

Zalim paling besar adalah mensyirikkan Allah dengan sesuatu. Allah Taala tidak mengampunkan dosa orang yang syirik dengan-Nya.

Firman Allah yang bermaksud, �Sesungguhnya Allah tidak mengampunkan dosa orang yang syirik dengan-Nya. Dan Dia mengampun dosa yang lain dari itu.� (Surah an-Nisa�: 116) O


rang yang membunuh manusia dan berzina beribu kali, jika benar-benar bertaubat nescaya Allah akan mengampunkan dosanya. Begitu juga pemakan riba dengan jumlah berjuta-juta ringgit, jika benar-benar bertaubat diampunkan dosanya. Begitu juga dengan dosa-dosa yang lain melainkan dosa orang yang syirik dengan Allah SWT.

Orang yang menyengutukan Allah dengan sesuatu yang lain dan melantik Tuhan yang lain daripada Allah, yang berdoa kepada yang lain daripada Allah, yang mengada-ngdakan hukum yang lain daripada hukum Allah dan menganggapnya serupa dengan hukum Allah atau lebih daripada hukum Allah, mereka berkenaan telah melakukan syirik. Allah Taala tidak mengampun dosa mereka.

Disebut di dalam ayat yang banyak termasuk ayat yang ditafsirkan ini termasuk juga di dalam hadis yang banyak antara lain sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud, �Jauhlah kamu daripada tujuh dosa besar. Dikatakan, apa yang dikatakan tujuh dosa besar itu? Rasulullah bersabda, yang pertama ialah syirik dengan Allah.�

Syirik dengan Allah tidak diampun dosanya melainkan dengan mengucap dua kalimah syahadah, berhenti daripada perbuatan dan perkataan syirik bagi menghilangkannya. Istighfar dengan bertaubat sahaja tidak boleh.

Orang yang syirik dengan Allah, tidak ada peluang masuk syurga. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud, �Sesungguhnya syurga tidak boleh dimasuki melainkan dirinya seorang Islam dan beriman dengan Allah.�

Dan mengikut satu riwayat lain dirinya yang beriman bukan dirinya yang syirik. Yang syirik dan kafir tidak masuk syurga.

Dan Allah Taala menghukum orang-orang Kristian kafir walaupun mereka mengaku bahawa Allah itu Tuhan, walaupun mereka membuat kebajikan tetapi apabila mereka menyengutukan Allah dengan sesuatu yang lain maka mereka telah melakukan syirik.

Firman Allah yang bermaksud, �Dan orang-orang yang zalim itu tidak mendapat pertolongan dari Allah.� (Surah al-Maidah: 72)

Kita melihat mereka berkeadaan baik dengan tubuh badan yang sihat serta gagah perkasa di atas dunia kerana Allah memberi peluang kepada mereka untuk berbuat sesuatu sama ada baik ataupun jahat.

Allah Taala tidak menolong mereka, mudah-mudahan mereka bertaubat dari segala perbuatan jahat yang dilakukan. Firman Allah yang bermaksud, �Sesungguhnya telah kafirlah orang yang mengatakan bahawa Allah itu tiga daripada yang tiga.� (Surah al-Maidah: 73)

Iaitulah orang Kristian yang mendakwa Allah itu satu daripada tiga unsur ataupun satu daripada tiga Tuhan.

Firman Allah yang bermaksud, �Maha Tinggi Allah daripada apa yang mereka ucap daripada Maha Tinggi dan Maha Besar.� (Surah al-Israa': 43)

Maha Suci Allah daripada apa yang mereka ucapkan kerana Allah Taala itu Maha Esa.

Firman Allah yang bermaksud, �Dan tiada daripada tuhan melainkan Tuhan Yang Satu.� (Surah al-Maidah: 73)

Tuhan hanya satu sahaja itulah Allah SWT Yang Maha Esa, yang tunggal pada zat dan sifat-Nya dan pada segala-gala yang dimiliki-Nya.

Firman Allah yang bermaksud, �Dan jika sekiranya mereka tidak berhenti daripada apa yang mereka cakap,(terus mengatakan Allah Taala satu daripada tiga, Isa al-Masih juga sebagai Tuhan), nescaya mesti akan mengenai orang-orang yang kafir di kalangan mereka azab yang pedih.� (Surah al-Maidah: 73)

Yang kafir di kalangan mereka mesti ditimpa azab yang pedih. Mereka diberi amaran yang keras oleh Allah SWT setelah diberi nasihat.

Memang orang Kristian degil dalam masalah akidah. Apabila mereka diajak berbincang, mereka lari. Mereka tidak berani berdebat di dalam masalah ketuhanan. � lanh _

Bersama Dr Haron Din: Perihal santau di kalangan orang Melayu


Dr Haron Din

Soalan: Dalam masyarakat Melayu sering disebut orang perkataan santau. Apakah santau? Wujudkah santau dalam alam nyata? Benarkah ada orang boleh buat santau untuk dijual dan dikenakan kepada orang lain? - MASROH HAMDAN, Padang Rengas

Jawapan: Santau adalah istilah penyakit yang terkenal dalam masyarakat Melayu, khususnya di Nusantara. Penyakit yang tergolong dalam nama santau itu wujud.

Penyakit itu biasanya dikenali berdasarkan tanda-tanda zahir yang dialami oleh pesakit. Contohnya batuk berpanjangan berbulan-bulan, kadang-kadang mengambil masa bertahun, dengan menggunakan pelbagai ubat, tetapi batuk tidak hilang.


Ada juga yang batuk mengeluarkan darah, hilang selera makan, badan kurus kering, kulit berkedut-kedut, kuku kebiru-biruan, di sekeliling mata juga kebiru-biruan, tidak bermaya, sejuk kaki tangan khususnya pada petang hari, murung, tidak ceria dan sebagainya.

Penyakit sedemikian tidak semestinya santau. Ia boleh berlaku sedemikian dengan sebab fizikal yang lain, mungkin kerana dia bermasalah penyakit paru-paru rosak atau tonsil kronik atau sakit TB, keracunan dan sebagainya.

Pesakit jenis ini biasanya akan terubat dengan doktor pakar. Mungkin kerana sudah diubati tetapi tidak sembuh, maka mereka beralih kepada rawatan alternatif.

Salah satu yang sering dirujuk ialah bomoh santau atau perawat-perawat lain. Kebanyakan pengubat akan memberitahu pesakit itu bahawa dia terkena penyakit santau.

Ertinya ada orang bagi dia makan sesuatu, atau dia memakan ramuan yang di dalamnya ada santau.

Apa dia santau? Saya sendiri tidak tahu apa dia sebenarnya. Cuma hasil daripada percakapan banyak orang, kononnya santau diperbuat dari bahan yang amat-amat bisa.

Dikatakan ia diperbuat daripada bulu ulat bulu yang mati merana (meragan), dicampur dengan bisa ular, lipan atau kala jengking dan dicampur dengan kaca halus daripada bal lampu kalimatang yang ditumbuk halus.

Selepas itu ia dikatakan melalui proses adunan tersendiri dan dikeringkan, dijadikan serbuk untuk diletakkan dalam makanan atau minuman. Ini adalah cerita lisan, tiada orang yang boleh mengesahkan ia adalah santau yang sebenarnya.

Kalaupun ada yang membuat santau, tentulah dia merahsiakannya dan tidak mungkin dia mendedahkan rahsianya kepada orang.

Adakah orang yang sanggup membuatnya untuk menganiayai orang lain? Semata-mata dengan sedikit bayaran dunia, tidak kah mereka takut kepada dosa dan sebagainya?

Zaman ini manusia menjadi makhluk yang serba boleh, serba jadi. Misalnya mereka sanggup mendera isteri, mendera orang gaji, membunuh diri, keluarga dan rakan, serta melakukan pelbagai kemusnahan.

Manusia menjadi haiwan, malah lebih teruk daripada haiwan. Apakah itu (menggunakan santau) tidak dikatakan sebagai manusia kerana wang atau kerana hendak memuaskan hati?

Oleh santau adalah salah satu daripada kekejaman manusia. Yang penting tanda-tanda penyakit tadi jelas, orang itu sakit, setiap sakit ada ubatnya.

Berubatlah dengan cara yang betul, apabila Allah bukakan ruang kesembuhan, insya-Allah kena ubatnya, penyakit akan sembuh.

Sering kita dengar ada orang yang boleh membeli santau daripada orang tertentu dan sebagainya, itu adalah kata orang, anda jangan mudah mempercayainya.

Oleh yang demikian, berdoalah kepada Allah agar kita selamat dari kedengkian manusia. Wallahu a'lam. - lanh _

Puasa kembalikan manusia ke alam fitrah


Dr Osman Nasir

Kita akan menghadapi bulan puasa dalam bulan Ramadhan yang mulia yang jatuh pada bulan Ogos ini. Sesungguhnya pada bulan ini lah kita akan kembali kepada alam fitrah yang semula jadi jika kita puasa mengikut sunnah Rasulullah s.a.w.

Pada ketika kita mengamalkan puasa itulah kita akan melakukan beberapa ibadah yang menyesuaikan diri kita dengan alam kejadian kita.

Amalan puasa yang bermula dengan sahur waktu malam dan berbuka waktu Maghribnya memakan masa lebih kurang tiga belas jam.


Masa itulah yang sebenarnya diperlukan oleh tubuh untuk menghadam makanan keseluruhannya. Makanan yang masuk ke dalam perut itu akan dihadam menjadi sel, darah, otot dan lain-lain.

Inilah sepatutnya kita lakukan hari-hari tetapi dalam keadaan sebenarnya dalam tabiat kita makan sehari-hari kita makan banyak kali �sarapan, makan pukul sepuluh, makan tengah hari, makan dan minum teh petang dan makan malam � di mana belum pun sempat proses penghadaman berlaku sepenuhnya makanan dimasukkan ke dalam perut terus menerus sehingga proses penghadaman terganggu.

Ini menyebabkan makanan yang tidak sempat dihadam akan diketepikan sahaja dan membusuk di dalam perut dan usus. Gas pun terkumpul dan gas ini menyebabkan kita sakit perut, sakit kepala dan bila gas dan toksid naik ke permukaan kulit di muka maka jerawat timbul, kelumumur dan macam-macam lagi.

Maka puasa di siang hari sebenarnya kembalikan kita ke alam fitrah di mana kita telah mendisiplin diri kita makan ikut fitrah dan ini sesuai dengan sains perubatan.

Ketika berbuka, hendaknya jangan kita makan banyak cukup sekadar minum segelas air dan makan kuih sedikit atau makan sedikit kurma.

Kemudian kita tunaikan solat Magrhrib. Setelah itu minumlah sedikit demi sedikit setiap setengah jam hingga waktu jam sebelas malam barulah makan yang berat sedikit.

Kalau kita terus makan dengan banyaknya ketika berbuka ianya akan menyebabkan perut menjadi terkejut dan mengalami sakit. Bila kita hendak memulakan perjalanan dengan kenderaan kita tidak memulakan enjin dengan kuat tapi dalam keadaan perlahan-lahan sebelum melajukan kenderaan. Begitu juga dengan tubuh kita.

Begitu juga ketika kita bersahur jangan makan banyak sangat. Ketika kita puasa disiang hari tubuh kita akan menghadam makanan yang kita makan ketika bersahur.

Kalau kita makan banyak maka banyaklah kerja alat penghadaman kita maka kita akan menjadi tersangat letih kerana kekuatan tenaga akan tertumpu pada penghadaman sahaja. Sedangkan disiang hari kita perlu juga terus bekerja mencari nafkah untuk diri dan keluarga.

Solat fardu

Dan sudah tentu kita mesti menunaikan solat-solat fardu yang lima waktu. Kalau pada hari dan bulan lain dari Ramadhan kita lakukan solat tapi tidak regular maka pada bulan Ramadhan lakukanlah dengan penuh semangat tanpa ponteng.

Pada orang yang tidak solat dia tetap akan membasuh muka dan tangan sekejap-kejap untuk merasa nyaman bekerja maka waktu solat sudah tentu kita akan membasuh muka dan lain-lain kawasan tubuh kita; maka dengan sendirinya kita telah merasa nyaman, bersih dan membersihkan diri kita dari dihinggapi jutaan kuman pada kulit kita yang terdedah. Tambahkan pahala kita dengan solat-solat sunnat rawatib.

Solat tarawih

Pada malam harinya kita solat tarawih atau nama sebenarnya solatullail. Pada siang hari dengan kikta berpuasa maka perjalanan darah agak 'slow' sedikit maka dengan kita solat terawih kelancaran perjalanan darah menjadi laju sedikit dan kembalikan kita kepada edaran darah yang normal.

Sesungguhnya solat tarawih sepatutnya dilakukan setiap hari, tarawih pada bulan Ramadan adalah sebagai latihan kepada bulan-bulan yang lain.

Mengaji al-Quran

Kita digalakkan membaca al-Quran pada setiap malam Ramadan sebagai latihan kepada membaca al-Quran setiap hari di bulan-bulan selain Ramadan.

Bila kita membaca al-Quran kita mencipta gelombang suara, secara automatik kita mencas kuasa elektrik-magnetik di dalam diri kita, mata kita bergerak, otot-otot muka bergerak, leher kita bergerak, telinga bergerak untuk mendengar bacaan kita itu, 'MAKA JADILAH KEPALA KITA SEPERTI KOTAK SUIS ELEKTRIK' atau seperti komputer yang diberi isiannya.

Inilah satu daripada kebaikan membaca al-Quran setiap hari, tetapi hari ini kita perhatikan amalan bacaan al-Quran tidak lagi menjadi amalan seharian umat Islam. Kalau ada pun mereka menyimpan kaset atau CD al-Quran sahaja.

Kalau di rumah kita baca dengan anggota keluarga kita dan ini akan rapatkan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak. Di peringkat masyarakat membaca atau bertadarus di surau dan masjid akan merapatkan ukhuwah Islamiyah di kalangan penduduk.

Orang yang puasa dengan sendirinya mendisiplinkan dirinya dengan tidak makan dan minum di siang hari, menjauhkan perkara maksiat dan lain-lain perkara mungkar.

Dan dia bersama-sama jutaan umat Islam seluruh dunia melakukan puasa ini .Gambarkan keadaan suasana puasa, buka ,sahur dan melakukan ibadah solat tarawih dan tadarus al-Quran di seluruh dunia oleh umat Islam � alangkah indahnya suasana ini.

Maka sesungguhnya dengan ibadah puasa manusia telah kembalikan dirinya ke alam fitrah. - mks. _

Tafsir Surah al-Maidah ayat 71: Kerana angkuh Yahudi tolak kerasulan Nabi


Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Bukan sahaja sekadar melihat batang tubuh Rasulullah s.a.w. bahkan ulama-ulama Yahudi mengujinya untuk mengetahui sama ada baginda benar-benar seorang nabi atau sebaliknya.

Berbagai-bagai ujian dibuat termasuk apa yang pernah dilakukan oleh Abdullah bin Salam. Suatu ketika beliau menemui Rasulullah s.a.w. dan mengemukakan beberapa soalan yang hanya boleh dijawab oleh seorang rasul sahaja.

Semua soalan yang dikemukakan itu dijawab oleh Nabi s.a.w. dengan tepat. Serentak itu, Abdullah bin Salam terus beriman dengan baginda s.a.w. sambil menyaksikan bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah SWT serta Muhammad s.a.w. itu adalah pesuruh-Nya.


Seorang Yahudi pernah memberi hutang kepada Rasulullah s.a.w. Walaupun baginda menjadi pemimpin negara, baginda terpaksa berhutang wang dengan seorang Yahudi.

Harta bendanya digunakan untuk Islam, walaupun ada peruntukan negara yang diberi kepadanya daripada Baitulmal tetapi tidak mencukupi keperluannya.

Ini kerana banyak perkara yang dibuat sehingga terpaksa berhutang dengan seorang Yahudi.

Si Yahudi ahlil kitab mahu menguji Rasulullah s.a.w. ketika baginda s.a.w. mengerjakan solat jenazah seorang sahabatnya, lalu Yahudi yang memberi hutang kepada nabi s.a.w. datang meminta hutang.

"Hai, Muhammad! Hutang aku bila nak bayar?" soal Yahudi itu. Bukan itu sahaja, keturunan Nabi s.a.w dituduh tidak suka membayar hutang. Penghinaan yang dibuat oleh Yahudi itu, mendorong Sayidina Umar untuk memukulnya.

Namun dilarang oleh Nabi s.a.w. sambil menjelaskan bahawa memang baginda s.a.w. berhutang dengan Yahudi berkenaan.

Kemudian baginda s.a.w. memerintahkan supaya dibayar hutang itu sekali gus mendorong Yahudi itu memeluk Islam kerana itulah tanda kenabian dan kerasulan.

Iaitulah Nabi s.a.w. dapat menahan kemarahan dalam dirinya. Dan pelbagai cara ujian dibuat kepada Nabi s.a.w. untuk mempastikan apakah Muhammad itu benar-benar nabi atau sebaliknya.

Ertinya orang Yahudi mengetahui tanda kenabian yang ada pada Muhammad s.a.w. tetapi mereka itu buta (daripada melihat kebenaran) dan pekak (daripada mendengar nasihat al-Quran).

Walaupun mereka melihat sendiri tanda kenabian itu, mereka membuta mata mereka dan memekakkan telinga mereka seolah-olah mereka tidak pernah melihat buat selama-lamanya.

Firman Allah yang bermaksud, "Mereka itu buta dan pekak oleh kebanyakan daripada mereka." (Surah al-Maidah: 71)

Kebanyakan daripada mereka, buta dan pekak tidak mahu menerima kerasulan Muhammad. Mata mereka dapat melihat tetapi sengaja tidak mahu melihat kebenaran. Telinga mereka dapat mendengar tetapi seolah-olah tidak mendengar semuanya itu.

Sedikit sahaja mereka yang menerima kebenaran seperti Abdullah bin Salam dan beberapa orang yang lain. Mereka memeluk Islam apabila mengetahui kerasulan Muhammad s.a.w.

Firman Allah yang bermaksud, "Dan Allah itu Maha Melihat apa yang mereka itu lakukan." (Surah al-Maidah: 71)

Allah itu melihat dengan sejelas-jelasnya dan dengan pengetahuan apa yang mereka amalkan sama ada mereka berhak mendapat hidayah ataupun mereka berhak sesat.

Manusia yang ikhlas diberi hidayah oleh Allah SWT dan yang tidak ikhlas, bersifat munafik, Allah tidak memberi hidayah sehingga mereka terjerumus ke lembah kesesatan kerana dia mengetahui kebenaran tetapi sengaja tidak mahu mengikut kebenaran.

Antara lain mereka mengetahui syurga dan neraka, dosa dan pahala tetapi tetapi tidak memeluk Islam kerana sifat sombong dan takabbur bermaharajalela dalam diri.

Mereka mengikut perangai Iblis yang sombong dan takabbur sekali gus melanggar perintah Allah SWT. Inilah sifat golongan ahlil kitab di kalangan Yahudi.

Seterusnya Allah menyebut sifat golongan Kristian dengan firman-Nya yang bemaksud: "Sesungguhnya telah kafirlah, orang-orang yang berkata bahawa Allah itu al-Masih Ibnu Maryam." (Surah al-Maidah: 72)

Sesungguhnya kafirlah orang yang mendakwa (orang Kristian) bahawa Nabi Isa a.s. itu tuhan. Mereka menjadi kafir dengan mendakwa bahawa Nabi Isa a.s. adalah satu daripada tiga unsur tuhan. Kristian mendakwa bahawa tuhan itu satu tetapi ada tiga unsur tuhan termasuk unsur ayah, ibu dan anak. � lanh _

Bersama Dr Haron Din: Manusia boleh masuki alam jin?


Dato' Dr Haron Din

Banyak perkara ganjil berlaku. Salah satu yang ganjil adalah cerita mengenai manusia yang dilarikan jin masuk ke alamnya dan hilang dari alam manusia. Beberapa ketika kemudian orang berkenaan muncul balik dan memberitahu dilarikan jin. Ada orang kampung saya yang hilang, selepas tujuh hari mencarinya, tiba-tiba dia ditemui di belakang rumahnya. Betulkah cerita-cerita sebegini. Harap Dato' dapat jelaskan.

SUBHAN JAMAL,Kuala Langat

Saya pun banyak mendengar cerita seperti yang saudara sebutkan itu. Boleh dipercayai atau tidak, jawapan saya boleh.

Cerita sebegitu boleh dipercayai. Tetapi ingin saya berpesan, jangan sesekali kita mempercayainya bulat-bulat tanpa diselidiki sehalus-halusnya.


Dunia kita ini didiami oleh banyak makhluk. Manusia, jin, haiwan, unggas-unggas, ikan dan sebagainya. Apabila kita berkongsi tempat tinggal di dunia ini, maka dengan sendirinya kita akan berinteraksi dengan semua makhluk ini.

Kita akan berjumpa, berkawan, bersapa, bermusuh dan sebagainya.

Syaitan (makhluk halus) wujud. Mereka pada umumnya adalah musuh manusia. Makhluk halus boleh menyerupai manusia dengan pelbagai rupa.

Salah satunya mereka boleh menyerupai manusia seperti yang disabitkan dalam Firman Allah SWT dalam al-Quran (mafhumnya): "Dan (ingatlah) ketika syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka, serta menghasut mereka dengan berkata: "Pada hari ini tidak ada sesiapa pun dari umat manusia yang dapat mengalahkan kamu, dan sesungguhnya aku (syaitan) adalah pelindung dan penolong kamu........(hingga akhir ayat)." (Surah al-Anfaal, ayat 48)

Kesimpulan daripada ayat ini menurut ahli tafsir, adalah peristiwa dalam Perang Badar, apabila syaitan yang zahir dalam bentuk manusia, dikenali menyerupai Suraqah bin Malik bin Jukshum.

Suraqah (syaitan tadi) bersama dengan bala tenteranya, kononnya mahu menolong kuffar Makkah ketika itu untuk mengalahlan umat Islam.

Akhirnya apabila bertemu kedua-dua pasukan, Suraqah bersama bala tenteranya, lintang pukang cabut lari dari medan peperangan. Rupa-rupanya Suraqah dan tenteranya, bukan Suraqah sebenar yang dikenali oleh puak Musyrikin, ia adalah jelmaan syaitan.

Jelas daripada ayat ini, menunjukkan syaitan (makhluk halus) boleh berubah menjadi makhluk kasar, dan atas perkara yang sama, makhluk kasar (seperti manusia) boleh berubah menjadi makhluk halus. Manusia boleh hilang pada pandangan mata kasar dan berada dalam alam makhluk halus.

Dalam Kitab Gharaib Wa'ajaaibul Jinn karangan Al-Muhadith al-Qadi Badruddin as-Syubli, di halaman 99 ditulis suatu tajuk �Hukum ke atas isteri yang suaminya dilarikan jin�.

Diceritakan di dalam bab tersebut, bahawa pada zaman Umar al-Khattab (r.a.) menjadi khalifah, seorang perempuan mengadu kepada Umar tentang kehilangan suaminya (dilarikan jin). Umar bertanyakan wanita tersebut dan membenarkan dakwaannya.

Umar memberi hukum, perempuan itu terpisah dengan suaminya dan hendaklah ber'idah selama 4 tahun. Sesudah genap ber'idah, dia mendatangi Umar sekali lagi untuk meminta kebenaran berkahwin.

Setelah berkahwin dengan suami yang kedua, suami pertama yang hilang dahulu muncul semula dan mereka bersengketa kerana perempuan itu ada dua orang suami.

Mereka mendatangi Umar semula kerana dialah yang membenarkan perempuan itu berkahwin.

Umar berkata kepada suami pertamanya mengapa kamu menghilang diri begitu lama. Lalu lelaki itu menjawab dengan mengatakan beliau mempunyai alasan yang kuat kerana, dia ditawan oleh jin sepanjang masa dia hilang tersebut. Dia akhirnya dibebaskan.

Umar memberikan pilihan kepada suami yang pertama itu iaitu, sama ada hendak bersama dengan isterinya, dia akan memfasahkan perkahwinan kedua, atau dia menceraikan isterinya kerana ada suami yang kedua dan dia berhak mendapat kembali mahar yang dibayarnya semasa berkahwin dahulu.

Kisah ini dengan sendirinya membenarkan cerita bahawa terdapat manusia yang hilang kerana disembunyikan makhluk halus dan boleh kembali semula.

Namun demikian tidak semua cerita seperti ini benar. Kadang-kadang ada orang yang mengambil kesempatan, dia menghilang diri, bukan disorok jin, tetiba muncul semula dengan dakwaan sedemikian.

Tidak mustahil, orang yang mempunyai masalah dirinya, menghilangkan diri daripada orang ramai dengan pergi ke tempat yang jauh, akhirnya pulang dengan masalah-masalah yang tertentu.

Hal sebegini, kes-kes manusia dihilangkan jin jarang berlaku. Ianya kes terpencil, kita patut berhati-hati. Wallahua'lam. - lanh _

Panduan dan amalan bagi orang yang bertaubat


Prof Madya Dr Musa Fathullah Harun

Imam Ghazali berkata: Jika seseorang yang bertaubat melakukan sesuatu perbuatan dosa, sama ada dilakukan dengan sengaja kerana dorongan syahwat atau dilakukan tanpa disengajakan, maka wajib baginya segera bertaubat, menyesali perbuatan tersebut dan berusaha menghapuskannya dengan melakukan kebaikan.

Seandainya jiwanya tidak membantunya untuk berazam meninggalkan perbuatan tersebut disebabkan penguasaan syahwat, maka yang demikian bererti bahawa ia telah lemah daripada melakukan salah satu daripada dua kewajiban.


Dengan demikian, tidak sepatutnya baginya meninggalkan kewajiban yang kedua, iaitu menghapuskan keburukan tersebut dengan melakukan kebaikan, yang dengannya ia telah menjadi orang yang melakukan amalan yang baik sebagai tampalan bagi amalan lain yang buruk.

Amalan-amalan baik yang dapat menghapuskan amalan-amalan buruk, sama ada dengan hati, dengan lidah atau pun dengan anggota badan. Dan hendaklah kebaikan tersebut pada tempat keburukan, dan pada yang berkaitan dengan sebab-sebabnya.

Amalan dengan hati, iaitu dengan memohon bersungguh-sungguh kepada Allah SWT agar Allah SWT mengampuni dan memaafkan, dengan penuh kerendahan hati, menghinakan diri seperti hinanya seorang hamba yang melarikan diri dengan menzahirkan kehinaan terhadap seluruh hamba Allah, iaitu dengan mengurangi kesombongannya dalam berhubungan dengan mereka, menyembunyikan kebaikan kepada sesama orang Islam dan berazam untuk taat.

Amalan dengan lisan iaitu dengan mengakui kezaliman (Kesalahan melakukan ma'siat) dengan membaca:

"Wahai Tuhanku, aku telah menzalimi diriku sendiri dan telah melakukan keburukan, maka ampunilah bagiku segala dosaku."

Di samping itu hendaklah beristighfar dengan membanyakkan pelbagai istighfar. Amalan dengan anggota badan pula adalah dengan melakukan ketaatan, membanyakkan bersedekah dan menekunkan diri dengan ibadat.

Di dalam athar, ada yang menunjukkan bahawa perbuatan dosa, jika diikuti oleh lapan perbuatan baik, maka harapan untuk dimaafkan adalah cerah, iaitu empat amalan hati dan empat amalan anggota badan.

Perbuatan yang merupakan amalan hati ialah:

Pertama: Bertaubat atau azam untuk bertaubat;

Kedua: Suka meninggalkan dosa;

Ketiga: Takutkan seksaan ke atas dirinya; dan

Keempat: Mengharapkan keampunan baginya.

Adapun yang merupakan amalan anggota badan ialah:

Pertama: Solat dua rakaat selepas melakukan dosa.

Abu Daud, Ibnu Majah, Ahmad dan Tirmizi meriwayatkan daripada Abu Bakr al-Siddiq r.a. bahawa beliau berkata:

"Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah seorang hamba melakukan perbuatan dosa, kemudian ia mengelokkan wudu dan solat dua rakaat, kemudian meminta keampunan kepada Allah, melainkan Allah pasti akan mengampuni baginya, kemudian baginda SAW membaca ayat (Apabila mereka melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri mereka sendiri, mereka mengingat Allah... dan seterusnya)".

Dalam riwayat Ibnu Murdawaihi dalam Tafsir dan Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman daripada hadis Ibnu Abbas r.a. pula mengatakan empat rakaat.

Kedua: selepas solat hendaklah membaca istighfar tujuhpuluh kali, kemudian membaca sebanyak seratus kali:

"Maha Suci Allah Yang Maha Agung dengan segala pujian bagiNya"

Ketiga: bersedekah; dan

Keempat: berpuasa sehari.

Muslim, Tirmizi, Abu Daud dan Ahmad meriwayatkan daripada Abdullah Bin Mas'ud r.a. bahawa beliau berkata:

"Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya telah menggauli seorang perempuan di hujung kota Madinah, dan saya telah melakukan terhadapnya selain menyetubuhinya. Inilah saya, hukumlah ke atas diri saya apa yang Tuan hamba kehendaki.

Umar berkata kepadanya: Allah telah menutupi anda, jika anda menutupi diri anda sendiri.

Ia (Abdullah Bin Mas'ud) berkata: Nabi SAW tidak menjawab sesuatu, maka orang itu pun berdiri dan pergi. Nabi SAW menyuruh seseorang mengikutinya dan memanggilnya, dan membacakan kepadanya ayat ini(Tegakkanlah solat pada dua tepian siang dan pada waktu mendekati malam. Sesungguhnya kebaikan menghapuskan kejahatan. Yang demikian sebagai ingatan bagi orang-orang yang mahu beringat).

Maka salah seorang telah bertanya: Wahai Nabi Allah, adakah ini khusus baginya?

Baginda menjawab: "Bahkan bagi semua manusia."

Tirmizi dan Ahmad meriwayatkan daripada Mu'az Bin Jabal r.a. bahawa beliau berkata:

"Seorang lelaki telah mendatangi Rasulullah SAW dan berkata: Wahai Rasulullah, apa kata tuan hamba mengenai seorang lelaki yang telah menemui seorang perempuan yang tidak dikenalinya, kemudian tidak ada sesuatu yang dilakukan oleh seseorang terhadap isterinya melainkan ia melakukannya terhadapnya, hanya sahaja ia tidak menjimaknya?"

Beliau (Mu'az) berkata: Maka Allah Azza Wa Jalla telah menurunkan ayat yang bermaksud(Tegakkanlah solat pada dua tepian siang dan pada waktu mendekati malam. Sesungguhnya kebaikan menghapuskan kejahatan).

Beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda kepadanya: Berwudu'lah, kemudian solat. Mu'az berkata: Aku bertanya: Wahai Rasulullah, adakah ia khusus baginya atau bagi kaum mukminin umumnya?"

Baginda bersabda: Bahkan bagi kaum mukminin umumnya".

Hadis tersebut menunjukkan bahawa menggauli perempuan, selain zina, termasuk dosa kecil yang terhapus oleh amal kebajikan.

Muslim dan Ahmad meriwayatkan daripada Abi Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Solat yang lima waktu, Jumaat ke Jumaat dan Ramadhan ke Ramadhan menghapuskan dosa-dosa yang dilakukan di antara waktu-waktu tersebut, selama dihindari dosa-dosa besar".

Dalam keadaan bagaimanapun seseorang yang bertaubat mestilah menghisab dirinya setiap hari dan berusaha menghapuskan setiap dosa dengan hasanat.

Mengenai istighfar, bukanlah istighfar yang hanya dengan lisan, yang dianggap oleh sebahagian ulama sebagai taubat al-kadzdzabin (taubatnya para pendusta), yang berhajat kepada istighfar yang banyak, sebagaimana dikatakan oleh Rabi'at al-Adawiyah.

Tetapi yang dimaksud adalah istighfar yang disertai kesungguhan hati memohon keampunan kepada Allah SWT dengan merendahkan diri, dengan niat yang ikhlas dan keinginan yang benar.

Istighfar yang demikianlah yang boleh menghapus dosa kejahatan, dan istighfar itu pula yang dimaksud dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmizi daripada Abi Bakar r.a. bahawa Nabi SAW bersabda:

"Tidaklah dianggap sebagai orang yang berketetapan hati untuk terus mengerjakan (ma'siat) orang yang beristighfar, meskipun ia mengulangi dalam sehari tujuh puluh kali.

Tetapi, menurut pandangan Imam Ghazali, istighfar dengan lisan juga merupakan kebaikan, kerana gerakan lisan dengan istighfar, walaupun dengan kelalaian hati,adalah lebih baik daripada gerakan lisan dengan mengumpat atau bercakap lebih, bahkan baik daripada diam.Ia dianggap kurang jika dibandingkan dengan amalan hati.

Ketika seseorang berkata kepada gurunya, Syaikh Abi Uthman Al-Maghrabi: Lidahku sering berzikir dan membaca Qur'an, sedang hatiku dalam keadaan lalai.

Beliau menjawab: Bersyukurlah anda kepada Allah, kerana Allah menggunakan salah satu anggota anda dalam kebaikan dan membiasakannya berzikir, dan tidak menggunakannya dalam keburukan dan tidak membiasakannya dalam bercakap lebih.

Imam Ghazali menyatakan bahawa apa yang dikatakan oleh beliau adalah benar. Sesungguhnya membiasakan anggota-anggota badan dalam kebaikan sehingga menjadi seperti tabiat baginya boleh mencegah sejumlah ma'siat.

Orang yang membiasakan lidahnya beristighfar, apabila mendengar kedustaan daripada seseorang maka lidahnya beristighfar, apabila mendengar kedustaan daripada seseorang, maka lidahnya akan segera mengatakan: AstaghfiruLlah.

Tetapi orang yang membiasakan cakap lebih, lidahnya akan segera mengatakan: Alangkah bodohnya anda, alangkah buruknya kedustaan anda.

Orang yang membiasakan isti'adzah, apabila diceritakan tentang kemunculan gejala-gejala buruk daripada seorang yang jahat, lidahnya akan segera mengatakan: Na'udzu biLlah.

Tetapi orang yang membiasakan cakap lebih, lidahnya akan segera mengatakan: Semoga Allah melaknatnya.

Antara kedua ucapan tersebut terdapat perbezaan. Yang pertama memperoleh kebaikan sebagai kesan membiasakan lidahnya dalam kebaikan, sedang yang kedua sebaliknya.

Mengenai ucapan Rabi'at al-Adawiyah bahawa istighfar kami berhajat kepada istighfar yang banyak, janganlah disangka bahawa beliau mencela gerakan lisan dari segi bahawa ia adalah dzikruLlah, tetapi beliau mencela kelalaian hati, dan kelalaian hati inilah yang berhajat kepada istighfar yang banyak. Kerana, seandainya lidahnya diam, maka ia berhajat kepada lebih banyak istighfar lagi. _

30 Julai 2010

Taubat: Pengertian, amalan dan kaedah di sisi Islam


Prof Madya Dr Musa Fathullah Harun

Di dalam surah Al-Nisa: 17-18, Allah SWT berfirman, maksudnya:
"Sesungguhnya penerimaan taubat di sisi Allah hanyalah bagi orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan kemudian mereka segera bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya, dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang-orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah ia: Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini(sedang taubatnya itu sudah terlambat), dan (demikian juga halnya) orang-orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang-orang yang demikian, kami telah sediakan bagi mereka azab seksa yang pedih".


Para mufassirin berkata: Setiap orang yang menderhaka kepada Allah dinamakan jahil, dan perbuatannya dinamakan kejahilan. Ini kerana, kalaulah orang yang menderhaka itu menggunakan ilmunya tentang ganjaran dan hukuman yang akan dihadapi, tentunya ia tidak akan berani melakukan ma'siat.

Tetapi kerana ia tidak menggunakan ilmunya tersebut, maka menjadilah ia seperti tidak berilmu. Atas pertimbangan inilah maka orang yang menderhaka kepada Tuhannya dinamakan jahil, sama ada ma'siat yang dilakukannya itu diketahui sebagai ma'siat atau pun tidak diketahuinya.

Ini kerana, ia mungkin mengetahui bahawa perbuatan yang dilakukannya itu adalah ma'siat, tetapi dari sudut lain, ia dikatakan jahil kerana tidak mengetahui kadar seksaan atau kadar kesakitan yang akan dideritanya kemudian.

Mengenai firmanNya SWT yang bermaksud, "Kemudian mereka bertaubat dalam masa dekat", mereka bersepakat bahawa yang dimaksudkan ialah sebelum hadirnya kematian, atau sebelum melihat kematian. Dengan kata-kata lain pintu taubat terbuka bagi manusia selama rohnya masih berada dalam jasadnya, berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad daripada Abdullah Bin Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Sesungguhnya Allah menerima taubat hamba selama ia belum ghargharah(sakrat menjelang maut)".

Allah SWT menamakan masa tersebut sebagai masa yang dekat, kerana:

Pertama: Kematian itu pasti datang, dan semua yang datang adalah dekat.

Kedua: Untuk mengingatkan bahawa masa umur manusia, meskipun panjang, adalah pendek, yakni dekat.

Ketiga: Manusia setiap waktu, mempunyai perasaan kemungkinan didatangi maut, dan setiap yang demikian keadaannya disifati dengan dekat.

Imam Fakhr al-Razi berpendapat bahawa yang dimaksud dengan perkataan, "dalam masa dekat" ialah bahawa ia memulai taubat itu pada masa yang tidak jauh daripada masa melakukan ma'siat agar ia tidak termasuk ke dalam golongan orang yang berketetapan hati untuk terus dalam ma'siat.

Adapun orang yang bertaubat dalam masa yang lama selepas ma'siat, dan dalam masa yang lama sebelum mati maka ia terkeluar daripada golongan orang-orang yang dikhususkan dengan kemuliaan kepastian diterima taubatnya oleh Allah SWT. Orang yang demikian termasuk dalam golongan orang-orang yang dijanjikan dengan firmanNya:

"Mudah-mudahan Allah menerima taubat mereka".

Tentunya di antara dua kedudukan tersebut terdapat perbezaan yang jelas. Imam Ghazali berkata bahawa firman Allah SWT:

"Kemudian bertaubat dalam masa yang dekat", maknanya dekat dari masa kesalahan atau perbuatan dosa, iaitu dengan menyesali ke atasnya dan menghapus kesannya dengan perbuatan yang baik yang mengiringinya sebelum bertumpuknya kotoran di atas hati, yang menjadikannya susah dihapus.

Kerana itulah Rasulullah SAW bersabda: "Ikutilah kejahatan dengan kebaikan, nescaya ia akan menghapusnya".

Dan kerananya juga Luqman berkata kepada anaknya:

"Wahai anakku, janganlah engkau mentakhirkan taubat.Sesungguhnya mati itu datang dengan tiba-tiba(mengejut)".

"Wahai anakku, janganlah engkau mentakhirkan taubat. Sesungguhnya mati itu datang dengan tiba-tiba(mengejut)".

Barang siapa yang tidak segera bertaubat dengan menunda-nunda, maka ia berada di antara dua bahaya besar: salah satunya: hatinya akan tertimbus kegelapan daripada perbuatan-perbuatan ma'siat, sehingga menjadi kotoran dan tabiat yang tidak dapat dihapuskan. Kedua: ia mungkin akan disegerakan oleh penyakit atau kematian, sehingga tidak mempunyai kesempatan untuk bertindak menghapuskannya.

Syarat-syarat taubat

Bagi diterimanya taubat, mestilah memenuhi syarat-syarat berikut:

Pertama: meninggalkan ma'siat dengan segera.

Kedua: niat atau azam untuk meninggalkannya atau untuk tidak mengulangi atau kembali kepadanya pada masa akan datang.

Ketiga: menyesali dalam hati ke atas perbuatannya pada masa lampau.

Keempat: penyesalannya itu disebabkan perasaan malu atau takut kepada Allah SWT, bukan kerana yang lain.

Kelima: mengembalikan setiap yang diambilnya secara zalim, atau meminta kemaafan daripada orang yang dizalimi atau disakitinya.

Ada juga yang mensyaratkan berterusannya penyesalan tersebut.

Daripada syarat-syarat tersebut, kita dapat mengambil kesimpulan bahawa:

Seorang tua yang menyatakan bertaubat daripada perbuatan-perbuatan ma'siat, tetapi ketika ditanya mengapa ia membiarkan anaknya melakukan perbuatan tersebut, ia menjawab bahawa anaknya masih muda, dan bila ia sudah tua seperti saya, insya Allah, ia akan bertaubat juga.

Orang seperti ini sebenarnya belum bertaubat, kerana daripada jawabannya tersebut, kita memahami bahawa seandai ia dikembalikan ke usia muda, maka ia akan melakukannya kembali. Begitu juga daripada jawabannya tersebut, kita juga memahami bahawa pada dirinya tidak ada penyesalan terhadap perbuatan dosa yang telah dilakukannya dahulu.

Begitu juga pernyataan taubat daripada seseorang ke atas sebarang perbuatan ma'siat yang telah dilakukanya, tetapi dalam masa yang sama ia merasa bangga bahawa dahulu ia telah melakukannya.

Seperti orang yang berkata dengan perasaan bangga. Aku dahulu jahat, aku sering minum khamar(arak), segala jenis khamar aku telah merasakannya, sering berzina dengan pelancur berbagai bangsa, dan sebagainya, tetapi sekarang aku telah bertaubat. Jika benar ia telah bertaubat, tentunya ia akan membenci perbuatan-perbuatan tersebut, merasa malu dan tidak akan mengatakannya kepada orang lain, yang dengannya tidak akan mengatakannya kepada orang lain, yang dengannya bererti ia telah menzahirkannya, iaitu suatu perbuatan yang jelas dilarang oleh Allah SWT.

Jenis-jenis taubat

Al-Tahanui, di dalam kitabnya telah menjelaskan jenis-jenis taubat sebagai berikut:

Di kalangan ulama ada yang mengatakan bahawa taubat ada dua jenis, iaitu:

Pertama: Taubat al-inabah, iaitu bahawa anda bertaubat kerana takut kepada Allah disebabkan kuasaNya ke atas diri anda.

Kedua: Taubat al-istijabah, iaitu bahawa anda bertaubat kerana perasaan malu kepada Allah disebabkan dekatNya kepada diri anda.

Abu Daqqaq berkata, Taubat terbahagi kepada tiga bahagian: pertama al-taubah, kedua Al-inabah, dan ketiga al-awbah.

Orang yang bertaubat kerana takutkan seksaan, maka ia disebut sahib al-taubah. Orang yang bertaubat kerana tamakkan pahala atau ganjaran, maka ia disebut sahib al-inabah. Dan orang yang bertaubat kerana semata-mata meraikan perintah Allah SWT tanpa perasaan takut seksaan atau tamakkan pahala atau ganjaran, maka ia disebut sahib al-awbah.

Dzu al-Nun al Misri pula berkata: Taubatnya orang awam adalah daripada dosa; taubatnya golongan khawas adalah daripada kecuaian atau kelalaian, yang oleh mereka dianggap sebagai dosa besar; dan taubatnya para nabi pula adalah daripada melihat kelemahan mereka untuk mencapai apa yang boleh dicapai oleh orang lain.

Ada juga yang mengatakan bahawa taubat merupakan sifat kebanyakan orang-orang yang beriman, sebagaimana difirmankan oleh Allah SWT di dalam surah Al-Nur:31:

"Wahai orang-orang yang beriman bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, mudah-mudahan kamu beruntung".

Inabah merupakan sifat para Wali dan Muqarrabiin, sebagaimana difirmankan oleh Allah SWT di dalam surah Qaaf: 33: "(Iaitu) orang yang takut (melanggar perintah Allah) Yang Maha Pemurah, semasa tidak dilihat orang dan semasa ia tidak melihat azab Allah serta ia datang (kepada Allah) dengan hati yang tunduk ta'at".

Awbah pula merupakan sifat para nabi dan rasul, sebagaimana difirmankan oleh Allah SWT di dalam surah Saad 44:

"Sesungguhnya Kami mendapati Nabi Ayyub itu seorang yang sabar. Ia adalah sebaik-baik hamba, sesungguhnya ia sentiasa rujuk kembali(kepada Kami dengan ibadatnya)".

Peringkat orang-orang yang bertaubat

Mengikut pandangan Imam Ghazali, jika dilihat kepada dawam atau berterusannya taubat, orang-orang yang bertaubat itu terbahagi kepada empat peringkat:

Peringkat pertama: Orang yang bertaubat dan istiqamah dalam taubatnya hingga ke akhir hayatnya. Ia berusaha menebus segala dosanya, mencapai semua yang terluput daripadanya dan tidak kembali melakukan perbuatan-perbuatan dosa, melainkan dosa-dosa kecil yang biasanya tidak terlepas manusia daripadanya, melainkan nabi atau rasul.

Inilah yang disebut al-tawbah al-nasuh, dan jiwa orangnya layak disebut sebagai al-nafs al-mutma'innah(jiwa yang tenang), yang insya Allah, akan kembali kepada Tuhannya dalam keadaan redha dan diredhai.

Peringkat kedua: Orang yang bertaubat dan istiqamah dalam ketaatan dan meninggalkan dosa-dosa besar keseluruhannya, tetapi tidak terlepas daripada dosa-dosa yang tidak disengaja, yang merupakan ujian dalam perjalanan hidupnya tanpa sebarang keazaman untuk melakukannya.

Setiap kali ia melakukan dosa ia mencela dirinya dan menyesalinya serta memperbaharui keazaman untuk menjauhi segala sebab-sebabnya. Jiwa orangnya layak disebut sebagai al-nafs al-lawwamah(jiwa yang banyak mencela dirinya).

Peringkat ini, meskipun lebih rendah daripada peringkat pertama, tetapi termasuk peringkat yang tinggi juga, dan ia merupakan kebanyakan keadaan orang-orang yang bertaubat. Kesudahan usahanya ialah memenangkan kebaikannya ke atas keburukannya.

Sehingga menjadi beratlah timbangan kebaikan atau hasanatnya. Kepada mereka Allah SWT telah memberikan janji yang baik dengan firmanNya di dalam surah Al-Najm:32:

"Orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji, kecuali salah silap yang kecil-kecil(yang mereka terlanjur melakukannya, maka itu dima'afkan). Sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas keampunanNya".

Begitu juga Allah telah memuji mereka di dalam firmanNya di dalam surah Ali Imran:135:

"Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah, lalu memohon ampun akan dosa mereka, dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa selain Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)".

Peringkat ketiga: Orang yang bertaubat dan istiqamah beberapa masa, kemudian ia dikalahkan oleh syawatnya sehingga dengan sengaja ia melakukan perbuatan dosa kerana kelemahannya dalam menghadapi syahwatnya tersebut.

Tetapi, meskipun demikian, ia masih taat dan berusaha menghindari 'dosa-dosa lain, walaupun ada keinginan dan kemampuan untuk melakukannya. Selepas melakukan dosa, ia menyesali dan berharap alangkah baiknya kalau ia tidak melakukannya. Ia berazam untuk bertaubat dan berusaha melawan syahwatnya, tetapi nafsunya terus menggoda atau memujuknya, sehingga berkali-kali dari sehari ke sehari, ia menunda taubatnya.

Keadaan orang yang seperti ini termasuk ke dalam golongan yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam surah Al-Tawbah: 102:

"Dan (sebahagian) yang lain mengakui dosa-dosa mereka. Mereka telah mencampur-adukkan amal yang baik dengan amal lain, yang buruk. Mudah-mudahan Allah akan menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani".

Orang-orang seperti ini mempunyai harapan diterima taubatnya, tetapi perbuatan menunda-nunda taubat adalah sangat berbahaya, kerana mungkin ia didatangi maut sebelum sempat bertaubat, maka buruklah akibatnya. Na'udzu BiLlahi Min Dzalika.

Peringkat Keempat: Orang yang bertaubat dan istiqamah untuk beberapa lama, tetapi kemudian kembali kepada melakukan perbuatan-perbuatan ma'siat tanpa adanya bisikan dalam hatinya untuk bertaubat dan tanpa ada perasaan menyesali perbuatannya tersebut. Bahkan ia bergelimang di dalamnya seperti bergelimangnya orang yang lalai dalam mengikuti syahwatnya.

Orang seperti ini dikhuatirkan ke atasnya kesudahan yang buruk. Masalahnya kembali kepada kehendak Allah SWT. Jika Allah SWT menyudahi hayatnya dengan keburukan, maka ia akan menderita kesengsaraan yang tidak berkesudahan di akhirat.

Jika Allah SWT menyudahi hayatnya dengan kebaikan sehingga ia mati dalam tauhid, maka ia akan menanti kebebasan daripada seksaan neraka walaupun selepas beberapa masa.

Menuntut keampunan dengan amal-amal ketaatan adalah seperti menuntut ilmu dengan kesungguhan dan mengulang-kaji atau seperti menuntut harta dengan berniaga dan merantau. Adapun menuntutnya dengan sekadar harapan tanpa sebarang amal usaha adalah seperti mencari harta karun di tanah gersang, atau seperti menuntut ilmu dari pengajaran malaikat.

Di dalam surah Al-Najm: 39-41, Allah SWT berfirman:

"Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya, dan bahawa sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan(kepadanya, pada hari kiamat kelak); kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna". - mks. _

Tafsir: Golongan pandang kecil dosa yang dilakukan


Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Bani Israil suka melanggar janji dengan Allah dan dua kalimah syahadah. Ini adalah kerja dosa yang besar.

Seterusnya Allah Taala menyebut firman-Nya yang bemaksud; �Dan Kami telah mengutuskan kepada mereka rasul-rasul.� (Surah al-Maidah: 70)

Utusan Allah bemula dari datuk, nenek mereka termasuk Nabi Ya�aqub. Daripada zuriatnya lahir bangsa Yahudi Bani Israil.

Ya�aqub bin Ishaq bin Ibrahim, ayahnya rasul dan datuknya pun rasul. Inilah keistimewaan yang diberikan Allah kepada Bani Israil, di mana dilahirkan di kalangan mereka rasul-rasul yang ramai lebih ramai daripada umat lain.


Ini adalah kurnia Allah kepada Bani Israil. Tetapi mereka melanggar janji mereka dengan Allah dan mendurhakai-Nya. Firman Allah yang bermaksud; �Setiap kali datang rasul kepada mereka, sebahagian mereka bohongi dan sebahagian lagi mereka bunuh.�(Surah al-Maidah: 70)

Yakni apabila rasul diutuskan oleh Allah membawa ajaran yang mereka fikir tidak sesuai dengan akal fikiran mereka ataupun rasul yang dipilih oleh Allah tidak seusai dengan akal fikiran mereka, sebahagian daripada rasul itu mereka bohongi, mereka tidak percaya seperti Nabi Isa a.s. dan beberapa nabi yang lain termasuk Nabi Musa, Nabi Harun dan lain-lain, mereka ukur dengan akal fikiran mereka bukan beriman dengan ikhlas kepada Allah SWT.

Mereka dustakan rasul-rasul yang diutuskan oleh Allah, pada hal rasul itu di kalangan orang yang paling baik daripada kalangan mereka.

Sementara itu sebahagian daripada rasul itu mereka bunuh. Nabi Zakaria mereka gergaji jasadnya, Nabi Yahya mereka sembelih seperti binatang, dan beberapa orang rasul lagi yang dibunuh oleh mereka. Sudahlah mereka tidak mahu menerima kebenaran yang dibawa oleh rasul-rasul itu bahkan mereka bunuh pula rasul-rasul itu.

Inilah kerja kamu wahai Bani Israil dan ambillah pengajaran wahai orang Islam dalam perkara ini. Firman Allah yang bermaksud; �Dan mereka mengira bahawa tidak berlaku fitnah kepada mereka.� (Surah al-Maidah: 71)

Mereka menyangka bahawa tidak akan berlaku bencana kepada mereka dengan tindakan jahat itu. Mereka menyangka, Allah tidak menurunkan bala kepada mereka.

Mereka tidak sedar, mereka dibalakan oleh Allah dengan serangan musuh, bencana alam termasuk puting beliung, banjir, kemarau dan berbagai-bagai perkara.

Bala bencana ujian dari Allah, hukuman di dunia sebelum hukuman di akhirat akibat daripada mereka mendurhakai Allah dan mendurhakai rasul-rasul-Nya.

Mereka merasakan tidak ada apa-apa keburukan pun selepas membunuh rasul-rasul itu, mereka tetap sihat walafiat.

Tiba-tiba datang bencana, mereka berkata, itu hanya bencana alam sahaja tidak ada kena mengena dengan kejahatan yang mereka lakukan.

Mereka lupa kepada jenayah dan maksiat yang mereka lakukan selama ini ataupun mereka memandang ringan terhadap maksiat yang mereka lakukan.

Mereka tafsirkan kepada benda lain, tidak kepada diri mereka sendiri. Mereka tidak menghitung diri sendiri sebelum mereka dihitung di hadapan Allah.

Firman Allah yang bermaksud; �Lalu mereka buta (untuk melihat petunjuk) dan pekak.� (Surah al-Maidah:71)

Mereka buta untuk melihat yang benar dan melihat yang baik dan pekak dari mendengar yang sebenar. Mereka dengar tetapi seperti tidak mendengar ketika diberitahu perkara yang sebenar.

Firman Allah yang bermaksud; �Kemudian Allah mengampunkan mereka dengan apa yang mereka telah lakukan. (Surah al-Maidah: 71)

Nabi-nabi mereka beristighfar memohon keampunan daripada Allah. Apabila mereka sedar dan insaf, mereka memohon kemaafan dan beristighfar, Allah Ta�ala mengampunkan mereka, kerana Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Firman Allah Ta�ala lagi yang bermaksud; �Kemudian mereka itu buta dan pekak lagi, kebanyakan daripada mereka.� (Surah al-Maidah: 71)

Kebanyakan daripada mereka buta dan pekak semula, tidak melihat dan mendengar perkara yang benar.

Berkata ulama tafsir, mereka tidak percaya kepada yang kemudian ini iaitu kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. yang mereka baca di dalam kitab-kitab mereka, yang mereka dengar beritanya daripada nabi-nabi dan rasul-rasul mereka serta para ulama mereka.

Diperjelaskan bahawa akan zahir nabi akhir zaman, tetapi mereka seolah-olah tidak mendengar khabar itu daripada nabi-nabi, rasul-rasul dan para ulama mereka. Mereka tidak menerima petunjuk walaupun mereka melihat batang tubuh Nabi s.a.w. � lanh _

Bersama Dr Haron Din: Suami rimas didekati isteri


SOALAN: Saya sudah berbulan-bulan tidak tidur bersama suami kerana dia menjauhkan daripada saya. Setiap kali saya mendekatinya dia merungut �panas, rimas dan jauh daripada aku, aku tidak boleh mendekati kamu.� Apabila saya mengajaknya berubat dia enggan, sebaliknya mendakwa saya yang sakit dan perlu diubati. Ramai pengubat yang saya temui mengatakan suami saya disihir. Jika benar, apakah yang perlu saya lakukan untuk mengatasi masalah ini yang semakin genting.

JAWAPAN: Masalah dalam rumah tangga memang banyak. Salah satu daripadanya berkenaan yang kisah yang puan paparkan. Permasalahan sebegini banyak berlaku dan saya selalu diadukan hal-hal seperti ini.

Ramai ahli perubatan mudah menyimpulkan dan mengaitkan masalah ini dengan sihir. Bagaimanapun saya sendiri tidak pandai untuk mengatakan bahawa suami disihir kerana saya tidak mengetahui perkara yang sebenar.


Sebenarnya tiada orang yang boleh tahu ia adalah fenomena daripada sihir.

Sihir memang wujud. Ia perkara ghaib. Nama atau istilah sihir itu sendiri bermakna sesuatu yang disembunyikan atau tersembunyi daripada orang ramai.

Jika ia sihir, ia dilakukan secara sulit dan penuh rahsia. Jika ia rahsia, bagaimana para pengubat boleh mengatakan ia adalah sihir.

Jika pengubat berkenaan memberitahu bahawa suami puan terkena sihir, maka ertinya dia mengetahui perkara ghaib.

Saya pernah menjelaskan dalam ruangan ini sebelum ini, bahaw insan mana pun tidak akan mengetahui perkara yang ghaib kerana Allah berfirman mafhumnya): "Katakanlah �Tiada sesiapapun mengetahui perkara yang ghaib sama ada yang menghuni langit atau bumi, melainkan Allah SWT sahaja...(hingga akhir ayat)." - Surah an-Naml ayat 65

Firman Allah (mafhumnya): "Allah sahajalah yang mengetahui segala yang ghaib, maka ada yang dizahirkan keghaiban itu kepada sesiapapun.� - Surah al-Jinn, ayat 26.

Dalam peristiwa lain dalam hadis sahih diceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. disihir seorang Yahudi yang bernama Labeed bin al-A'ksam dan baginda sendiri tidak mengetahui disihir sehinggalah diberitahu oleh Jibril a.s.

Jika Rasulullah s.a.w. sendiri tidak mengetahui disihirkan, bagaimana kita mudah-mudah mengetahui ada orang disihirkan?

Oleh yang demikian saya berfikir kes puan ada kaitannya dengan permasalahan suami isteri.

Ada kalanya saya bersetuju, apa yang dipaparkan ia ada kena mengena dengan sihir. Salah satu senario sihir seperti Firman Allah (mafhumnya): "...Dalam pada itu ada yang mempelajari ilmu sihir daripada Harut dan Marut, dengannya boleh menceraikan antara suami dan isteri...(hingga akhir ayat)." - Surah al-Baqarah, ayat 102.

Ayat ini jelas menunjukkan wujudnya ilmu sihir dan antara perkara yang boleh berlaku adalah (dengan izin Allah) memusuh, melaga-lagakan sehingga mencerai beraikan suami isteri.

Apa yang puan alami adalah kerengangan yang merosakkan fungsi perkahwinan. Seolah-olah telah hilang kemesraan dan kasih sayang sudah bertukar kepada permasalahan yang membawa keadaan yang tidak diingini.

Kejadian seperti ini tidak semestinya daripada sihir perbuatan orang. Jika tidak kerana disihirkan pun, boleh terjadi kejadian sedemikian itu.

Mungkin antaranya adalah kerana suami berpenyakit mati pucuk (sebagai contoh), dia malu memberitahu isterinya, lalu bersikap dingin, menyalahkan orang lain, kononnya dia disihirkan.

Atau, suami hilang minat kepada isteri di atas kelemahan-kelemahan isteri yang suami tidak tahu untuk mengatasinya dan tidak mahu membincangkannya.

Atau, kerana perangai-perangai isteri yang keterlaluan hingga menyebabkan suami menyampah terhadapnya.

Atau dengan sebab-sebab lain seperti ada campur tangan pihak ketiga dan sebagainya yang menyebabkan suami hilang minat terhadap isteri, maka berlakulah perkara yang puan sebutkan tadi.

Saya tidak bermaksud untuk meletakkan hal-hal yang sedemikian itu berlaku kepada puan. Saya sekadar ingin mengajak puan dan semua yang berlaku kes seumpama ini pada diri mereka, melihat dahulu faktor-faktor fizikal melanda kehidupan kita.

Sekalipun berlaku apa yang puan sebutkan itu, maka ubatilah masalah itu dengan bersungguh-sungguh tanpa melabelkan ia perbuatan sihir.

Ada kemungkinan bahawa hal seperti ini berlaku kerana gangguan syaitan yang tidak disuruh mana-mana atau dipergunakan ilmu sihir yang berinsusiasi dengan makhluk halus.

Sememangnya syaitan itu musuh utama yang sentiasa berusaha memporak perandakan kehidupan anak Adam.

Pun demikian tidak dikatakan sihir, walaupun tanda-tandanya semacam sihir.

Jika mudah-mudah dianggap sebagai sihir, ia menimbulkan satu lagi penyakit iaitu sakit hati kepada orang yang buat sihir.

Lebih malang lagi jika ada yang menuding jari 'si pulan itu membuatnya, si anu itu membuatnya' atau lebih teruk mendakwa jiran, kawan sepejabat atau orang terdekat melakukannya.

Keparahan itu menyebabkan penyakit tidak terlerai, penyakit tidak disembuhkan.

Apapun puan perlu cuba mengubati orang yang berpenyakit, cuba berjumpa orang yang diyakini boleh menolong, tiada penyakit yang tiada penawarnya.

Sekurang-kurangnya puan dan suami berdoa ke hadrat Allah untuk disembuhkan, beramal dengan ayat-ayat al-Quran seperti yang tersebut dalam hadis-hadis sahih.

"Nabi menyuruh keluarganya beramal dengan membaca Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq dan Surah an-Naas, ayat al-Kursyi dan lain-lain." (Hadis riwayat A'ishah r.anha)

Atau puan dan suami boleh tambah membawa 11 ayat dalam Surah al-Baqarah, ayat 1, 2, 3, 4 dan 5, baca ayat 255, 256, 257 dan 284, 285 serta 286.

Berbuatlah demikian, lakukan cara yang disarankan oleh syarak untuk mengubati penyakit suami puan. Wallahu a'lam. - lanh _

Rahsia amalan puasa kita diterima


Rahsia amalan puasa kita diterima

Tazkirah Ramadhan | Diceritakan pada satu hari, seorang Soleh di kalangan salaf berlalu di sebuah perkampungan, terdapat di situ beberapa orang lelaki (selepas Ramadan) ketawa berdekah-dekah dengan membuang masa di kedai kopi, bercerita tentang persoalan dunia yang tiada kaitan dengan alam kubur, akhirat atau di padang Mahsyar.

Maka orang Soleh itu pun menyapa mereka dengan berkata : Adakah tindakan tuan-tuan dengan banyak ketawa merasakan tidak ada dosa yang tertanggung atau begitu yakin amalan tuan-tuan diterima Allah SWT dengan membuang masa begini?

Jika diterima sekali pun adakah sesuai tuan-tuan duduk lama di kedai kopi bersembang pada perkara yang tidak menguntungkan Islam dan umatnya?


* Justeru menurutnya, sesungguhnya amal-amal soleh yang berkekalan yang dilakukan pada bulan Ramadan seperti berpuasa, baca al-Quran, solat Tarawih, bersedekah dan berzakat, menyedia atau memberi makanan kepada orang lain, bersegera ke masjid untuk menunaikan solat Jamaah, menjaga waktu solat fardu lima waktu, menghubungkan silaturrahim sesama muslim, beriktikaf dalam masjid, bangun malam dan lain-lain adalah petanda amalan orang berpuasa diterima di sisi Allah.

* Hendaklah setiap muslim menjadikan ketaatan dan muraqabah (pengawasan) terhadap Allah setiap masa seperti di bulan Ramadan adalah perkara utama agar amalannya terus diterima di sisi-Nya, di samping menjauhkan diri daripada terlibat dalam perkara dosa, mungkar dan keji bersesuaian dengan inspirasi hadis baginda yang bermaksud :

“Susulilah kejahatan itu dengan kebaikan yang mampu menghapuskan kejahatan, dan berakhlak mulialah terhadap manusia dengan akhlak yang terpuji”.

* Bercakap dengan ungkapan yang berisi nasihat atau bimbingan serta beramal soleh merupakan pra syarat terkabul amalan di sisi Allah seperti yang ditegaskan-Nya menerusi ayat 10 surah Fatir : “Kepada-nya (Allah) sampai perkataan-perkataan yang baik (kalimat Tauhid) dan amal soleh disampaikan kepada-Nya .

* Bersegera dalam melakukan kebaikan dan kebajikan juga adalah faktor dikenal pasti sebagai penyebab amalan seseorang diterima Allah.

* Suka bersedekah dan tidak kedekut adalah punca amalan diterima Allah.

* Mengekal dan memelihara takwa kepada Allah juga menyebabkan amalan diterima Allah.

* Istiqamah dalam agama dengan terus beramal dan melakukan perintah serta meninggalkan perkara yang terlarang adalah punca amalan diterima.

* Memelihara rukun Islam yang lima serta rukun Iman yang enam juga penyebab amalan diterima Allah.

* Konsisten dalam beramal secara berterusan walaupun sedikit, ia bertepatan dengan penjelasan baginda Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis yang bermaksud :

Sebaik-baik amalan di sisi Allah ialah yang bersifat berterusan walaupun sedikit”.

Apapun Ramadan telah melahirkan dua jenis manusia yang mempunyai cara berbeza dalam penampilan mereka selepas Ramadan, justeru marilah sama-sama kita renung secara mendalam untuk kita tentukan golongan mana yang patut dicontohi.

Golongan Pertama

Golongan yang dapat disaksikan dalam bulan Ramadan begitu ghairah melakukan apa ahaja amal ibadat selagi sanggup melakukannya, solat ketika orang lain juga bersolat, ruku’, sujud, bertadarus dengan berlinangan air mata kerana takutkan azab Allah ketika membaca al-Quran.

Agak sukar untuk melihat dalam diri mereka akhlak yang terkeji, kerana satu bulan Ramadan diisi dengan pelbagai ketaatan kepada Allah, menjauhkan diri dari segala maksiat dan perkara yang melalaikan.

Namun setelah sebulan dua ditinggalkan Ramadan, ketaatan, ibadat dan segala apa yang dilakukan hanya menjadi kenangan manis yang berlalu pergi bersama pertukaran bulan-bulan yang lain, surau dan masjid bukan lagi menjadi tempat destinasi persinggahan, al-Quran bukan lagi menjadi bahan bacaan harian, bulan berganti bulan hingga terbit Ramadan pada tahun berikutnya, inilah golongan yang hanya beribadat secara bermusim, seolah-olah Allah hanya wujud di bulan Ramadan sahaja, sedangkan pada bulan-bulan yang lain kehangatan beribadat semakin pudar.

Golongan Kedua

Golongan yang merasa amat gembira dengan kedatangan Ramadan dan merasa hiba dengan pemergian bulan yang mulia ini, kerana mereka merasa seronok dengan kemanisan dan janji-janji yang ada padanya.

Ramadan bagi mereka adalah peluang untuk menambah koleksi pahala sebanyak mungkin, kerana mereka mengetahui, bahawa Ramadan bulan kesabaran, persamaan, berkasih-sayang, terpadat padanya Lailatul Qadr, solat Tarawih, rahama, keampunan, pelepasan dari api neraka, Nuzul al-Quran, tadarus, tazkirah, pengeluaran Zakat Fitrah, peristiwa Badr al-Kubra, pembukaan kota Mekah dan seribu macam pahala yang tersedia untuk direbut.

Mereka beramal dengan sepenuh hati bagi menjana diri sebagai hamba-hamba Allah yang bertakwa menerusi ibadat puasa, mereka akan menangis jika Ramadan hampir melabuhkan tirainya kerana mungkin tidak akan bertemu dengannya pada tahun-tahun yang mendatang.

Kesimpulannya

Terserah kepada anda untuk menentukan kedudukan yang mana satu yang harus anda pilih di antara dua golongan yang disebutkan di atas.

Andalah sebagai hakim untuk memastikan masa depan di akhirat lebih terjamin untuk mendapatkan syafaat baginda Rasulullah s.a.w ketika ada di kalangan manusia yang tercicir namanya dalam senarai mereka yang dimasukkan dalam syurga Allah yang kekal abadi dengan segala nikmat yang membahagiakan. - mr_

29 Julai 2010

Khutbah dari Rusila: Musuh dalami Islam untuk menentangnya


Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Marilah kita menyedari bahawa antara sebab tersebarnya kemungkaran, jenayah serta maksiat adalah memandang ringan dalam perkara agama Islam. Allah telah memberi amaran dalam al-Quran (maksudnya): Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah). (at-Taubah: 122)

Ini menunjukkan bahawa memahami ajaran agama Islam itu adalah perkara yang wajib ke atas setiap lelaki dan perempuan.
Wajib ke atas setiap umat Islam memahami perkara dasar dalam agama Islam. Mereka juga perlu mengetahui perkara Islam serta apa yang boleh membatalkan iman serta Islam. Juga dalam perkara ibadat agar ibadat yang dijalankan itu diterima Allah, bukannya melakukan ibadat secara jahil.

Perkara ini adalah menjadi fardu ain ke atas umat Islam mempercayainya. Manakala dalam perkara fardu kifayah adalah hendaklah ada umat Islam yang memahami perkara agama secara mendalam supaya rujukan dalam perkara agama oleh masyarakat. Perkara ini termasuk dalam soal menjaga agama kerana agama adalah perkara yang lebih penting dalam hal-hal yang lain dalam kehidupan.

Ahli ilmu sosiologi berpendapat bahawa rukun kehidupan manusia itu adalah memelihara agama, nyawa, akal fikiran, maruah diri dan keturunan serta memelihara harta benda. Semua perkara itu adalah wajib dan menjadi rukun dalam kehidupan manusia, tetapi memelihara agama adalah perkara yang pertama, kerana agamalah yang menentukan baik buruknya kita dalam kehidupan ini.

Tanggungjawab memelihara agama adalah tanggungjawab yang menyeluruh. Iaitu kepada semua termasuk diri sendiri, pemimpin masyarakat dan pemimpim negara. Seluruh pihak perlu menjaga agama agar seluruh kehidupan ini tidak boleh dipisahkan daripada agama.

Imam al-Ghazali telah menyebut dengan tegas (maksudnya) agama itu asas bagi kehidupan manusia, manakala kekuasaan atau pemerintah merupakan pengawas, kalau tidak ada asas akan runtuh manakala jika tiada pengawas maka sia-sia.

Hari ini agama diperkecilkan, dipandang ringan serta dikira sebagai remeh-temeh. Maka kehidupan manusia menjadi runtuh dan musnah. Ramai di kalangan anggota masyarakat tenggelam di dalam kemungkaran dan maksiat.

Pada masa yang sama apabila orang-orang yang memerintah tidak berasaskan kepada agama, maka pemerintahan menjadi sia-sia. Pemerintah tidak boleh menjadi pengawas dalam kehidupan manusia sebaliknya lebih ramai menjadi pengkhianat dan merosakkan masyarakat.

Itulah padahnya apabila kita memperkecilkan urusan agama Islam, yang memberi kemuliaan kepada umat Islam ialah ajaran agama Islam. Islam telah memuliakan bangsa Arab yang buta huruf. Setelah mereka menganut Islam, mereka dapat memimpin dunia. Banyak bangsa-bangsa dalam dunia yang menganut ajaran Islam serta berpegang dengan Islam menjadi bangsa yang kuat serta mempimpim umat Islam.

Digantikan kaum lain

Allah SWT menjadikan pemimpin umat Islam silih berganti di kalangan bangsa yang menganut Islam dan kuat berpengang dengan agama Islam. Firman Allah SWT (maksudnya): Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah - membela agama-Nya), Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya dan Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepadaNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (At-Taubah: 39)

Allah SWT meyeksa umat Islam dengan adanya bangsa dan kumpulan yang lain yang menganut agama Islam dan mempelajari agama Islam dan berpegang dengan ajaran Islam. Setelah bangsa Arab lemah dalam pengangannya dalam agama Islam Allah SWT menggantikan dengan bangsa Kurdis kemudiannya Tukri. Begitulah seterusnya.

Percayalah bahawa al-Quran adalah petunjuk dan mukjizat yang berterusan sehingga kiamat. Kedudukan agama Islam ini diketahui dan dikaji oleh musuh-musuh Islam yang membuat perancangan untuk menentangnya dan bukan untuk beriman. Seorang Perdana Menteri British menyatakan bahawa selagi orang Islam berpegang dengan kitab ini iaitu al-Quran selama itulah kuasa-kuasa Barat tidak boleh menguasai dan merendah-rendahkan orang Islam.

Malah mereka berusaha supaya orang Islam meninggalkan agama mereka. Walaupun tidak beriman dengan agama Islam tetapi sekurang-kurangnya tidak beramal dengan ajaran agama mereka. Oleh kerana itu agenda dan perancangan untuk menjauhkan orang Islam daripada agama berlaku sehingga kini. Termasuk dalam program globalisasi yang dilakukan oleh Barat yang menganggap umat Islam sebagai pencabar dan penghalang, mereka berusaha untuk melemahkan umat Islam dengan perancangan untuk mengurangkan sekolah-sekolah agama, mengawal ajaran Islam, khutbah Jumaat, kuliah agama di masjid adalah antara agenda penjajah musuh-musuh Islam. Semua ini dilakukan oleh penyeru-penyeru ke arah neraka jahanam yang dilahirkan di kalangan umat Islam sendiri.

Sabda Rasulullah s.a.w.(maksudnya): Akan ada penyeru-penyeru ke arah neraka jahanam, barang siapa yang mengikutnya, maka dia akan dicampak sama ke neraka jahanam. Apabila Huzaifah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. supaya menjelaskan siapa mereka. Rasulullah s.a.w. menyatakan mereka adalah daripada golongan kamu dan bercakap dengan bahasa kamu.

Oleh kerana itu wajib kita mempertahankan agama Islam walaupun dalam keadaan kita mencari kehidupan di dunia ini, kerana yang memandu kepada kemajuan dunia adalah agama Islam. Kemajuan yang tidak berpandukan kepada al-Quran hanya akan menjadi sebagai jalan dan lebuh raya untuk menuju ke neraka jahanam.

Firman Allah (maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. (At-Tahrim: 6) � lanh _

Nasihat beramal dengan al-Quran


Dari Ali Karramallahu Wajhahu, katanya: Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah Salallahu Alayhi Wasallam bersabda: "Sesungguhnya akan berlaku fitnah yan banyak." Aku pun bertanya: "Apakah jalan keluar darinya duhai Rasulullah?"

Baginda menjawab: Kitabullah (al-Quran). Kerana di dalamnya terdapat kisah-kisah orang dan perkara sebelum kamu dan perkhabaran tentang apa yang akan datang sesudah kamu; dan terdapat di dalamnya hukum-hakam di antara kamu; Ia (al-Quran) adalah kata putus dan bukan senda gurau; sesiapa yang meninggalkannya (menolaknya) kerana sombong, ia akan dibinasakan oleh Allah; dan sesiapa sahaja yang mencari petunjuk selain darinya akan disesatkan oleh Allah; Ia adalah tali Allah� yang teguh dan ia adalah pengajaran (peringatan) yang bijaksana.


Ia adalah as-Siratul Mustaqim (jalan yang lurus); Ia adalah kitab yang dengan sebab berpegang teguh kepada ajarannya, hawa nafsu seseorang tidak akan menyeleweng dan terpesong; dan Ia adalah kitab yang kalimah-kalimahnya tidak samar dan berputar-belit; dan para ulama pula tidak pernah puas menggali ilmu darinya (demikian juga) keindahan, kemanisan dan kelazatan membacanya tidak akan pernah hilang dan kandungannya menakjubkan, tidak berkesudahan. Ia adalah kitab yang jin tidak berhenti mendengarnya sehingga mereka berkata, "Sesungguhnya kami mendengar bacaan al-Quran yang menakjubkan, ia menunjuk ke jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya." Sesiapa sahaja berkata dengannya, benarlah perkataannya; sesiapa� yang beramal dengannya, dia akan diganjari pahala, sesiapa yang berhukum dengannya, adillah dia dan sesiapa yang menyeru kepadanya, nescaya dia akan diberi petunjuk Siratil Mustaqim (jalan yang lurus) - HR Tirmizi dan Darimi.

Memang benar dan tepat sekali penjelasan baginda s.a.w. seperti dalam hadis di atas, bahawa di akhir zaman akan berlaku terlalu banyak fitnah yang ditimpakan ke atas Islam dan Muslimin.

Sama ada fitnah itu dilakukan oleh mereka yang bukan Islam yang menaruh sifat benci amat mendalam serta dendam kesumat terhadap Islam dan umatnya, ataupun dilakukan sendiri oleh mereka yang bernama Islam.

Antara fitnah yang dilakukan oleh orang Islam sendiri seperti meninggalkan solat tanpa alasan atau sebab yang boleh diterima kerana menonton pertandingan bola sepak, pertandingan akhir mencari juara bintang popular dan sebagainya, tidak kurang juga golongan remaja muda dan tua yang tidak mengenakan kod berpakaian yang disyariatkan oleh Allah SWT, terlibat dalam pembunuhan, perjudian, rasuah, pecah amanah, penipuan dalam pilihan raya dan banyak lagi.

Kesemua yang disebutkan itu adalah fitnah yang menyukarkan golongan pendakwah untuk menyampaikan mesej Islam kepada bukan Islam tentang keindahan agama Islam kerana tindakan-tindakan liar itu menjadi batu penghalang kepada bukan Islam untuk menerima Islam, ataupun minat, cenderung atau simpati kepadanya.

Kehidupan di dunia adalah tempat beramal dan menyatakan penyesalan, sementara akhirat pula adalah tempat untuk perhitungan amalan. � lanh � _

Motivasi al-Quran: Hidup sempit jika tolak tazkirah


Ustaz Zain Hashim

Tazkirah adalah satu pendekatan yang dianggap penting bagi menyampaikan mesej agama kepada manusia. Ia bertujuan memberi kesedaran tentang hakikat tanggungjawab diri manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi, iaitu mengajak manusia seluruhnya kepada yang makruf (perkara-perkara yang baik menurut pandangan Allah) dan mencegah mereka dari melakukan yang mungkar dan keji.

Peranan serta fungsi tazkirah tidak boleh dipertikaikan sejak wujudnya Nabi Adam a.s. di dunia ini hinggalah ia diperhebat serta dikemas-kini oleh baginda Nabi Muhammad s.a.w.


Berdasarkan Sirah Nabi Muhammad s.a.w., baginda telah berjaya melaksanakan tugasnya sebagai seorang nabi dan rasul dengan menyampaikan mesej daripada Allah iaitu sebagai penguasa (khalifah) dengan memastikan tazkirah sebagai wadah atau pendekatan yang cukup berkesan hingga ramai di kalangan mereka pada waktu itu yang beraliran jahiliyah bertukar kepada Islam. Ini semua hasil penerimaan mereka terhadap tazkirah yang disampaikan oleh baginda.

Bagi mereka yang menolak tazkirah seperti Abu Lahab dan Abu Jahal, mereka menemui kesudahan riwayat hidup mereka dengan mati dalam kesesatan dan dimasukkan dalam api neraka Allah di akhirat.

Sehubungan itu, Allah menjelaskan menerusi ayat 124 hingga 127 surah Taha yang bermaksud: �Sesiapa yang berpaling (menolak) daripada peringatan-Ku (Allah, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari Kiamat dalam keadaan buta. Berkatalah dia, Wahai Tuhanku, mengapa Engkau menghimpunkan aku dalam buta, padahal aku dahulu (di dunia) adalah orang celik dapat melihat? Allah berfirman: Demikianlah, telah datang kepadamu ayat-ayat peringatan Kami, tetapi kamu melupakannya (menolak), dan begitu pula pada hari ini (Kiamat) giliran kamu pula dilupakan. Dan demikianlah Kami membalas orang yang melampaui batas dan tidak percaya kepada ayat-ayat Tuhannya. Dan sesungguhnya azab di akhirat itu lebih dahsyat dan kekal (tanpa berhenti).

Jelas daripada penjelasan ayat di atas, memberi kita panduan dan pedoman berguna, bahawa Allah SWT akan menghukum manusia yang ada dalam perasaan hati mereka rasa sombong untuk tidak menerima tazkirah (peringatan) yang boleh memotivasikannya menjadi manusia terbaik di sisi Allah SWT.

Justeru, apabila kita menyingkap kepada peninggalan sejarah generasi silam, kita dapati mereka yang berjaya bergelar ulama adalah mereka yang terdidik dengan menerima tazkirah sebagai alat memajukan mereka sebagai manusia yang sanggup berkorban untuk agama. � lanh _

Belajar tanpa berguru, syaitanlah gurunya


Dato' Dr Haron Din

SOALAN: Saya ingin bertanya mengenai perubatan alternatif, sama ada bertentangan dengan syarak atau tidak. Bagaimana jika ada pengamal itu yang mendakwa, dia mendapat ilmu atau petunjuk perubatan melalui mimpi. Contohnya seperti seorang pengamal mengubati pesakit dengan menggunakan dauh sirih. Daripada pemerhatiannya kepada struktur daun sirih selepas membaca mantera (doa), dia dapat memberitahu kepada pesakit tentang keadaan penyakitnya dari segi fizikal, spiritual atau gangguan. Mohon Dato' jelaskan. - INSAN YANG RAGU

JAWAPAN: Ada dua episod daripada persoalan anda. Pertama mengenai perihal pengubat yang mendapat ilmu mengubati manusia menerusi mimpi. Kedua, menggunakan daun sirih sebagai penunjuk untuk mengubati dan mengetahui perkara ghaib, tentang penyakit zahir, batin dan sebagainya.


Perihal ilmu pengubatan melalui mimpi pernah saya jelaskan dahulu dalam ruangan ini, bahawa ilmu itu tidak sabit dari segi syarak.

Dengan lain perkataan, ilmu yang memberi kebaikan kepada manusia, dipelajari dengan cara berguru dengan cara yang betul, memakan masa yang agak lama, perlu diuji dan dipastikan dia boleh memilikinya, bukan sama sekali menerusi mimpi semalaman atau beberapa minit sahaja mimpi itu. Keadaan ini tidak mampu menjadikan seseorang itu sebagai pengubat.

Dalam tasawuf atau tarikat selalu sangat diperkatakan mengenai kaedah mempelajari sesuatu ilmu hendaklah dengan berguru dengan jelas dan nyata, dia berilmu dan beramal dengan ilmunya.

Sesiapa yang belajar tanpa guru, maka syaitanlah gurunya.

Oleh kerana itu ilmu melalui mimpi, amat diragui siapakah sebenarnya yang menjelma dalam mimpinya itu. Hendak dikata wali-wali Allah (yang telah kembali kepada Allah), mereka semuanya sudah berada di alam barzakh sehingga hari kiamat.

Ruh mereka tidak boleh kembali lagi ke dunia ini untuk bertemu dengan sesiapa. Lebih-lebih lagi untuk menyampai ilmu selepas mati.

Orang yang telah mati, terputus usaha kebaikan atau kejahatan. Sudah tidak boleh lagi menyampaikan ajaran atau petua-petua perubatan kepada mana-mana orang yang hidup.

Firman Allah (mafhumnya): "Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan." Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat)." (Surah al-Mukminun, ayat 100)

Dalam kitab tafsir yang muktabar, disebut barzakh dengan huraian bahawa selepas mati, ruh-ruh manusia ditempatkan ke alam baru. Dengan kehidupan baru itu, mereka terputus dari dunia dan tembok-tembok itu menjadi pemisah, tanpa dapat ditembusi untuk pulang ke dunia.

Diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib (r.a) beliau pernah menyebut (mafhumnya): "Hari ini di dunia adalah untuk beramal tanpa hisab, esok sesudah mati, hanya ada hisab yang menunggu tanpa ada amal lagi."

Jika yang telah mati boleh lagi beramal dengan pulang ke dunia dan memberi petua atau pengajaran untuk perubatan, maka ia bertentangan dengan al-Quran seperti ayat yang saya nyatakan di atas.

Dengan hujah-hujah itu, tidak boleh diterima pakai, atas andaian bahawa ilmu menerusi mimpi adalah dari sumber yang sahih.

Yang berlaku hanyalah tipu daya syaitan dalam mimpi seseorang, mengajar manusia melalui mimpi yang boleh menyesatkan. Berhati-hatilah, kadang-kadang mereka ini kelihatannya seperti betul dan bersesuaian dengan kehendak syarak, tetapi yang tersiratnya adalah untuk mempengaruhi manusia yang bakal membawa ke jalan yang sesat.

Seorang sahabat Nabi s.a.w, Abu Hurairah, pernah menerima ilmu dalam jaganya daripada syaitan, apabila diceritakan ilmu itu yang zahirnya sejajar dalam syariat, iaitu dengan menyuruh Abu Hurairah membaca ayat kursyi supaya beliau melindungi harta yang dijaganya supaya tidak dicuri seseorang, maka Rasulullah s.a.w menyatakan (mafhumnya): "Itu adalah ajaran daripada syaitan, jangan peduli dengannya, lupakan ajaran itu dan ambillah ajaran daripadaku."

Seterusnya Nabi s.a.w mengajar Abu Hurairah, sama seperti yang diajar oleh syaitan tadi.

Mimpi manusia, kebanyakkan daripada perbuatan syaitan, jika ada pun daripada Allah, ianya adalah terlalu sedikit.

Ada pun mengenai pengubat memberitahu pesakit menerusi tilik menilik daun sirih, maka itu adalah pengubat tradisional Melayu, bukan pengubatan cara Islam.

Dalam Islam, tilik menilik dalam semua perkara sama ada menerusi daun sirih atau pun lain-lainnya, adalah bertentangan dengan syarak dan amat dilarang.

Dalam satu hadis Nabi s.a.w. bersabda (mafhumnya): "Daripada Ummul Mukmimin Hafsah dan Aisyah r.ahnuma, bahawa pernah ditanya kepada Rasulullah s.a.w. akan tukang-tukang tilik. Nabi mengatakan bahawa mereka hanyalah temberang dan tidak benar satu pun. Ditanya lagi, "Tukang tilik itu mengkhabarkan kepada kami perkhabaran dalam tilik mereka, maka kami dapati ia benar." Nabi bersabda, "Yang demikian itu dikhabarkan kepada mereka oleh makhluk halus kepada yang berbaik dengan mereka, dengan mencampuradukkan di dalamnya ratusan pembohongan." (Hadis riwayat al-Bukhari).

Dalam hadis lain Abu Hurairah menyatakan bahawa Nabi s.a.w. pernah bersabda (mafhumnya): "Sesiapa yang mendatangi orang yang mendakwa mengetahui yang ghaib (arraf) atau tukang tilik (kaahin), lalu mempercayai apa sahaja yang dikatakan mereka itu menerusi tilik menilik mereka, maka sesungguhnya dia telah kufur dengan apa yang diturunkan Allah ke atas Nabi Muhammad (al-Quran)." (Hadis riwayat al-Hakim dan as-Sahabus Sunan)

Apa yang anda tanya mengenai pengubat tersebut, mengetahui perkara ghaib sehingga secara spesifik menerusi struktur daun sirih sehingga mengetahui jenis-jenis penyakit, sama ada fizikal atau spiritual adalah termasuk dalam perkara yang dilarang syarak.

Firman Allah (mafhumnya): "Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah! Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati)." (Surah an-Naml, ayat 65)

Firman Allah (mafhumnya): "Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Ia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapapun, - melainkan kepada mana-mana Rasul yang di redai-Nya (untuk mengetahui sebahagian daripada perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian) maka Ia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan)." (Surah al-Jin, ayat 26-27)

Saya harap penjelasan saya menjawab persoalan anda, wallahua'lam. - lanh _

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons