19 Julai 2010

SYAABAN - BULAN UNTUK MEMPERBANYAKKAN AMALAN BERPUASA


Doa malam nisfu syaaban
http://jaipp.penang.gov.my/syaaban.htm


Kini Syaaban menjelma lagi sama ada kita sedari atau tidak. Kehadiran bulan Syaaban ini menunjukkan bahawa umat Islam kian hampir dengan Ramadhan al-Mubarak. Sebagai seorang muslim yang mengaku beriman, apakah persediaan kita untuk menghadapi Ramadhan khususnya dalam usaha memanfaatkan Syaaban dengan sebaik-baiknya? Sirah Rasulullah s.a.w jelas menunjukkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w memperbanyakkan amalan berpuasa pada bulan Syaaban. Hadis Nabi s.a.w juga menyatakan dengan jelas mengenainya sebagaimana maksud hadis berikut:

Daripada Saidatina Aisyah r.a:” Rasululah s.a.w. berpuasa hingga kami menyangkakan Baginda tidak akan berbuka dan Baginda berbuka hingga kami menyangkakan Baginda tidak akan berpuasa. Aku sama sekali tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w menyempurnakan puasa sebulan melainkan pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihatnya lebih banyak berpuasa melainkan pada bulan Syaaban”. (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Selain itu, bulan Syaaban juga sewajarnya diraikan dengan amalan pahala yang berganda kerana disebutkan dalam suatu hadis yang diriwayatkan oleh al-Nasai dan Abu Daud yang bermaksud:

“Daripada Usamah bin Zaid, katanya: “ Aku bertanya Rasulullah s.a.w: Ya Rasulullah! Aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam satu bulan berbanding bulan lain seperti engkau berpuasa daripada sebahagian Syaaban. Baginda s.a.w berkata: Itulah bulan yang manusia melupakannya antara bulan Rejab dan bulan Ramadhan, iaitu bulan yang diangkat amalan kepada Allah, Tuhan Semesta Alam. Oleh itu, aku suka supaya amalanku diangkat ketika aku sedang berpuasa”.

Amalan memperbanyakkan puasa sunat ini sewajarnya turut sama dihayati dan diamalkan oleh Umat Nabi Muhammad s.a.w. Di antara kelebihan pada bulan Syaaban juga ialah pada suatu malam yang dikenali sebagai Malam Nisfu Syaaban. Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah dalam kitab Sahihnya Sunan Ibnu Majah jelas menerangkan kepada kita kelebihan Nisfu Syaaban sebagaimana maksud hadis berikut:

“Dari Abi Musa al-Asya'ari r.a, dari Rasulullah s.a.w. katanya: Allah s.w.t. melihat kepada hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, lalu diampuni dosa-dosa hamba-Nya melainkan mereka yang melakukan kesalahan syirik dan orang yang menyebarkan fitnah.”

Di antara amalan yang dilakukan oleh ulama-ulama dan orang-orang soleh pada bulan Syaaban juga ialah membaca surah ‘Yaasiin’ pada malam Nisfu Syaaban. Antara kaifiyat membaca surah ‘Yaasiin’ pada malam Nisfu Syaaban ialah:

Dilakukan selepas menunaikan solat Fardhu Maghrib

Dibacakan surah ‘Yaasiin’ sebanyak tiga kali berturut-turut dengan tiga niat iaitu:

Memohon supaya dipanjangkan umur dalam kebajikan
Memohon supaya dimurahkan rezeki yang halal
Memohon supaya dimatikan dalam iman yang sempurna
Diakhiri dengan doa.

Mudah-mudahan umat Islam diberi pertunjuk dan hidayah untuk menghidupkan Syaaban dengan amalan berpuasa yang berlipat kali ganda di samping amalan-amalan lain sebagai persediaan untuk menyambut Ramadhan-al-Mubarak dengan penuh kesyukuran dan penghayatan. Semoga kita semua tergolong dalam golongan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons